Isteri berkorban meninggalkan karier dan seterusnya memilih untuk menguruskan anak-anak dan keluarga bukanlah satu keputusan yang mudah. Tetapi kebanyakan mak-mak menganggap ia sebagai amanah dan tanggungjawab.
Jadi mereka tidak berkira walaupun penat setiap hari. Namun sebagai suami, sebaiknya sekali-sekala ikutlah kehendak isteri jika dia ajak bercuti. Sebenarnya isteri bukan mengada-ngada ajak bercuti, sebaliknya dia mahu menjaga emosi dan psikologi agar lebih segar.
Ikuti perkongsian, Taufiq Razif
Serius dulu saya ingat bercuti ni sia-sia saja.
Dulu saya ini jenis yang agak serius sikit. Saya fikir buat apa nak bercuti kalau tidak ada tujuan. Tengok youtube, search google pun boleh kalau nak tengok pemandangan kan.
Itu dulu. Sehinggalah satu hari hidup saya jadi macam tepu bila kena jaga isteri berpantang. Ya lah, tiap hari nak kena hadap anak. Tiap hari nak kena masak. Tiap hari nak kena cuci pinggan.
Rutin yang sama ini saja saya duduk ulang tiap hari. Rupanya rutin harian ini perlahan-lahan membuatkan hidup saya jadi tepu. Dia bukan penat fizikal sangat tapi lebih kepada ’emotional burnout’.
Masa itu lah saya baru sedar. Rupanya isteri saya bukan nak bermewah-mewah dengan ajak bercuti sangat. Rupanya dia nak keluar daripada ’emotional burnout’ saja!
Wajah Bersinar Bila Bercuti
Ini saya bawa anak isteri saya bercuti ke Port Dickson sekejap. Memang nampak bersinar-sinar wajahnya. Senyum je memanjang. Sebenarnya tak perlu bawa ke tempat mahal pun. Kadang ke kedai Eco ke kedai RM2 pun dia sudah suka sangat dah. Ikut bajet masing-masing saja sebenarnya.
Selama ni kita ingat isteri kita manja dan mengada-ngada nak ajak pergi bercuti rupanya memang benda ni keperluan bagi dia supaya emosi dan psikologinya tetap segar dan terjaga.
– Taufiq Razif –
Sumber: Taufiq Razif
MW: Mengambil dan menjaga hati isteri tidaklah sesusah mana, paling penting bertolak ansur dan fahami emosi isteri. Setiap hari berada di rumah membuatkan isteri ingin keluar dan lari sekejap dari rumah yang menjadi tempat dia “bekerja” setiap hari. Bawalah isteri ke mana saja, mengikut bajet masing-masing.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘4 Kali Bangun Malam, Muka Lesu Serabai’ Suami Jangan Ambil Mudah Bab Isteri Berpantang
Isteri berpantang bersalin mudah amat jiwanya ‘koyak’. Hatinya retak, lagi-lagi dapat suami yang tak nak faham dan berat tulang nak bantu mudahkan kerja isteri berpantang.
Bab jaga anak, susukan anak, sampai jaga makan minum isteri dalam pantang.. semua urus sendiri. Tak ada lah suami nak belai sayang, apatah lagi bagi sokongan. Oh! makin ‘koyak’ mental isteri bila dapat suami macam ini.
Sebab itu, para suami kena hadam apa yang dikongsikan Azlan Noor. Apa yang sepatutnya suami hadap dan buat bila isteri awak itu dalam keadaan berpantang bersalin.
Jangan sesekali letak di fikiran, isteri awak kuat dan boleh lalui 44 hari berpantang sendirian tanpa sokongan suami.
Dalam Tempoh Berpantang, Isteri Dambakan Sokongan Suami
Cerita perjalanan isteri mengandung ni tak habis pada bab melahirkan baby je sebenarnya. Ketahuilah, dalam tempoh berpantang itu lah si isteri dambakan sokongan daripada suami.
Satu malam tu, “Papa..Papa..Baby berak ni. Jom tolong mama basuh jap.”
Tiba-tiba surihati datang kejut saya sambil dukung baby. Saya tanya pukul berapa sekarang ni. Pukul tiga pagi katanya.
Saya bingkas bangun dan terus ke dapur. Air suam untuk basuh berak surihati saya dah sediakan. Tinggal nak basuh je. Saya pangku baby di tangan kanan, sambil tangan kiri stand by nak gosok najis. Sambil surihati tuang air, sambil gosok. Saya sempat curi tengok muka dia. Dah macam hape dah.
Esoknya saya tanya berapa kali baby bangun malam tadi. Empat kali termasuk berak semalam. Patut la muka lesu dan serabai macam Hantu Kak Limah.
Masa tu saya terfikir, rupanya inilah yang saya terlepas pandang sebelum ni. Orang perempuan, derita mengandung dan sakit bersalin belum reda, nak kena jaga anak baru lahir masa dalam pantang pulak.
Dulu tak fikir sangat pasal ni. Saya anggap berpantang ni biasa-biasa je. Semua perempuan bersalin kena lalui.
Rupa-rupanya tak!
