Perceraian bukan pengakhiran. Ramai isteri takut untuk berpisah dengan pasangannya kerana bimbang tidak tahu ke mana harus dituju. Anak-anak akan kehilangan kasih sayang seorang ayah dan pelbagai lagi yang bermain di fikiran.
Ketakutan dan kerisauan inilah membuatkan isteri sanggup bertahan, biarlah diri menderita asalkan anak-anak terbela, ada ayah dan bertanggungjawab. Tapi, sampai bila?
Janganlah anggap perpisahan itu sebagai satu noktah. Perceraian bukan pengakhiran, mungkin dengan cara ini akan membuatkan hidup isteri itu lebih tenang, rezeki bertambah dan sebagainya.
Usah biarkan diri didera oleh seorang yang bergelar suami. Sayangi dan hargai diri sendiri. Inilah antara nasihat dan langkah yang perlu diambil oleh wanita yang didera suami seperti yang dikongsikan oleh Dzuriasikim Dzulkefli ini.
Sy bekerja dan sy bayar gaji utk pembantu merangkap pengasuh anak sy yg kecil. Sy nak tanya, gaji pembantu ni mmg tanggungjawab kita sebagai ibu yg bekerja ka kak?
Saya salu dengar org kata sayang diri sendiri dulu. Sy pelan2 cuba hadam apa yg dimaksudkan dgn sayang diri sendiri dulu. Saya jujurnya dh xmampu nk hidup bersama suami. Banyak yg di buat, dia sakiti saya. Physical mentally.
Dan sy merancang untuk failkan penceraian tp dia cuba nak yakinkan saya yg perkahwinan kami bukan beyond repair. Adakah klu sy teruskan dengan niat saya failkan penceraian. Sy ialah isteri yg xbau syurga tu.
Saya ada tgk satu perkongsian dr mufti menk yang kata divorce is not the end of the world.
Saya nk sihat. Saya nk hidup bahagia. Walau ditakdirkan sy dah xbersuami, sy harap saya boleh raih redha Allah dgn cara lain utk masuk syurga. Perlu ka sy bertahan dlm rumahtangga yg sy xmampu nk rasa bahagia di dalamnya ni?
Family kata kat sy, jangan minta cerai, tgu diceraikan. Masalahnya dia dah kata dia xmau lepaskan sy.
Ads
(Pertanyaan ini saya salin tanpa membuat sebarang pembetulan pada ejaan).
.
JAWAPAN
Biarpun saya sudah menulis tentang kes penderaan oleh pasangan sebelum ini, namun saya akan cuba menulis semula dengan bahasa yang lebih mudah difahami – semoga perkongsian ini dapat membantu sahabat wanita yang memerlukan.
1. Belajar menyayangi diri bermaksud memberi ruang kepada diri sendiri juga dan menghargai diri sepertimana kita sering menghargai dan menyayangi orang lain. Wanita sangat lemah tentang ini. Banyak wanita merasakan bahawa definisi sayang adalah berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan orang yang disayangi. Biarpun diri sendiri tidak bahagia. Lebih banyak berkorban, seolah bukti lebih dalam rasa cinta.
2. Wanita perlu ada sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan asas tentang hak diri sebagai wanita dan isteri dari segi perundangan Islam dan sivil. Anda faham beza dua perkara ini bukan?
3. Harus tahu bahawa walaupun anda bekerja, tetapi suami bertanggjawab untuk memberi nafkah bagi isteri dan anak-anak. Sekurang-kurangnya menyediakan tempat tinggal, makan dan minum serta pakaian (walaupun sekadar ada). Melainkan jika suami sakit atau gaji isteri lebih besar dan dengan syarat isteri sudi dan redha untuk bertolak ansur dalam menyara keperluan keluarga bersama.
4. Ini adalah nasihat saya, selagi berstatus isteri (belum jatuh talak – walaupun sudah tidak tinggal bersama dan dalam proses cerai), jangan jadi isteri derhaka. Dalam erti kata lain, jangan tinggikan suara dengan suami, menceritakan keburukan suami dengan berlebih-lebih kepada banyak orang yang tidak sepatutnya, menghina suami, berbalas kata dengan suami, bahkan melakukan apa sahaja yang boleh membuatkan anda jadi isteri derhaka dan berdosa. Jangan juga bina hubungan cinta dengan orang lain semasa anda dalam proses cerai. Anda masih isteri orang.
5. Jika sering didera dengan bahasa yang tidak baik, panggilan hina, dituduh yang bukan-bukan, dijerit, ditengking atau sebarang bentuk penderaan mental, cubalah untuk tidak melawan. Bersabar, ingatkan diri bahawa anda bukanlah seperti apa yang dikatakan. (Kata-kata pasangan bukanlah penentu diri mu). Bertahan ya.
6. Jika dipukul sehingga diri dan anak-anak berasa tidak selamat, perkara pertama yang harus anda lalukan adalah membuat laporan polis. Buat laporan polis dengan seberapa segera selepas dipukul. Pihak polis akan membantu untuk mengambil butiran bagi kes anda dengan sejelas yang mungkin. Jika ada luka atau bengkak, gambar anda akan dirakamkan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
.
7. Kebiasaannya polis akan meminta mangsa untuk ke hospital segera bagi pemeriksaan lanjut. Laporan dari pegawai perubatan di hospital adalah sangat penting sebagai rekod dan bukti untuk sebarang tindakan lanjut (tuntutan cerai contohnya).
8. Wanita yang didera oleh pasangan, barangkali ketika anda sedang melakukan ini (membuat aduan polis atau kemudian ke hospital) – anda masih berasa sayang, was-was atas tindakan sendiri (half-hearted), tak bermaya, rasa seperti bermimpi kerana anda seolah sedang menamatkan banyak perkara dalam hidup, rasa bersalah, rasa kasihan (kerana barangkali masih ada perasaan sayang terhadap pasangan meskipun dikasari hampir setiap hari), berfikir anak-anak bakal tiada ayah. Anda mungkin berfikir tentang pandangan orang terhadap anda nanti yang bakal menjadi janda. Anda juga akan berfikir tentang pasangan yang mungkin berdepan dengan hukuman termasuk dipenjarakan dan pelbagai persaan lain lagi yang bercampur baur….
Ads
Tetapi teruskanlah langkah anda demi untuk diri dan anak-anak.
9. Buat laporan dengan seberapa segera, ketika anda masih sakit. Ketika sedang sangat tidak tahan dengan hidup. Ketika anda sedang berasa perlu meletakkan noktah dari terus didera. Jika anda bertangguh beberapa hari, perasaan itu semua akan hilang. Luka semakin sembuh. Anda akan mula percaya semula kepada janji dari pasangan untuk berubah. Sehingga penderaan berulang semula.
10. Bagi orang yang tidak pernah melalui, mereka mungkin berasa wanita tidak patut terus berada dalam kehidupan begini. Bodoh kerana tidak segera menyelamatkan diri. Tidak bijak kerana terus menyayangi pasangan (yang berterusan mendera mental dan fizikal setiap hari).
11. Bagi wanita yang sering didera, mereka didera hingga merasakan bahawa – adalah perkara biasa dalam rumahtangga untuk isteri dimarahi dah dikasari. Menganggap dikasari sebagai salah satu tanda “kasih sayang”.
Apabila suami cemburu berlebihan hingga naik tangan, ia adalah seolah suatu bentuk cinta yang sukar diluahkan. Begitu minda wanita yang terperangkap dalam hubungan begini “telah diprogramkan”. Ianya amat menyedihkan.
12. Untuk mendapat kekuatan jiwa dan hati, cukupkan lah solat mu. Paksa diri untuk ini. Please…. Sayangi diri adalah termasuk menjaga solat 5 waktu untuk diri.
13. Untuk lebih kuat, bangun dan buat solat Tahajjud sekerap yang mungkin. Trust this.
14. Ingat, hati kita milik Allah, jadi mohon kekuatan dari Allah.
Ads
15. Usah mudah terpedaya dengan pujuk rayu pasangan. Ingatkan diri bahawa perbuatan dan tindak tanduk adalah lebih bermakna dari kata-kata yang diucapkan berkali-kali.
16. Wanita yang dizalimi oleh seorang suami harus tahu bahawa adalah tidak berdosa untuk anda meminta pertolongan bagi melindungi diri dan anak-anak. Seorang isteri juga berhak untuk menuntut cerai apabila berada dalam keadaan ini.
17. Mendengar nasihat dari keluarga adalah baik. Tetapi anda yang melalui hidup ini. Anda yang sakit. Anda yang menderita. Orang lain tidak rasa.
