Dahulu, cakap lembut dan santun, sekarang segala jenis perkataan terpacul keluar. Terus hilang hormat pada suami. Sang suami pula, tidak mampu berbuat apa-apa. Nasihat dan teguran, langsung tidak diendahkan. Untungnya dapat suami yang penyabar. Tetapi tahap kesabaran ada juga batasan. Silap hari bulan boleh runtuh rumah tangga akibat isteri yang panas baran.
Kali Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) ada kupasan tentang isteri yang panas baran nie.
Fitrah Wanita
Secara fitrahnya, wanita lebih penyabar dan lambat menjadi panas baran. Tetapi, fitrah adal ini boleh berubah sekiranya kita membiasakan sesuatu secara konsisten dan lama-kelamaan menjadi tabiat.
Pada asasnya, isteri bukanlah fitrah sifatnya pemarah atau panas baran. Isteri atau ibu lebih cenderung kepada memendam perasaan, memujuk diri dan bersabar. Malah, barangkali suka meluahkan dalam bentuk leteran dan ucapan-ucapan merajuk untuk menarik perhatian.
Sebenarnya, isteri memberontak dan berleter bukanlah bermaksud marah atau panas baran tetapi lebih kepada tunjuk perasaan. Kebiasaannya begitulah…
Walau bagaimanapun, fitrah ini seharusnya dikawal dengan kebijaksanaan ilmu dan kesedaran iman kepada Allah yang menciptakan pasangan untuk saling melengkapi dan membahagiakan.
Tidak Tunjuk Kasih Sayang
Boleh jadi, sifat panas baran isteri terjadi kerana salah satunya hilang rasa disayangi sehingga menjadikan hati isteri memberontak dan menunjukkan rasa marah kepada suami.
Walaupun begitu, bukan bermakna hilang kasih sayang suami tetapi kadang kala suami tidak menunjukkan kasih sayang seperti mana yang diharapkan oleh isteri menyebabkan salah faham dan akhirnya tunjuk perasaan dan marah-marah.
Kebanyakan suami tetap sayang malah akan lebih bertambah sayang tetapi ia tidak ditunjukkan. Cuma, masing-masing perlu memahami karakter fitrah pasangan agar tidak mudah salah faham sikap pasangan.
Bukan Tidak Hormat
Jika diperhatikan, ada kaitan apabila isteri marah dengan rasa hormat mereka kepada isteri. Keadaan ini, sama ada disebabkan terikut-ikut rasa benci, menyampah atau memandang rendah kepada suami. Mungkin juga disebabkan rasa tidak dihargai oleh suami. Kadang-kadang, semua ini menunjukkan sifat tiada rasa hormat dan kepercayaan terhadap keputusan atau tindakan suami.
Sifat hormat dan percaya kepada suami akan menguburkan rasa marah dan menyuburkan sifat sabar. Pada masa yang sama, tidak dinafikan boleh menjadi pemula dengan sifat kejam, kasar dan tidak bertanggungjawab suamiyang melampau menyebabkan isteri hilang rasa hormat dan mudah berubah menjadi pemarah dan sebagainya.
Isteri Panas Baran. Suami Patut:
- Seorang suami yang penyayang, pastinya tidak akan menjadi punca untuk isteri panas baran.
- Korbankan ego suami sedikit untuk elakkan ketegangan yang semakin serius.
- Cubalah gunakan masa untuk menegur antara satu sama lain.
- Elakkan melakukan sesuatu yang suami sudah tahu ada perkara yang boleh menyakitkan hati atau memperlekehkan pasangan dan mengelakkan timbul rasa marah serta hilang hormat.
- Lakukan perkara yang disukai pasangan.
- Tiada isteri mahupun suami yang akan marah bila waktu terasa dihargai dan rasa bahagia.
Ego Isteri
Sama ada isteri atau suami, kedua-duanya mempunyai ada ego sendiri, tetapi berbeza. Namun secara psikologinya, fitrah asal isteri bukanlah bersifat panas baran. Jika isteri dirai dan dibimbing dengan cara fitrahnya, isteri tidak akan bersifat panas baran dan mudah menghormati suaminya.
Masing-masing perlu merendahkan ego dan hormati ego pasangan masing-masing. Kesannya,pasangan kita akan mudah mengalah dan menghormati ego kita.
Elakkan berkeras dan bertekak untuk menegakkan pendirian masing-masing ketika bergaduh atau apabila mengetahui perkara itu boleh berpotensi menyala api kemarahan pasangan.
Teruslah jadi wanita yang hormat dan bercakap lembut kepada suami kerana itu adalah membahagiakan suami dan menjadi tuntutan dlm agama.
Peranan Suami
Suburkan rasa sayang, kasihan belas, lemah lembut kepada isteri walaupun kadang kala ada tindakan isteri di luar logik pemikiran kita. Isteri biasanya lebih cenderung kepada pemikiran emosional.
Rajuk isteri perlu dipujuk. Elakkan dari membiarkan rajuk isteri berterusan dan bersambung-sambung banyak kali kerana ia akan menyebabkan rasa terpendam, terkumpul dan boleh berakhir dengan rasa marah yang melampau.
Sentiasa tunjukkan kasih sayang dan elakkan buat keputusan ketika isteri tidak bersetuju apalagi ketika isteri menunjukkan rasa marah.
Peranan Isteri
- Suburkan rasa hormat dan percaya kepada keputusan atau tindakan suami. Biasanya suami berfikir lebih rasional.
- Disiplinkan diri sentiasa lembut dan hormat kepada suami kerana dengan sikap begini akan mencairkan suami.
- Kuatkan diri untuk mengikuti cara Siti Fatimah r.a yang tidak pernah melawan apa lagi marah-marah pada Sayidina Ali r.a. Inilah sifat model wanita yang mengetuai wanita syurga.
Eratkan Kasih Sayang Suami Isteri
- Hubungan suami isteri perlukan asas percaya-mempercayai akan mengelakkan hilang rasa hormat ataupun rasa marah.
- Elakkan kita berterusan menyakitkan hati pasangan kerana lama-kelamaan membiasakan pasangan kita menyimpan rasa sedih yang lama dan akhirnya menjadikannya keras hati terhadap kita.
- Antara panduan yang baik, jangan abaikan permintaan atau komen pasangan kita yang berulangkali disebut. Ini kerana pasangan kita menunjukkan itu penting baginya, walaupun kadang kala kita kurang memahami kepentingan mengikut fikiran kita.
- Jadilah suami yang ambil berat, lembut, romantik dan isteri biasanya tidak akan ada sebab untuk jadi panas baran.
- Perbanyakkan solat dan baca al-Quran bersama dalam rumah agar rahmat Allah sentiasa terisi dan hati penghuninya sentiasa lembut dan berkasih sayang. Rumah yang kosong dengan hubungan kepada Allah akan jauh daripada limpahan kasih sayang Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI