Kadangkala isteri mengadu PENAT. Nak dapatkan suami yang tak kekok buat kerja rumah, kena tengok macam mana cara dia layan mak ayah dia. Kalau berlemah lembut caranya, beruntunglah isteri, sebab insyaAllah anda akan dilayan dengan baik semasa mengandung, bersalin, sepanjang proses berpantang malah seluruh hidup suri.
Namun, suami juga manusia ada kekurangan. Yang tak lengkap itu, isteri bantulah melengkapkan. Yang terlebih itu, isteri sokong sampai suami jadi ‘somebody’ dalam hidupnya.
Ini kisah Guru Tahfiz di Sekolah Sri Al-Amin Bangi, Raisul Fadhla Sarifuddin yang berlemah lembut melayan isteri. Faham akan penat isteri. Beliau mendidik suami-suami di luar sana bagaimana perlu melayan isteri dengan berlemah lembut melalui perkongsian status facebooknya.
Bila Isteri Basuh Kain, Suami Tolong Sidai
Kalau isteri dah masak, suami tolong basuh pinggan, mangkuk, cawan dan kuali. Kalau sampah dah penuh, terus buang.
“Bila isteri dah basuh kain, suami tolong sidai. Jika isteri dah sidai, suami tolong ambikkan. Kalau dapat lipat dan iron, lagi power.”
“Kalau isteri dah sapu, vacuum dan kemas rumah, bila rehat tolong urut badan, tangan, kaki isteri yang lenguh-lenguh. Penat kot.”
“Bila mengandung pula, isteri dah tak boleh kerja-kerja berat. Nak berjalan pun susah, inikan pula nak buat kerja macam-macam. Masa itulah suami kena ambil peluang untuk tunjukkan kasih sayang dengan bebaskan isteri daripada tugasan yang dia tak larat buat.”
Ads
Saya sendiri bukannya Mr. Perfect Ten. Tapi saya ingat ayah pernah pesan, “Kalau tak dapat tolong, jangan sampai memyusahkan orang lain. Kalau dapat amalkan pesanan ini sahaja pun dah cukup baik. Setuju?”
Kebiasaannya beliau akan berkongsi posting-posting berkaitan isu rumah tangga pada hari Sabtu dan Ahad. Ada satu kisah yang mana beliau mencarikan roti nan cheese untuk suri hatinya yang mengidam nak makan.
“Sebagai suami yang kacak, saya terus tunggang kapcai menuju restoran mamak paling dekat rumah. Bila sampai sana, saya tengok kaunter roti naan tak buka.”
“Lepas itu saya memecut ke Kompleks Sukan Airport. Kat sana ada restoran mamak juga. Saya pernah lepak dengan rakan-rakan usrah kat sana. Sekali lagi saya hampa. Bukan setakat kaunter roti naan tak ada. Dengan restoran mamak itu pun tak buka. Huhu.
“Sekarang saya kat restoran mamak depan Tesco Nilai. Sambil tunggu naan cheese disiapkan oleh chef yang didatangkan dari Pakistan, saya update status ini.”
Ads
Kesimpulannya, sayangilah suri anda. Happy wife, happy life.
Raisul Fadhla Sarifuddin menjaga anak demi memudahkan tugas isteri.
Isteri Gantung Kuali, Suami Tolong Masak
Begitulah seharusnya seorang suami yang baik, yang faham amanah dan tanggungjawabnya. Menggembirakan hati isteri akan memberi kegembiraan kepadanya juga.
Bak katanya, orang lelaki sebolehnya nak isterinya selalu cantik dan lembut, rumah sentiasa bersih dan kemas, sokmo masak sedap dan anak-anak baik.
Tapi cuba tanya diri sendiri, dalam setahun berapa kali belanja isteri pergi spa atau belikan set rawatan kecantikan?
Dalam sebulan berapa kali kita pegang sapu, vacuum cleaner, mop dan berus ? Berapa kali basuh kain, sidai, angkat dan lipat?
