Beruntunglah mak-mak yang dapat menyusukan anak selama dua tahun. Ada sesetengahnya, dalam pantang lagi tak dapat menyusukan anak dan perlu bagi susu formula sahaja.
Dalam tempoh dua tahun menyusu tu, rasanya macam-macam yang mak lalui. Luka, sakit dek kena gigit oleh anak. Maklumlah, masa usia nie gigi anak pun dah banyak, niatnya mahu bagi anak menyusu badan sehingga dua tahun jugak.
Rupanya, mak-mak boleh meminta upah daripada suami sebab menyusu anak. Nampak macam pelik kan. Tapi , itulah self reward mak-mak untuk diri sendiri.
Ini perkongsian daripada Insyrah Solehah tentang apa yang diperkatakan tentang upah menyusu anak.
Saya selalu cakap setiap bulan saya minta Naan Cheese, qeema dan Mango Lassi dekat suami sebagai upah menyusu anak. Kawan-kawan gelak. Saya hairan juga mula-mula apa yang kelakar sangat.
Self reward. Ada orang suka beg tangan, barang kemas, pakaian baru. Tapi saya suka makan, spesifik Naan Cheese dan Mango Lassi adalah makanan yang saya wajib minta setiap kali ke Restoran Pakistan sebagai upah menyusu.
“Suami kena beri upah menyusu kepada ibu yang menyusu.”
“Isteri boleh minta upah menyusu kepada suami selagimana menyusu anak.”
Saya juga berbincang dengan suami had maksima tempoh penyusuan anak. Adakah 2 tahun atau 2 tahun 6 bulan.
Dalam Al Quran, ayat tempoh kandungan dan menyusukan anak tu ada 2 terjemahan dari ulama’.
Imam Syafie, berpendapat tempoh penyusuan tu selama 2 tahun (24 bulan) selepas mengambil kira tempoh kehamilan minima adalah selama 6 bulan untuk seseorang bayi survive di dunia.
Bagi mazhab Hanafi, terjemahan ayatnya pula lebih kepada 30 bulan tempoh hamil dan 30 bulan tempoh menyusu. 30 bulan = 2 tahun 6 bulan.
Saya pun baru tahu pandangan mazhab Hanafi berkenaan tempoh penyusuan 2 tahun 6 bulan.
“Tapi macammana seorang ibu nak mengandung sampai 2 tahun 6 bulan?”
“Imam Syafie, ibunya mengandungkan beliau 2 tahun.”
Suami suruh sambung study lagi fasal ni.
“Bila berlaku 2 perbezaan pendapat berkenaan tempoh penyusuan akan berlaku perbezaan hukum :
1. Najis bayi lelaki
2. Umur anak susuan
Mazhab Syafie, 2 tahun.
Mazhab Hanafi, 2 tahun 6 bulan.”
Jadi nak menyusu sebenarnya sampai 2 tahun atau 2 tahun 6 bulan?
Saya bentangkan pada suami pula kajian sudut sains.
“Bayi selepas 2 tahun dah tak perlukan susu hatta susu formula sebagai makanan tambahan. Kebiasaan mereka dah ada gigi dan fungsi gigi ni untuk hancurkan makanan. Jadi Allah dah beri gigi, kita bagi anak makan nasi lah lagi kenyang.”
Ramai isteri tak tahu, boleh minta upah menyusu dari suami.
Saya selalu kira-kira. Sebulan susu paling murah anggaran RM25/pek. Kalau seminggu 1 pek, sebulan RM100.
Sekeping Naan Cheese + Mango Lassi tak sampai RM20 dan boleh buat gembira, apa salahnya. Itu juga upah sewajarnya dan tidaklah membebankan suami.
Mungkin orang lain suka Nasi Lemak + Teh Tarik nak makan seminggu sekali, tafaddal masykura.
Tidaklah bermakna bila ibu minta upah menyusu tak sayang anak sendiri sampai kena minta upah, sebenarnya sayang anak lah minta upah supaya ibu gembira anak pun akan gembira sama.
Pandangan ulama’ Mazhab Syafie berkenaan penyusuan.
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.
(Surah al-Baqarah, ayat 233)
Ayat di atas merupakan dalil bahawa penyusuan anak sehingga 2 tahun genap adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya. Wajib bagi si bapa untuk memberikan upah kepada isterinya, atau bekas isterinya yang melahirkan anaknya, bagi penyusuan tersebut jika dia meminta.
Namun wajib ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan al-liba’, yakni susu yang turun pada awal-awal kelahiran (kolostrum). Ini kerana anak itu kebiasaannya tidak hidup tanpanya, dan bahan lain tidak mampu menggantikannya. Bahan lain juga tidak menguatkan anak dan memberikan kekuatan pada perkembangan bayi.
Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/290) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.
Berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah: “Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredhaan kedua ibu bapa.”
Rujuk Tafsir al-Qurtubi (3/162)
Manakala menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: “Dan harus bagi ibu untuk meneruskan penyusuan selepas dua tahun sehingga separuh tahun ketiga atau lebih daripada itu.”
Rujuk Tuhfah al-Maudud (hal. 235)
Ringkasnya,
Selepas 2 tahun, boleh teruskan penyusuan tapi tak boleh minta upah menyusu.
MW: Minta upah menyusu dengan suami, janganlah barangan yang mahal-mahal yang membebankan suami. Kesian suami. Sekadar untuk self reward mak-mak.
Sumber: Insyirah Solehah