18. Sepanjang proses menuntut cerai anda tidak perlu berteriak kepada pasangan, tidak perlu berbalah, tidak perlu menagih simpati. Aturkan langkah mengikut undang-undang. Tidak perlu membenci pasangan. Maafkan segala hal yang lepas kerana tidak ada satupun yang boleh diubah. Bertenang…
Wanita, saya mohon untuk anda berikan ruang kepada diri sendiri. Jangan berasa bersalah kerana bimbang jika anak-anak perlu berpisah dengan ayah mereka.
Memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak adalah termasuk membesarkan mereka dalam suasana yang lebih damai dan sihat. Kasihanilah anak-anak kerana perlu melihat ibu mereka dipukul setiap hari.
Mingguan Wanita : Carilah bahagia untuk diri sendiri. Jangan seksa diri.
Tak kiralah sama ada suami atau isteri, bila curang sahaja, pasangan mampu mencipta sejuta alasan untuk menepis kesalahan sendiri. Padahal yang dicurangi ini sudah cukup terluka, disalahkan itu dan ini pula.
Perasaan dicurangi itu bukan mudah intuk diterima apatah lagi setelah sekian lama berkongsi tempat tidur, berkongsi susah senang dan akhirnya pasangan memilih orang lain yang serba-serbi banyak kelebihan berbanding diri kita. Terasa maruah diri dipijak-pijak dan langsung tiada harga diri.
Hanya orang yang dicurangi sahaja yang tahu betapa sakit dan pedihnya sebuah kecurangan…
Sakit, terluka, kecewa…
Rasa diri sudah tidak bermakna dan berguna lagi untuk si dia… Rasa pengorbanan dan kebaikan yang dibuat selama ini adalah sia-sia…
Dia punya sakit, terluka dan kecewa itu, menangis semalaman pun tak mampu untuk menghilangkannya…
Bangun pagi esok, rasa sakit lagi… Rasa terluka lagi, kemudian ditambah rasa kecewa lagi…
Bila Pasangan Curang
Apa yang bermain di fikiran? Kenapa… Kenapa… Kenapa…
Di mana silapnya kita… Dan di mana salahnya kita… Apa kurangnya kita dan apa pula lebihnya dia…
Orang yang curang, dia mampu saja memberi sejuta alasan… Dia mampu saja untuk menyenaraikan beribu-beribu kesalahan, keburukan, kelemahan dan kekurangan kita hanya untuk menepis salah laku yang dibuatnya dan menyatakan bahawa “kecurangan” itu berpunca daripada kita…
Dia tak dicurangi, sebab itu dia mudah untuk berkata sedemikian… Yang dicurangi itu kita, setelah kita sudah pun buat yang terbaik dalam hubungan itu…
Kita ada Tuhan, berdoalah bila berhadapan dgn kecurangan pasangan…mohonlah petunjuk, penyelesaian, jawapan dan jalan keluar seperti yang kita mahukan…
Di sampaing itu Allah itu Maha Adil… Allah itu Maha Melihat… Allah itu Maha Mendengar… Berdoalah sehingga sampai doa kita kepada-Nya…
Tenanglah dalam menghadapi sebuah kecurangan kerana ketenangan itu mampu memberikan kita jawapan untuk apa yang perlu kita lakukan seterusnya…
MW: Ambil masa dan cuba bertenang. Jangan terlalu salahkan diri sendiri bila pasangan curang kerana mungkin sampai di situ sahaja jodoh anda dan si dia. Memang tak mudah untuk menerima kenyataan, namun jika segala kebaikan kita dibalas dengan kecurangan, buat apa lagi kita bertahan buat mereka yang tidak menghargai.
Ketika keluarga lain sedang kalut membuat persiapan akhir menyambut Aidil Adha pada 10 Ogos 2019 lalu, siapa menduga keluarga kecil ini dikejutkan dengan insiden yang mengubah seluruh kehidupan mereka sekeluarga. Sehari sebelum kejadian, sekitar jam 2 pagi masih terbayang lagi susuk tubuh lelaki yang dipanggil papa; Muhammad Khairul Abdullah (38) tiba-tiba muncul di depan pintu bilik. Dia mengadu mulutnya sukar bergerak dan badannya kebas.