Ads
Dan dalam sebulan itu, berapa kali kita ada beli barang dapur dan masak atau kalaupun tak masak, belanja makan sedap?
Balik kerja ada tak kita layan anak atau bawa anak pergi main taman? Dalam seminggu berapa kali kita mandikan anak atau basuhkan kencing berak?
Isteri Dah Penat Mengandung, Bersalin.. Menyusukan Anak
Isteri memang nak jadi perempuan paling cantik bagi suaminya. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini ramai perempuan di luar sana bagi tayangan percuma kat media sosial. Isteri kadang-kadang rasa seronok kalau ada orang gaji yang rajin kemas rumah. Isteri ada masanya rasa nak rehat dan gantung kuali juga. Suami tolong masak atau ajak makan sedap kat luar.
“Sebenarnya isteri dah penat mengandung, bersalin dan menyusukan anak. Apa salahnya sekali dua suami pula ringankan beban dan tolong apa yang patut. Dalam menjayakan sebuah perkahwinan, suami isteri perlu kerjasama sebagai satu pasukan. Kedua pihak perlu saling memahami dan bagi support.”
Nak keluarga bahagia? Sentiasa cari peluang untuk bahagiakan pasangan dan ahli keluarga yang lain. Cara paling mudah, sekali sekala urut dan picit badan, tangan, kaki isteri. Jangan urut dan picit hp sahaja memanjang.
Sumber/Foto : Facebook Raisul Fadhla Sarifuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau dah buat salah, sukar untuk seseorang itu nak mengaku salah. Sudah terang lagi tersuluh dan memang nampak apa yang dibuatnya tidak betul. Hakikatnya, di merasakan tindakan yang dilakukan itu langsung tidak salah baginya.
Begitu juga kalau dah berlaku curang. Mesti tak akan mengaku dan anggap itu kesalahan orang lain. Atau untuk kali pertama boleh mengaku salah, tapi adakah kesalahan ini akan berulang. Mungkin?
Kadang-kadang pelik dengan pasangan yang curang, bukan setakat susah nak mengaku salah tapi tak bersyukur dengan apa yang dia ada sekarang ini. Pasangan cukup baik, ada anak dan bahagia, apa lagi yang dikejar.
Antara perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah ada betulnya. Curang itu pilihan, memilih untuk tidak mensyukuri kebahagiaan rumahtangga yang dibina.
Susah Nak Mengaku Salah, Pilih Untuk Abai Tanggungjawab
Orang yang berlaku curang, susah nak mengaku salah.
Dia akan sedaya upaya cuba meletakkan kesalahannya pada orang lain.
Kononnya, dia buat salah sebab pasangan atau orang lain punya angkara.
Ada ke patut?
Ketahuilah bahawa mereka yang curang ni tak tunggu kita buat salah.
Banyak kes yang kendalikan, orang tu sudah buat yang terbaik. Boleh kata dah jadi perfect, itulah yang kena tinggal. Itulah yang kena tipu dan pasangannya berlaku curang.
Maka, jangan pernah rasa down. Rasa diri ini tak guna bila pasangan sendiri yang curang.
Itu bukan salah kita. Itu realitinya salah pasangan.
Bukan Paksaan Tapi Pilihan
Sebab curang ni bukan paksaan, tetapi pilihan.
Memilih untuk menyembunyikan. Memilih untuk buka hati pada pihak ketiga. Memilih untuk mengabaikan tanggungjawab keluarga.
Semua itu pilihan.
Dia bukan sahaja memilih untuk curang tetapi dia sebenarnya memilih untuk tidak mensyukuri kebaikan dan keharmonian rumahtangga yang dibina.
Ingatlah, bahawa orang yang tidak mensyukuri dan melakukan hal yang ditegah, orang ini tak mendapat redha Allah.
Mingguan Wanita : Kalau tak bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kalau ingat anak bini yang setia di rumah, ia tak akan terjadi.
