Isteri BAIK Kena Ingatkan Suami BERBAKTI Pada Mak Ayah Bukannya Jadi ‘Batu Api’

Share

Berbakti pada orang tua bukan hanya memberi duit semata-mata sekadar untuk membalas jasa mereka yang menjaga anak sejak dari kecil. Tanpa mak ayah, siapalah kita. Mereka sanggup bersusah payah demi anak-anaknya.

Sebab itulah, jangan sesekali kita sebagai anak lupa jasa dan lepas tangan untuk berbakti pada mereka.

Sementelah apabila anak sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri. Langusng lupa untuk berbakti pada orang tua. Apa yang difikirkan hanya untuk keluarga sendiri. Paling ditakutkan lebih-lebih lagi anak lelaki yang ada setengahnya lebih suka menurut kemahuan isteri.

Selalunya apa yang kita dengar anak lelaki bila sudah berisiteri mula lupa untuk berbakti pada orang tuanya. Lebih menyedihkan bila isteri sendiri tidak suka dan tidak membantu suami untuk berkhidmat pada orang tua.

Jangan begitu, syurga seorang isteri adalah pada suaminya. Tapi suami, syurga baginya terletak pada restu dan doa mak ayah. Sebagai isteri, sentiasalah ingatkan suami tentang khidmatnya pada mak ayah.

Seperti apa yang dikongsikan oleh Liza Idris ini, boleh dijadikan panduan untuk suami isteri di luar sana.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Tiada Orang Lebih SAYANG Anak Selain MAK AYAH, Jaga Perasaannya Bukan DEMAND

Layanlah Anak Seperti Mak Ayah Mahu Dilayan Bila Tua, Elak Sayang Anak Bersyarat

Info Lebih Menarik DI SINI

Berbakti Pada Mak Ayah, Tiket Syurga

Masa dengar ceramah baru ni, saya sangat terkesan dengan ayat “isteri bantulah suami untuk dapat kunci ke syurga.”

Bagaimana?

Bantu suami berkhidmat untuk ibu dan ayahnya. Bila suami dapat kunci ke syurga insya Allah turut dibawa kita bersama.

Usah kita jadi penghalang atau batu api untuk suami berbuat kebaikan pada ibu ayahnya.
Kadang suami terlepas pandang, beri hadiah pada isteri macam-macam, namun ibu ayah di kampung tidak dimanjakan.

Kita selesa dengan kereta mewah, rumah banglo, ibu ayah di kampung pula rumah nak roboh.
Buatla kebaikan sebanyak mana pun dalam dunia ni, jika tak jaga hati mereka dan terguris maka tiada keberkatan dalam hidup.

Sebab tu dalam kisah Ulama Hassan Al Basri.
Seorang sahabat telah tanya pada beliau, dia sedang belajar Al Quran, ibunya pula sedang tunggu untuk makan malam.

Jawab Hassan Al Basri.
“Pergilah makan dengan ibu mu. Gembirakan dia. Aku lebih suka daripada kamu buat Haji Sunnat.”

Masya Allah, di situ bertapa tingginya darjat ibu dan ayah.

Buat suami, keutamaan adalah ibu dahulu, kemudian isteri seterusnya anak. Buat isteri, keutamaan adalah suami dahulu, kemudian ibu dan seterusnya anak.

Namun hari ini, suami utamakan isteri lebih dari ibunya.

Balas Jasa Orang Tua

Kawan.
Jika kita masih ada ibu ayah berkhidmatlah kepada mereka. Duit yang ada berbelanjalah untuk mereka selagi kita mampu.

Biarpun mak ayah kita berada dan berharta, hulurlah setakat yang mampu demi balas jasa mereka. Usah berkira-kira. Allah akan gantikan dengan pelaburan yang lain.
Jika tak berkemampuan sumbanglah kerahan tenaga untuk mereka.

Gembirakanlah mereka kerana redha Allah terletak pada redha ibu ayah. Ia jambatan kita ke syurga.

Sedikit pun terguris hati mereka, maka tiada keberkatan dalam hidup.
Masa kita kecil dulu mak ayah jaga dan tatang kita. Apa kita nak, mereka cuba tunaikan.

Ada yang bergolak gadai semata-mata mahu anaknya sambung belajar. Ada juga yang sanggup pinjam Along demi beli gajet untuk anaknya belajar.

Namun, lepas tamat belajar kita pun bekerja. Kemudian berkahwin. Ada kehidupan sendiri.

Kita sibuk dengan pasangan dan anak-anak.

Lebih parah suami dikawal oleh isteri. Kita semakin jauh dari mereka. Kita lupa pengorbanan mereka.

Isteri yang hebat sayang pada suaminya sehingga dia menyayangi orang yang disayangi suaminya.

Malah, isteri yang baik akan ingatkan suaminya supaya berbakti dan berhubung dengan ibu ayah.

Suami yang soleh juga akan berkasih sayang dengan ibu ayah juga mertua. Layanan dibahagikan sama rata.

Korbanlah apa sahaja untuk ibu ayah dengan syarat dalam kemampuan kita.

Beruntung Masih Ada Mak Ayah

Hari ini beruntung lah jika masih ada ibu dan ayah, kerana 2 kunci pintu syurga masih tersedia.

Sekiranya salah seorang telah tiada, kita masih dikurniakan 1 kunci pintu ke syurga.

Bagaimana jika keduanya telah tiada?

Panjangkan hubungan silaturrahim bersama sanak saudara dan sahabat ibu ayah kita.

Anak yang soleh akan sentiasa mendoakan ibu ayah di alam sana.

Minta mereka doakan kita sementara mereka masih ada, kerana doa mereka tiada hijapnya.

Mingguan Wanita : Jangan sesekali lupa tentang jasa mereka. Berbakti pada mak ayah selagi mereka masih hidup.

Sumber: Liza Idris

Bangkit Wanita Mingguan Wanita

Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan

https://t.me/bangkitwanitaMW

 

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora