Sewaktu di sekolah rendah, lelaki ini pernah dilabelkan sebagai budak lembab kerana dyslexia yang dihidapinya. Sampai satu tahap, dia bertekad untuk mengubah persepsi itu.
Tak siapa sangka, kesukaran sewaktu di alam sekolah rendah, berjaya mengubah dirinya menjadi pelajar cemerlang. Seterusnya menggenggam segulung PhD yang membolehkan tercatat namanya sebagai Ts. Dr. Mohd Farizul Mat Ghani (PhD), (PTech).
Jadi, mak ayah yang punya anak dyslexia.. jangan cepat mengalah. Anak anda juga mampu menjadi orang hebat suatu hari nanti.
Pesanan Budak Dyslexia Kepada Ibu, Bapa Dan Guru
Sempena Sesi Persekolahan Tahun 2020, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya sebagai “BUDAK DYSLEXIA”
Telah lama rakan-rakan di Sekolah Rendah dulu minta saya kongsi tips bagaimana saya dulu daripada seorang “BUDAK DYSLEXIA” boleh siapkan PhD.
Selalunya yang dyslexic (gelaran untuk yang budak dyslexia) ini seseorang yang sukar mengenal huruf atau numbers, apatah lagi nak membaca dan yang obvious mereka menulis beberapa huruf secara terbalik.
Contoh mudah, tulis b dan d, u jadi n, q tertukar dengan p.
Maka, masyarakat yang tidak tahu, seringkali melihat anak-anak ini sebagai yang tidak cemerlang a.k.a lembab dalam belajar. Kerana “ketidakcerdikan” mereka dalam membaca, mengira dan menulis. Sebak…!
Pengalaman saya sebagai “BUDAK DYSLEXIA” berlaku di Sekolah Rendah sahaja.
Dilabel Sebagai Budak Lembab
Sekolah Rendah saya dulu di SRK Undang, Terengganu, tidak ada apa menarik tentang saya ketika di Sekolah Rendah. Melainkan seorang budak yang tidak boleh membaca daripada Darjah 1 hingga ke Darjah 5.
Memang tak ada cikgu pandang dan digolongkan sebagai pelajar bermasalah/lembab.
Pada tahun saya YAKIN tak ada siapa tahu tentang “BUDAK DYSLEXIA”, symtoms seperti saya nyatakan di atas.. mungkin sebab itu dulu, cikgu hanya melabelkan sebagai budak lembab.
Mengimbau zaman sekolah rendah, saya akui saya tidak menyukainya!
Saya BENCI.. BENNCI dan BENCI ke sekolah.
Saya jugak dimasukkan ke dalam kelas pemulihan bermula darjah 1, 2,3, 4 dan darjah 5. Setiap kali peperiksaan keputusan amat mengecewakan. Malah, yang lagi teruk Cikgu suruh pergi ke kanan saya ke kiri. Cikgu suruh ke kiri saya ke kanan.. itu lah “BUDAK DYSLEXIA”.
Tapi saya bersyukur Mak dan Ayah saya tidak pernah melabelkan saya sebagai lembab atau bermasalah. Mereka tidak pernah membandingkan saya dengan adik-adik saya yang lain. Walaupun ternyata adik saya lebih pandai daripada saya.
Budak Dyslexia Ada Daya Imaginasi Yang Sangat Tinggi
Dipendekkan cerita.. Walaupun ramai Cikgu melabelkan saya sebagai pelajar lembab/bermasalah, ada seorang cikgu ini melayan jer karenah saya iaitu Cikgu Roslan.
Ketika saya Darjah 4, ada suatu hari Kelas Bahasa Melayu. Cikgu Roslan meminta kami menulis karangan tentang cuti sekolah yang lepas. Confirmlah saya tak boleh menulis. Tapi saya buat-buat pandai menulis denga yakinnya.
Cikgu Roslan meminta beberapa orang pelajar membaca karangan mereka. Tiba-tiba nama saya dipanggil juga. Saya penuh yakin ke hadapan kelas. Dan saya memandang pada buku lalu baca karangan saya.
Sebenarnya saya bercerita apa yang ada dalam kepala saya dan susun ayat-ayat dengan rapi. Itu lah kelebihan “BUDAK DYSLEXIA”. Kami mempunyai DAYA IMAGINASI yang sangat tinggi.
Apa yang saya perasan kelebihan saya adalah petah bercakap dan suara lebih lantang daripada orang lain.
Cikgu Roslan memuji bagus.
Alhamdulilah, Cikgu Roslan tak mintak buku saya. Kalau tak memang malu. Saya sendiri tak tahu apa yang saya tulis.