’20 tahun kahwin, orang nampak indah.’ Kalau tiada sifat sabar, memang tak kekal rumah tangga. Dalam masa 20 tahun sudah pelbagai onak dan duri mak ayah lalui.
Bukan mudah kerana rumah tangga yang dibina tak selamanya bahagia, pasti ada pasang surutnya. Namun selagi sifat sabar wujud dalam hati, insyallah 10, 15, atau 30 tahun rumah tangga akan berkekalan seperti mana yang dikongsikan Loveta Scarves by Siti Sarah ini.
Sebenarnya, kunci kepada lamanya perhubungan itu adalah sabar. Orang akan nampak macam 20 tahun itu adalah tempoh yang seronok, yang bahagia, walhal dalam 20 tahun itu sudah macam-macam yang jadi dalam rumah tangga.
Sudah pernah ada rasa nak berpisah, malah pernah ada rasa nak mengalah, sudah pernah ada rasa tawar hati. Juga pernah ada rasa nak hidup sendiri. Kalau bukan disebabkan sifat sabar yang ada dalam hati itu, tak mungkin dan hampir mustahil untuk bertahan selama tempoh tersebut…
Sepanjang tempoh mendirikan rumah tangga, ada naik turunnya. Ada ketikanya bahagia dan ada masanya bermasam muka. Bukan hari-hari kita gembira dan bukan juga hari-hari kita berduka…
Sabar dalam rumah tangga ini tak terhad kepada sabar dengan sikap dan perbuatan pasangan semata-mata. Ada orang bersabar dengan mertua. Kemudian ada orang bersabar dengan ipar duai.
Kalau Tiada Sifat Sabar
Malah, ada orang bersabar dengan orang ketiga, selepas itu ada orang bersabar dengan kesusahan keluarga, ada orang bersabar dengan ujian kesihatan. Serta ada orang bersabar dengan rezeki Allah SWT dan sebagainya.
Kalau sabar itu tiada di hati, dalam beberapa bulan sahaja hubungan itu sudah tamat atau sudah diletakkan titik hanya kerana tak sabar…
Tak sabar dengan sikap dan perbuatan pasangan, atau tak sabar dengan mulut mertua dan tak sabar dgn karenah ipar duai. Segelintir pula tak sabar dengan kehadiran orang ketiga, ada juga tak sabar hidup susah dan sebagainya…
Uniknya hati itu kerana hati sentiasa berpesan dan menasihati diri serta akal untuk terus menanti sesuatu yang tak pasti…hati kalau sudah sayang, akan sentiasa meletakkan harapan dalam hubungan itu agar ianya berkekalan…
Selagi hati boleh bersabar, maka selagi itulah hubungan akan berjalan walaupun ianya tidak selancar yang difikirkan…
Untuk berada dalam tempoh 15 tahun, 20 tahun perhubungan bukanlah sesuatu yang sukar, namun ianya juga tidak semudah yg disangkakan…
Hanya SABAR sebagai peneman…
Nota Kaki : Ada orang, kesabaran dia hilang selepas 20 tahun…disaat kesabaran dia hilanglah dia mula untuk buat pilihan yang baru kerana dia sudah cukup lama bersabar….
Mingguan Wanita : Kalau hilang sabar, hancurlah segalanya.
Pernahkah anda berada dalam situasi ini. Pulang dari kerja, terkejar-kejar nak memasak hidangan makan malam. Bila anak-anak nak bercakap dan berkongsi sesuatu, akan diabaikan saja. Lagi teruk jika anak itu dimarahi kerana menganggu fokus anda yang tak menang tangan nak buat itu dan ini. Tanpa sedar, ia memberi kesan tidak elok untuk perkembangan diri anak-anak. Ayuh hayati perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia yang juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari, tidak dapat dinafikan kita letih dan amat penat. Keberadaan kita di rumah terkadang hanya tinggal jasad yang longlai dan tidak ada tenaga. Sedangkan pada ketika itulah anak-anak ingin mendapatkan perhatian kita bagi mengubat rindu setelah seharian tidak bertemu. Suara manja mereka sentiasa kedengaran inginkan perhatian, pelbagai persoalan yang diajukan, pelbagai cerita ingin diberitahu.
Begitulah hakikat kehidupan yang kita jalani sehari-harian. Hanya pada Allah tempat mengadu kelelahan dan tempat memohon bantuan. Ya benar, sememangnya kita keletihan namun, usah lupa ada Allah bersama kita yang mampu meringankan bebanan yang kita tanggung. Justeru, bermunajatlah dan mengadulah segala kesukaran itu kepada-Nya yang Maha mendengar. Usah dilemparkan rasa letih dan penat itu kepada anak-anak yang tidak bersalah pasti kita lebih sakit melihatnya menangis kesayuan akibat herdikan kasar ibu yang dinanti sedari pagi. Pasti itu memeritkan.
Tulus
Usah kita lupa bahawa anak-anak kita memiliki hati yang tulus. Kasih sayangnya juga tulus tiada berselindung. Panggillah dia dengan namanya dengan penuh kasih sayang pasti itu amat menggembirakannya. Hadiahkan dia sekuntum senyuman yang manis walaupun kita sudah tidak berdaya untuk memberikan respons kepada ceritanya yang panjang. Ketahuilah juga anak-anak kita amat memahami. Dia juga tidak mahu kita kelelahan cuma berikan dia sedikit masa untuk memberitahu kita tentang perkara itu.
Ayah dan ibu yang dihormati, respons bukan sekadar dengan perkataan, boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan dan senyuman. Malah respons seperti ini memiliki auranya yang tersendiri. Apabila anak memanggil kita, jawablah panggilannya dan jika dia sedang memandang kita angguk dan senyumlah kepadanya. Ini menunjukkan kita amat mengalu-alukan dirinya.
Dalam banyak hal, kita harus terlebih dahulu membuat komitmen untuk tampil sebagai contoh kepada anak. Jika kita gagal menjawab panggilan anak dengan baik, maka contoh tersebut yang kita tunjukkan kepada mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka juga menggunakan cara yang kasar atau lambat menyahut sapaan dan panggilan kita.
Jadi Contoh
Tambahan pula di zaman ledakan teknologi. Di mana aktiviti di dalam telefon bimbit tidak pernah berhenti. Ada sahaja mesej yang masuk, ada sahaja kerja baru yang sedang menanti. Ketika ini lebih lagi kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Dengan apa yang kita praktikkan, pastikan anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan teknologi dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana mereka adalah generasi high-techonology. Jika tidak diberikan panduan sudah tentu mereka akan hanyut di dalam arus derasnya yang deras.
Dalam pada itu, mereka masih lagi sedang belajar untuk membina perisai diri dengan agama. Maka bantulah mereka dengan menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Agar mereka dapat menyeimbangkannya dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Ayah dan ibu sekalian, bagi meneguhkan hal itu, kita harus berperanan sebagai pemandu arah dengan menggunakan sentuhan insaniah yang baik bagi menyentuh rohani mereka. Antaranya ialah dengan mengusik emosi mereka dan merantai sanubari mereka dengan agama. Mereka harus didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diutamakan sebagai umat Islam. Maka keperluan emosi mereka harus disantuni dengan baik. Mereka perlu rasa diri mereka disayangi dan dihargai kemudian, insya-Allah pendidikan dan nasihat kita mudah untuk menyelinap di dalam hati.
Akhirnya, sebagai orang kepercayaan dan kesayangan mereka, penuhilah impian mereka untuk berbual mesra, bergelak ketawa dan bergurau senda sementara kita diberikan peluang dan ruang itu. Ketepikanlah sebentar keletihan kerana apa yang sedang kita lakukan dalam menyantuni mereka hakikatnya ada Rahmat dan Kasih sayang Allah di dalamnya. Jadi, jawablah panggilannya dengan baik dan penuh kasih sayang, insya-Allah kita juga bakal menerima keadaan yang sama di waktu kita memerlukannya kelak. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...