Wanita dan anak, ibarat isi dan kuku. Anak adalah sebahagian daripada diri wanita setelah dirinya bergelar seorang ibu. Kadang kala kemahuan dan keinginannya diketepikan demi anak yang tersayang. Bukan sahaja kemahuan sendiri, kadang-kadang kemahuan suami pun agak terabai kerana menguruskan anak-anak.
Sikap ini lama-kelamaan tanpa isteri sedar membuatkan sang suami mula berjauh hati dan seterusnya rasa terpinggir. Tetapi tolong fahami lah keadaan isteri wahai suami, anak-anak perlukan isteri anda melebihi kalian. Ikuti pandangan Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat tentang isu ini.
“Saya melihat dari sudut fitrah, sememangnya naluri seorang ibu akan lebih dekat dan cenderung menghabiskan waktu untuk anak-anak. Ini terutamanya selepas melahirkan anak pertama, ibu pastinya sangat teruja dan kadangkala boleh menyebabkan terabai peranan seorang isteri terhadap suami, tanpa sedar.
“Ia bukanlah suatu kesalahan tetapi perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang sebaiknya,” ujarnya memulakan perbualan.
Malahan, situasi begini perlu difahami secara bersama. Secara umumnya, seorang suami perlulah faham perubahan yang berlaku, kerana sebelum ini masa digunakan untuk mereka berdua, tetapi ia berbeza apabila jumlah masa yang sama perlu dibahagikan untuk tiga orang.
Selain itu, isteri yang bijak juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak tanpa menyebabkan suami terasa terpinggir. Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kita melayan suami dengan cara melayan anak-anak menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan kadangkala kita tidak mendisiplinkan masa yang sesuai untuk melayan anak dan untuk suami.
Perkara ini berlaku kadang kala dengan pelbagai alasan seperti anak perlukan kita tanpa mengira waktu, anak-anak masih kecil perlu diberi layanan yang lebih atau alasan suami sudah pandai menjaga diri dan dewasa untuk berfikir menguruskan diri sendiri.
Ini adalah antara alasan yang akhirnya menjadikan kita berterusan tanpa ada motivasi untuk berubah dan akhirnya menjejaskan hubungan serta pastinya mengganggu keharmonian keluarga yang dibina. Seharusnya rumah tangga yang dibina menjadi indah dengan lahirnya anak-anak.
Di samping, jelas Dr Mohd Noor, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu. Namun kita perlu bijak untuk menghadkan waktu-waktu tertentu melayan suami:
Kesimpulannya, menurut Dr Mohd Noor, situasi sebegini akan menimbulkan beberapa implikasi seperti kes suami mulai curang selepas isteri melahirkan anak. Malah ada satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat mendedahkan antara punca perceraian yang berlaku adalah disebabkan isteri yang terlalu keibuan dan suami yang terlalu kebapaan.
“Suami memerlukan kita sebagai isteri, dengan sifat ke”isteri’an, bukannya keibuan. Akibat terlalu mengutamakan anak, isteri yang menumpukan perhatian terlalu banyak kepada anak-anak menjadikan tanpa sedar, lebih terbawa-bawa bersifat keibuan, walaupun ketika bersama suami. Begitu juga sebaliknya, isteri juga mengharapkan suami yang bersifat ke’suami’an, bukannya kebapaan.
“Malah mudah sebenarnya untuk difahami, fitrah suami sebagai lelaki sentiasa memerlukan seorang isteri yang menghormati dan mentaatinya. Disebabkan persoalan kali ini menjurus kepada peranan isteri, untuk kita sebagai isteri, saya yakin kita telahpun menjalankan tugas yang betul apabila menumpukan keperluan anak-anak dalam keluarga,”katanya lagi.
Namun, dengan kaedah dan pendekatan yang bijak, insyaallah tidak menyebabkan suami rasa terpinggir. Contohnya, kita elakkan kesan negatif yang mungkin berlaku kepada suami seperti rasa tidak dihormati, rasa sunyi lantaran tiada teman untuk bermanja dan dibelai, malah mungkin terasa kehilangan isteri yang cantik, seksi dan menggoda disebabkan karakter kita sebagai ibu biasanya tidak menampilkan sifat-sifat sebegitu.
Akhirnya, kita bimbang lama-kelamaan tanpa kita mengendahkannya, kehilangan yang dirasai oleh suami tadi diisi oleh orang lain. Bukan sahaja hubungan kita yang terganggu, malah hubungan suami dengan anak kita juga mungkin tidak menjadi baik.