Sebenarnya Cikgu Roslan ingin memberi keyakinan kepada saya. Saya sangat suka setiap kali Kelas BM. Saya lalui proses itu sehinggalah ke Darjah 5.
Akhirnya Cikgu Praktikal Ajar Cara Tulis Huruf Dan Nombor Tak Terbalik
Pada saya, di Darjah 5 ada seorang Cikgu Practical.. saya dah lupa namanya. Dia banyak mengajar saya, macam mana nak bagi Huruf dan No tak terbalik.
Pertama, dia mintak saya focus setiap kali saya menulis dan setiap kali terbalik dia mintak saya terus baiki. Dalam masa yang sama dia didik saya supaya mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
Alhamdulilah , Darjah 6 saya dah boleh membaca walaupun merangkak-merangkak.
Ketika Darjah 6, masing-masing sibuk dengan persiapan UPSR. Tapi saya masih main-main kerana Cikgu tak bagi tumpuan pun pada saya. Dan tak ramai cikgu tahu saya dah boleh membaca.
Hinggalah pada suatu hari, saya angkat tangan bila Cikgu Samsudin minta pelajar membaca karangan dalam buku teks. Kebanyakan pelajar terutama sekali perempuan yang selalu pandang sinis kepada saya terbeliak mata mereka. Bila saya angkat tangan secara sukarela untuk membaca teks tersebut tanpa paksa.
Saya membaca walaupun merangkak. Haa… saya semakin YAKIN. Cikgu Samsudin dah mula bagi tumpuan dan memberi sokongan yang positif setiap hasil kerja yang saya lakukan.
Sampailah masa exam UPSR dan result saya tak seberapa… tapi pada saat itu saya berazam untuk jadi pelajar terbaik, jadi perhatian dan berguna untuk orang di keliling saya.
Tekad Tak Mahu Dilabel Budak Lembab
Masuk ke Alam Sekolah Menengah saya nekad tidak mahu peristiwa yang dilebalkan “BUDAK LEMBAB”. Biarlah kisah di Sekolah Rendah jadi satu sejarah.
Dengan RESULT UPSR tak berapa cemerlang, saya ditempatkan di kelas hujung pada Tingkatan 1.
Alhamdulilah, pada tahun pertama di Sekolah Menengah saya tersenarai antara TOP Students daripada kelas bawah.
Tahun berikutnya, saya berada antara Kelas-Kelas terbaik. PMR dan SPM saya memperolehi KEPUTUSAN CEMERLANG dan merupakan antara pelajar yang AKTIF dalam Sukan, Pidato, Debat dan lain-lain.
Berada di Universiti, ramai rakan-rakan di SRK Undang sudah lupa siapa saya dulu iaitu seorang “BUDAK DYSLEXIA”.
Ramai yang sangkakan saya merupakan pelajar CEMERLANG daripada Sekolah Rendah. Alhamdulilah, sekarang saya telah berjaya menggenggam segulung PhD.
Terima Kasih kepada Allah SWT, MAK dan AYAH saya, GURU-GURU saya di SRK Undang dan Rakan-Rakan yang banyak membantu. Tanpa mereka mungkin saya tidak seperti hari ini.
Mak Ayah.. Jangan Fikir Anak Dyslexia Itu Bodoh, Lembab Mahupun OKU
INI NASIHAT SAYA (BUDAK DYSLEXIA) kepada ibu bapa yang mempunyai anak DYSLEXIA agar tidak fikir anak itu bodoh atau lembab mahupun OKU.
Anda perlu mengesan bakat dan kebolehan yang ada pada anak itu dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.
Kepada GURU-GURU, jika anda mempunyai pelajar seperti ini bimbing mereka, jangan sesekali sisihkan mereka dan mereka juga perlu di diagnos seawal mungkin supaya mereka tidak dibiarkan terus hidup dalam keadaan yang bermasalah.
Mereka perlu mendapat pendekatan pembelajaran yang sesuai tidak sama dengan pelajar-pelajar lain.
PERCAYALAH! BUDAK DYSLEXIA mempunyai kelebihan tersendiri terutama sekali DAYA PEMIKIRAN KREATIF dan DAYA IMAGINASI YANG TINGGI, dengan itu mereka dengan mudah boleh berfikir di luar KOTAK.
MW : Hebat sungguh kisahnya. Semoga menjadi inspirasi untuk mak ayah yang lain mendidik anak dyslexia mereka menjadi berjaya dan orang berguna kepada masyarakat.
Sumber/Foto : Mohd Farizul Mat Ghani – DrFarizul
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI