Isteri Bukan Mesin ATM, Suami Jangan Ambil Kesempatan Bab Duit Gaji

Share

Makin seram akhir-akhir ini apabila ada segelintir lelaki yang sengaja mencari bakal isteri yang ada kerja.. gaji bagus malah stabil kewangannya. Alasannya nak hidup senang lepas kahwin.

Lebih seram.. bila mana ada pula segelintir bakal mak pak mentua yang letakkan standard menantu perempuan perlu ada kerja bagus, pegawai kerajaan malah gaji tip top. Siap pesan ke anak lelaki, cari menantu sebegitu untuk jaminan masa depan.

Uiii… memang seram. Apa yang dikongsikan Puan Intan Dzulkefli ini benar-benar terjadi ya mak ayah. Sebab itulah kita kena tengok balik, apa sebenarnya tujuan perkahwinan itu. Adakah semata-mata kerana wang, kedudukan atau kerjaya?

Makcik Pesan Kat Anak-anak Cari Bini Yang Kerja Kerajaan

Teringat suatu ketika dulu, saya duduk di dalam satu majlis perkahwinan, kebetulan waktu itu duduk berdekatan dengan kaum wanita yang umurnya lebih kurang ibu saya.

Apa kerjanya pengantin perempuan?” tanya seorang wanita.

Tak pastilah cikgu ke nurse. Tapi pegawai kerajaanlah,” Jawab yang lainnya.

Pandai cari… Bertuahlah,” ujar makcik di sebelah saya. Saya memandang wajahnya. Dia tersenyum memandang saya.

Zaman sekarang kena pandai cari bini, kalau boleh cari yang bekerja. Lagi bagus kalau kerja kerajaan. Makcik pesan juga kat anak-anak lelaki makcik, macam nilah. Carilah cikgu ke, staff nurse ke. Untung-untung dapat duduk kuarters, elaun banyak, nak buat pinjaman senang

.” Jelasnya tanpa diminta.

Betul, kena pandai cari. Macam anak sedara saya tu, laki kerja biasa je tapi dapat beli rumah sendiri 300k tu kat bandar xx tu sebab bini dia keja staffnurse, loan senang lepas,” cerita makcik seorang lagi.

Ya, makcik,” saya mengiyakan sahajalah.

Walau Suri Rumah, Puas Hati Dapat Jaga Anak Sendiri

Awak kerja apa? Cikgu ke?” tanya makcik yang duduk sebelah saya.

Saya surirumah,” balas saya ringkas. Waktu itu saya baru resign, belum start bisnes online lagi.
Allah. Nampak terus berubah riak wajah wanita itu. Senyuman kelat dilemparkan.

Takpe… Puas hati kan dapat jaga anak sendiri.” ulasnya pendek.

Saya cuma membalas “Alhamdulillah,” sambil tersenyum nipis.

Dalam hati saya sebak. Sebak sebab bersyukur. Syukur alhamdulillah, suami dan mertua tak ada pemikiran yang ‘advance’ sebegitu. Mereka pinang dan terima kehadiran saya pun waktu saya belum habis belajar lagi waktu tu. Memang tak ada ‘apa-apa’.

Cari Isteri Kerajaan Sebab Nak ‘Tumpang’ Hasil Isteri

Pernah juga lihat komen-komen kaum lelaki tentang kriteria ‘isteri kerja kerajaan’ ni. Begitu jugalah… Senang jika duduk kuarters, senang nak buat loan, senang nak dapat backup bila tak cukup duit tengah bulan.

Baru-baru ini pula saya terbaca berita, seorang doktor wanita ditipu suaminya dengan bebanan hutang dan pinjaman peribadi hingga nilai komitmen mencecah setengah juta.

Ya Allah, banyak tu!

Rupanya, benarlah memang ada segelintir lelaki yang ada persepsi mahukan ‘isteri kerja kerajaan’ untuk ‘menumpang’ mahupun ‘mengerah’ hasil isteri.

Astaghfirullah al adzhim

Setiap Ibu Mahukan Yang Terbaik Untuk Anak-anaknya

Saya tak mahu judge makcik yang ‘berpesan’ kepada anak-anak lelakinya tentang kriteria calon isteri kerana saya tahu, setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Bukan tidak ada kes, suami pula yang berhutang keliling pinggang bagi memenuhi keinginan isteri yang bernafsu besar sedangkan isteri tidak mahu berusaha sendiri. Runtun hati mak apabila lihat anak lelakinya ‘dikerah’ sebegitu. Mungkin sebab itu mula ada pemikiran seperti yang saya ceritakan tadi.

Nak cari menantu berkerjaya. Supaya menantu tak jadi ‘hantu’ yang menyusahkan anak lelakinya.

Namun, harapnya mak-mak yang ada pemikiran sebegini jangan kecil hati, jika pihak lelaki masuk meminang anak perempuan kalian pula bertanya, “anak makcik kerja apa? Kerajaan ke swasta?”

Sedihnya.. Bila Isteri Ada Gaji Tak Lagi Jadi Penerima Nafkah

Pernah juga kenalan yang bekerjaya hebat, terlepas keluhan kepada saya,

Kadang cemburu dengan kenalan yang housewives, suami mereka tak pernah lupa bagi duit nafkah.

Tahu tak, kadang orang perempuan yang bekerja ni, nampak macam gaji banyak kan, macam senang..

Tapi sebenarnya tak pernah ‘rasa’ pun duit suami. Dapat gaji terus bagi suami, bayar semua komitmen rumahlah, keretalah, belanja itu ini.”

Terdiam saya waktu itu. Sebab luaran kita nampak hebat sahaja kan. Allahu musta’an.

Betul… Tidak semua begitu. Namun, ianya berlaku.

Banyak berlaku kes, isteri tidak lagi menjadi penerima nafkah, bahkan dia pula yang mengepalai nafkah rumahtangga termasuk makan pakai suami! Astaghfirullah al adzhim.

Namun, ramai juga suami yang biarpun isteri berpangkat besar, mereka tak pernah culas bab nafkah. Bahkan perbelanjaan nafkah tak pernah diambil ringan, setakat kemampuannya sahajalah.

Alhamdulillah.

Ingat Ya! Isteri Bukan Mesin ATM

Kadang isteri tak berkerja pun sering dibuli juga, diabaikan bab nafkah dan sebagainya. Atau isteri yang bekerja sendiri pun ada juga yang kena ‘pow’.

JADI ISUNYA BUKAN TENTANG ISTERI BEKERJA ATAU TIDAK. MELAINKAN NIAT DAN PEMIKIRAN INDIVIDU.

Jauhilah persepsi terhadap pasangan sebagai ‘mesin atm’, atau tempat kita mengambil kesempatan semata-mata.

Sebab itulah, niat, matlamat dan pemikiran seseorang individu itu sendiri perlu diperbetulkan sejak dari sebelum nikah. Kita memandang pernikahan dan pasangan kita itu sebagai apa. Semata-mata untuk kesenangan dunia ataupun untuk sama-sama bersusah payah memikul bebanan dakwah dan rumahtangga?

Perkahwinan jika niat awalannya tidak berfokus kepada mardhatillah, mudah membuatkan kita tersasar, bahkan kadang tersungkur dalam perjalanan mengemudi bahtera perkahwinan.

Hal ini kerana, setiap perkahwinan ada pasang surut, ‘upside down’, tetapi kita ‘get back on track’ kerana muhasabah kembali niat dan matlamat perkahwinan kita. Akujanji waktu pernikahan dulu.

Innamal a’malu binniyat.

Pokok bagi sesuatu amal adalah niatnya.

Jika kita berkahwin hanya sebab mahu mengambil kesempatan terhadap pasangan, tidak ikhlas mahu sama-sama mengejar redha Allah, dikhuatiri dari awal lagi kita sudah tercicir keberkatan Tuhan.

Rahsia Pasangan Dulu-dulu Mesra Melekat

Teringat almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bercerita, orang dulu-dulu tidur kadang hanya berbantal lengan, tidur saling menyandar untuk memanaskan badan kerana selimut pun tidak ada, namun tautan hati mereka kadang lebih erat berbanding pasangan yang tidur di tilam empuk dan berpendingin hawa.

Allahuakbar.

Wahai suami, wahai isteri. 
Wahai kaum lelaki, wahai kaum wanita.
Betulkanlah semula niat kita berkahwin. Baik yang mahu berkahwin ataupun yang sudah berkahwin. Sama-sama muhasabah kembali.

Sentiasa tajdid niat kita, fokus kepada matlamat kemana pernikahan kita hendak di bawa.
Ibubapa juga sama-sama muhasabah. Jangan hingga menganiaya sesiapa. Menantu kita pun adalah anak kita juga. Betulkan niat, insyaAllah ketenangan akan datang.

“Sesungguhnya setiap amalan tergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya seseorang hanya mendapatkan apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrah kepada apa yang dia tuju,” (HR Bukhari dan Muslim)

Sumber/Foto : Intan Dzulkefli

Published by
Netty Ah Hiyer