Inilah istimewanya seorang wanita, sebaik bergelar isteri. Hidupnya bukan lagi untuk dirinya semata-mata, malah diserahkan kepada suami dan anak-anaknya. Sebab itulah isteri boleh ingat segala benda yang ada di rumahnya.
Sebagaimana yang dikongsikan Ustaz Khairul Anuar Basri, betapa hebatnya seorang isteri. Maka itu, hargailah isteri dengan segala apa yang suami ada. Agar semakin bahagia rumah tangga.
PENGHARGAAN BUAT PARA ISTERI
Isteri memang wanita hebat
On the very first day dia jadi seorang isteri kepada suaminya, dia telah melakukan kehebatan demi kehebatan, satu persatu sehingga ke akhir hayatnya.
- Dia serahkan diri dan seluruh kehidupannya kepada seorang lelaki yang asing. Dia sendiri pun tidak pasti adakah pilihannya itu tepat. Harapannya tinggi agar lelaki itu menjaganya sepenuh hati sehingga ke helaan nafas yang terakhir.
- Dia sanggup menjadi suri di dalam rumah suaminya. Segala makan pakai dan urusan suaminya perlu diatur dengan sebaik mungkin. Segala perkara yang asalnya dia tak perlu ingat dan ambil tahu, pun dia akan ambil tahu. Semuanya dilakukan atas dasar sayang dan tanggungjawab.
- Dia akan terjun sepenuhnya dalam keluarga besar suaminya. Dia kena ambil tahu bukan saja tentang siapa ipar duai dan biras-birasnya, tapi juga saudara-mara jauh dan dekat sebelah suaminya. Dan dia tidak pernah failed untuk mengingat siapa mereka semuanya.
- Dia akan mengandungkan anak-anak suaminya satu persatu. 9 bulan 10 hari dengan segala penat, lelah dan alahan akan ditempuh dengan kesabaran. Tak pernah walau sedetik pun dia berenggang dengan perutnya. Sabar sungguh dia meniti hari demi hari menanti saat bayi akan dilahirkan.
- Dia akan bertarung nyawa ketika melahirkan anak-anak suaminya. Antara hidup dan mati saat di bilik bersalin. Koyak kulit dan putus urat bermandi darah tak pernah dia kesahkan. Semuanya akan hilang saat mendengar tangisan bayi yang sekian lama didambakan.
- Dia akan berikan sepenuh masa membesarkan anak-anak suaminya. Bermula dari tempoh menyusu sehinggalah si anak mampu berjalan dan berlari. Tak pernah satu pun permintaan anak-anak yang dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi. Ketika ini dunianya adalah anak-anak yang membesar di depan matanya.
- Dia akan berjaga sepanjang malam bila anak-anak sakit. Kadang-kadang akan ambil cuti kerja untuk bawa anak-anak ke klinik. Sebab itu para ibu tidak boleh sakit. Kerana ada orang sakit lain yang mesti dijaganya sepenuh hati iaitu suami dan anak-anak.
- Dia akan ambil tahu segala urusan anak-anak. Apa yang mereka belajar, siapa yang mereka berkawan, kerja rumah apa yang mereka dah pandai lakukan… dan macam-macam lagi. Pendek kata, takde wanita yang bergelar isteri dan ibu, maka tak teruruslah seluruh isi rumah.
- Dia akan uruskan segala keperluan anak-anak bila suami tiada di rumah. Kalau terpaksa drive kereta, dia akan drive. Masuk kedai sini, panjat pejabat sana. Walau takut dan bimbang, tetap juga dia usahakan demi keperluan anak-anak.
- Dia akan pastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur. Kalau takde orang nak tolong sekali pun, dia pasti akan buat sorang-sorang. Menyapu sampah, vacuum, mop lantai, basuh baju, jemur kain, lipat pakaian, basuh pinggan dan lain-lain. Penat dia, ditelan seorang. Nyenyak tidurnya kerana keletihan.
- Dia akan masak untuk suami dan anak-anak pagi, tengahari dan petang. Walaupun kadang-kadang ada pembantu rumah, ada si suami yang tetap nak rasa hasil air tangan isterinya. Digagahkan juga walau penat macamana sekalipun.
- Kalau dia seorang yang berkerjaya, dia akan melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Kerja hakiki dibereskan dengan senang hati. Kerja rumah diselesaikan tanpa banyak bunyi. Inilah kehebatan tahap dewa yang tidak ternafikan oleh sesiapa sekalipun.
- Dia mampu bertahan di saat cintanya diuji oleh suami yang nakal. Dia mampu bersabar di saat hatinya disakiti oleh anak-anak yang kurang ajar. Pedihnya dia tanggung seorang diri. Lagaknya seperti biasa seakan-akan menyembunyikan segala kepedihan.
Isteri Boleh Ingat Segalanya
Ini paling best. Dia akan ingat benda-benda kecil macam nombor, tarikh lahir dan tarikh special. Dia akan jumpa barang yang suami dan anak-anak terkial-kial mencarinya tak jumpa-jumpa. Dia akan ingat peristiwa lepas dengan baik.
Cumanya yang dia lemah sikit nak ingat ialah jalan nak pergi ke mana-mana. Yang tu memang dia perlukan seorang lelaki bergelar suami. Ngeh ngeh ngeh.
Sebab itu kita katakan isteri memang wanita hebat.
Hebat dunia hebat akhirat.
Wahai seorang wanita, darjatmu diangkat tinggi oleh Allah kerana kehebatanmu. Sehingga Allah meletakkan syurga hanya di tapak kakimu.
Syurga suamimu di telapak kaki ibunya. Syurga anak-anakmu di telapak kakimu. Kedua-duanya adalah kaki seorang wanita.
Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf seorang ibu 3 kali ganda lebih tinggi dari seorang ayah. Anak-anak mesti taat kepada ibu terlebih dahulu sebelum daripada taat kepada ayah.
Rasulullah SAW juga memberi tawaran yang tidak diberinya kepada orang lelaki.
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.
[Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Ya Allah… jadikan isteri kami wanita yang solehah. Mereka menjaga solat 5 waktu. Mereka berpuasa pada bulan Ramadhan. Mereka menjaga maruah. Mereka taat kepada kami.
Ya Allah… masukkan isteri kami ke dalam syurgaMu yang paling tinggi dari mana-mana pintu yang mereka kehendaki.
Amin.
#KAB
Mingguan Wanita : Betul tu, bila suami atau anak-anak lupa. Isteri boleh ingat segalanya termasuk keperluan suami dan anak-anak.
Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri
DAFTAR SEKARANG WEBINAR EKSKLUSIF CEO BISNES VIRAL DI
https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-eksklusif-ceo-bisnes-viral/