“Tak sampai seminit dia mengongoi, dia rebah dan tidak boleh bergerak. Sebaik mengiringkan dia ke sisi, suami terus memuntahkan segala isi perut. Tanpa berlengah saya terus hubungi ambulan dan maklumkan adik ipar. Dalam situasi mencemaskan itu, saya sempat menyambar beberapa dokumen penting walaupun ketika itu kaki dan tangan menggigil mencari kekuatan.
“Anak kedua kami, meraung ketakutan melihat situasi panik itu. Setibanya ambulan di hospital, suami terus dihantar ke zon merah. Doktor mengesahkan suami diserang strok akibat tekanan darah tinggi. Dalam keadaan kritikal itu, doktor terpaksa komakan suami bagi mengelakkan keadaan lebih serius.
Setelah melalui pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ditemukan ketulan darah besar di dalam teras otak, letaknya betul-betul di belakang tengkuk (tempat suami selalu mengadu sakit),”cerita Norashikin Md Nor ketika dihubungi menerusi emel tempoh hari.
Keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup
Bukan mudah untuk kita membuat satu keputusan besar yang impaknya meninggalkan kesan yang bukan kecil. Doktor memaklumkan tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat bagi meredakan kondisi si suami. Jika perpisahan itu, lebih baik…meskipun nyawa terpaksa berpisah dari jasad, Norashikin nekad melepaskan sang suami ‘pergi’ dari terus melihatnya terseksa.
“Tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat. Boleh on-tube untuk dua minggu tetapi pengakhirannya tetap sama. Ketika menandatangani surat keizinan untuk membuka mesin pernafasan itu, fikiran ketika itu kosong sambil mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Kemudian suami dimasukkan ke dalam wad dan menggunakan bantuan pernafasan manual yang dipam oleh jururawat bergilir-gilir. Kami kemudian menghubungi ambulan persendirian untuk menguruskan membawa pulang suami ke rumah. Ketika di dalam ambulan itu, air mata saya tidak lagi mengalir. Ketika itu macam-macam perkara berkenaan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini bermain di fikiran.
“Setibanya di rumah ibu mertua, saya sempat bisikan ke telinga suami, “abang pergilah…saya redha. Saya akan jaga anak-anak kita sebaik mungkin, abang jangan risau”. Selepas selesai mengajar dia mengucap, suami terus ‘pergi’ dengan linangan air matanya membasahi di pipinya, petanda dia faham pesanan terakhir yang didengari.
Air mata bukan lagi pilihan, kerana ia tidak lagi menenangkan
Seperti yang pernah dikongsikan dalam laman muka buku (facebook) peribadinya, wanita ini menjelaskan air mata bukan lagi pilihan kerana ia tidak lagi menenangkan. Demi meredakan emosi dua puterinya; Khayla (5) dan Keisha (1), Norashikin berjanji dengan dirinya jangan sesekali menumpahkan air matanya di hadapan mereka.
“Saya tekadkan hati dan berjanji untuk tidak lagi menangis di depan anak-anak kerana bimbang mereka ketakutan. Sebaik melihat jenazah papa mereka, kedua-duanya trauma dan tidak mahu mendekati arwah. Khayla masih keliru dan hingga kini memaklumkan yang papanya sakit, papa tidur, papa tak bangun tidur lagi. Ada ketikanya dia minta saya buat video call untuk dia bercakap dengan papanya…katanya rindu nak tengok papa.
“Paling sayu apabila melihat hasil lakarannya yang pastinya berkaitan dengan momen akhirnya bersama papanya. Sebagai contoh lakaran stetoskop yang dilihat digunakan oleh doktor ketika membuat pemeriksaan ke atas papanya. Ada juga lakaran yang berkisar mengenai ambulan, kereta jenazah dan pusara papanya. Saya biarkan dia melakar apa saja yang terlintas di kepalanya, dengan harapan medium itu mampu merawat emosinya.
“Keisha pula masih terlalu kecil untuk memahami. Ada ketikanya dia menangis tak keruan, menunggu waktu petang waktu lazim papanya pulang dari kerja. Kadang deruan enjin motosikal yang melepasi hadapan pagar rumah kami, membuatkan anak-anak ini bertempiaran lari menuju ke pintu rumah… menunggu kemunculan papanya. Sebagai ibu, saya tahu mereka terlalu rindukan arwah papanya. Mereka juga perlu masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru tanpa papa yang begitu memanjakan mereka,”kongsinya yang dalam proses berpindah ke Melaka, memandangkan sekarang mereka kini masih menetap di Johor.
Kehilangan yang tiada galang gantinya
Mengenang kembali memori tentang suaminya. Menurut Norashikin lagi, arwah merupakan lelaki yang mendahulukan keluarga dalam kehidupannya. Ibunya adalah sosok yang paling dia sayangi. Bekerja menguruskan pemasangan jalur lebar, menjadikan gaji yang diterimanya tidaklah sebesar mana bagi menampung keluarga kecil kami.
“Dia seorang lelaki yang ‘family man’. Apa-apa saja dia buat, keluarga akan diutamakan dahulu. Paling dia sayang ibu dia. Nak pergi ke mana-mana atau nak buat apa-apa aktiviti dia mesti pelawa ibu n adik-beradik join sekali. Pesan arwah lagi, dia bimbang nanti ada yang kecil hati kalau tak diajak.
“Bab menjaga hati orang sekeliling juga salah satu sikap murninya. Kehilangannya yang mengejut membuatkan ramai kenalan, pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya dan ahli keluarga jauh dan dekat masih terkejut mendengar perkhabaran pemergiannya. Itu sebabnya ramai yang terasa dengan kehilangannya secara tiba-tiba.
“Hingga ke hari ini, masih ada lagi client yang hubungi atau mesej nombor telefonnya bagi mendapatkan khidmat nasihatnya. Paling menyentuh hati sempena raya haji baru-baru ini dia dah ambil cuti panjang sebab nak bawa kami holiday, tapi hajatnya tak kesampaian. Gaji dia pun bukannya banyak, tetapi dia tak pernah lokek dengan keluarga dan sedaya upaya nak happykan anak-anak. Kadang-kadang sekadar keluar makan-makan ataupun keluar ambil angin luar sebab dia tau kami asyik terperap kat rumah bila dia keluar kerja. Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya tidak lagi bekerja dan fokus pada keluarga dan anak-anak.
“Seperkara lagi yang pastinya saya rindukan, adalah penilaiannya bak juri profesional terutamanya ketika saya memasak menu baru. Apa saja yang saya masak dia akan makan tanpa banyak soal. Kalau sedap nanti dia minta kita masakkan lagi. Sejujurnya, ketika baru berumah tangga dulu… saya tak pandai memasak. Goreng nugget pun hangus, tetapi sikapnya yang pandai ambil hati isteri membuatkan kita teruja nak masak untuk dia dan anak-anak. Secara tak langsung kita jadi minat untuk memasak. Saya juga bercadang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memanfaatkan skill memasak yang ada bagi menampung keperluan anak-anak,”ceritanya optimis.
Sebelum menutup bicara Norashikin juga menitipkan luahan bagaimana mengharungi saat perpisahan tak di duga ini.
“Tak menangis bukan bererti tak sayang. Meraung dan meratap bukan menyelesaikan masalah tapi cuma akan membebankan jiwa. Jangan biarkan diri terlalu lama dibalut emosi kesedihan. Pepatah ada juga berkata…ikut hati mati, ikut rasa binasa. Positifkan diri adalah pegangan saya kini. Pastinya rasa sedih itu akan datang dan pergi. Tanpa adanya Khayla dan Keisha, saya tak akan sekuat ini. Sesukar mana pun hari yang mendatang nanti, saya berjanji akan mendidik kedua amanah terbesar Allah ini sebaik mungkin. Doakan kami kuat mengharunginya,”kongsinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mengapa mak mentua dan menantu perempuan susah nak ‘ngam.’ Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan sering menjadi topik perbualan yang hangat dalam masyarakat. Tidak dinafikan, terdapat banyak kisah harmoni tentang hubungan antara mak mentua dengan menantu perempuan, tetapi ada juga kisah-kisah yang menggambarkan konflik dan salah faham antara keduanya.
Mengapa Mak Mentua Dan Menantu Perempuan Susah Nak ‘Ngam’
Persoalannya, mengapa mak mentua dan menantu perempuan kadangkala sukar untuk serasi?
1. Perbezaan Pandangan Dan Latar Belakang
Setiap individu dibesarkan dalam suasana dan budaya yang berbeza. Mak mentua mungkin mempunyai cara hidup dan pandangan tertentu yang telah lama menjadi kebiasaan dalam keluarga mereka. Sebaliknya, menantu perempuan pula membawa cara hidup dan kebiasaan baharu.
Perbezaan ini kadangkala menimbulkan salah faham, terutama apabila salah satu pihak merasa cara mereka lebih betul atau sesuai. Sebagai contoh, cara memasak, mendidik anak, atau mengurus rumah boleh menjadi isu yang sensitif jika tidak ditangani dengan bijak.
2. Perebutan Perhatian Anak Lelaki
Dalam sesetengah keadaan, mak mentua mungkin merasa tersisih apabila anak lelakinya lebih memberi perhatian kepada isterinya selepas berkahwin. Perasaan ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati, walaupun ia tidak disedari oleh si anak atau si menantu.
Bagi menantu perempuan pula, hubungan erat antara suaminya dan mak mentua mungkin disalah tafsir sebagai campur tangan berlebihan dalam kehidupan rumah tangganya. Kedua-dua situasi ini boleh menyebabkan ketegangan jika tidak ditangani dengan komunikasi yang baik.
3. Harapan Yang Tidak Realistik
Kadangkala, mak mentua mempunyai harapan yang tinggi terhadap menantu perempuan, sama ada dalam menjaga keluarga atau memenuhi keperluan rumah tangga. Jika harapan ini tidak dipenuhi, ia boleh menyebabkan rasa kecewa.
Sebaliknya, menantu perempuan mungkin merasa beban jika mereka diharapkan untuk mengikut semua kehendak mak mentua, terutama jika mereka sendiri mempunyai tanggungjawab lain seperti kerjaya atau menjaga anak-anak.
4. Salah Faham Dan Komunikasi Yang Terbatas
Kekurangan komunikasi yang jelas dan terbuka adalah salah satu punca utama konflik. Kadangkala, sesuatu perkara yang kecil boleh diperbesar-besarkan akibat salah faham.
Sebagai contoh, tindakan yang tidak disengajakan seperti tidak menjawab panggilan telefon dengan segera atau tidak menjemput mak mentua untuk acara tertentu boleh dianggap sebagai tanda tidak hormat. Hal ini dapat dielakkan jika kedua-dua pihak berusaha untuk berkomunikasi dengan lebih baik.
5. Faktor Emosi Dan Ego
Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan juga dipengaruhi oleh emosi dan ego. Mak mentua mungkin merasa mereka perlu mempertahankan kedudukan sebagai orang tua dalam keluarga, manakala menantu perempuan pula mungkin merasa mereka juga berhak untuk membuat keputusan sendiri dalam rumah tangga.
Kedua-dua pihak perlu belajar untuk bertolak ansur dan meletakkan hubungan kekeluargaan di atas ego masing-masing.
Cara Mengatasi Cabaran Ini
Komunikasi Terbuka
Berbincang secara jujur dan hormat tentang sebarang isu yang timbul. Luahkan perasaan tanpa menyalahkan pihak lain.
Bina Kepercayaan Dan Hormat
Mak mentua dan menantu perempuan perlu saling menghormati peranan masing-masing. Jangan cepat menilai atau mengkritik tanpa memahami situasi sebenar.
Fokus Pada Kebaikan Bersama
Ingatlah bahawa tujuan bersama adalah membina keluarga yang bahagia. Utamakan kebaikan keluarga daripada perbezaan peribadi.
Luangkan Masa Bersama
Luangkan masa untuk mengenali satu sama lain, sama ada melalui aktiviti keluarga atau perbualan santai. Ini boleh membantu membina hubungan yang lebih rapat.
Elakkan Campur Tangan Berlebihan
Mak mentua perlu memberi ruang kepada pasangan muda untuk membuat keputusan sendiri. Pada masa yang sama, menantu perempuan perlu berusaha melibatkan mak mentua dalam hal-hal tertentu untuk menunjukkan penghormatan.
Hubungan antara mak mentua dan menantu perempuan adalah dinamik yang unik. Walaupun cabaran sering timbul, hubungan ini boleh menjadi erat jika kedua-dua pihak bersedia untuk memahami, bertolak ansur, dan saling menghormati.
Ingatlah bahawa asas kepada hubungan yang baik adalah komunikasi yang jujur dan niat untuk membina keluarga yang harmoni. Dengan usaha dan kesabaran, hubungan ini boleh berkembang menjadi sesuatu yang membahagiakan untuk semua pihak.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!