Suami Tak Faham, Anak Baru Lahir Meragam Buat Isteri Mudah Tertekan
Apabila makin banyak cerita ibu meroyan, bunuh anak sendiri dan bunuh diri akibat stress dan depresi semasa berpantang, saya sedar suami lah yang kena bagi support paling kuat kepada isteri.
Sebab bila suami tak memahami dan tak membantu, dengan luka kat bawah yang tak baik lagi, tenaga hilang masa bersalin yang belum berganti, anak baru lahir pulak meragam, isteri mudah tertekan dan mental mudah koyak.
Tak susah sebenarnya nak bagi sokongan. Sekecil-kecil ‘moral support’ pun isteri rasa besar.
Macam baby saya yang baru lahir tu doktor check ada demam kuning. Dah kena tahan wad. Malam ondaway pergi hospital tu, masa berhenti kat trafic light, saya tengok surihati pandang keluar. Jauh sekali pandangannya. Saya tahu dia risaukan baby kami tu.
Saya tak cakap apa apa, saya pegang tangan kanan dia dengan tangan kiri. Tak semena-mena saya nampak air mata mengalir kat pipi dia. Allah..Terus tersebut dalam hati,
“Ya Tuhan, selamatkan lah anak kami. Tenangkanlah hati aku dan isteri. Permudahkanlah urusan kami.”
Saya genggam erat tangan dia sampailah ke hospital.
Sekurang-kurangnya, dia tahu saya pun turut sedih. Paling penting, dia tahu saya ada bersamanya, walau apa yang terjadi.
Suami Jangan Beri Alasan, Lepas Tangan Jaga Isteri Berpantang
Suami jangan ambil mudah bab isteri berpantang. Rendahkan ego dan ringankan tulang untuk bantu isteri.
1. Jaga isteri masa berpantang kalau rasa nak isteri cepat sihat dan kembali seperti sedia kala. Rebuskan air herba, sediakan air mandian, ambil baju, bra dan spender. Sapukan krim barut kat perut dan ikat bengkung isteri. Carikan tukang urut untuk betulkan peranakan isteri. Tak lupa, sediakan masakkan makanan isteri berpantang. Jangan main bedal.
2. Jaga anak yang baru lahir. Siap siaga untuk bangun malam buatkan susu, basuhkan berak. Mandikan dan dodoikan mereka pun kena pandai juga. Kalau anak tak sihat, suami kena kuat fizikal mental untuk ulang alik hospital.
Penat memang penat. Tapi itulah tanggungjawab kita sebagai suami dan ayah.
Kalau tak tahu, kena cari ilmu. Kena belajar. Tak boleh lepas tangan. Jangan beri alasan.
Masa Inilah Suami Nak Buktikan..
Masa isteri berpantang ni, nak buat benda lain tu boleh. Tapi fokus kau mesti dekat isteri dan anak yang baru lahir.
Sebab,
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kasih, sayang dan cinta kepada anak dan isteri kau.
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kau ni bertanggungjawab terhadap amanah yang kau setuju nak pikul masa lafaz akad.
√ Masa ini lah kau nak buktikan kau bukan sekadar jantan yang hanya tahu tanam benih tak tahu jaga, tapi,
Kaulah lelaki dari syurga yang dihantar Tuhan sebagai pelindung isteri dan anak-anak.
Sumber/Foto : Azlan Noor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangkaan Hidup Hanya Dua Hari, Namun Sehingga Kini Jannah Masih Kuat Bertahan
Mendapat perkhabaran bahawa dirinya berbadan dua buat kali ketujuh membuatkan dia rasa cukup teruja, gembira dan bahagia kerana dapat merasai nikmat mengandung dan pertambahan ahli keluarga baru. Malah sepanjang perjalanan kehamilan Sity Warhana Sa’yan kelihatan normal dengan tiada komplikasi berat yang melanda. Keterujaan bakal menimang cahaya mata jelas terpancar pada pasangan ini, namun berita yang diterima ketika usia kandungan 36 minggu ternyata membuatkan pasangan ini sedikit gusar.
“Sepanjang hamilkan Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan Jannah dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat bayi dalam kandungan saya dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg. Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Saya mula rasa bimbang tetapi tetap yakin bahawa bayi yang saya kandung akan sihat,”ujar ibu kepada 7 cahaya mata ini.
Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan kelainan kromosom trisomi 18 atau turut dikenali sebagai Sindrom Edward. Sesungguhnya keajaiban itu kuasa Maha Pencipta, nyawa si kecil yang diberi nama Sity Nur Jannah yang sudah berusia setahun lebih masih lagi utuh hingga ke detik sekarang. Meskipun doktor pernah meramalkan hayat Jannah tidak lama namun benarlah ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa.
“Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, saya terpaksa lahirkan bayi yang dikandung dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan bayi yang berlaku setiap minggu. Syukur, mudah saya lahirkan Jannah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama.
“Bayi yang saya lahirkan terlihat sempurna, panjang dan lilit kepala bayi saya normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus bayi saya dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.”
Rawatan pakar
Melihat kepada keadaan kesihatan bayi yang semakin merosot, doktor menyarankan Jannah di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan pakar. Seakan lupa diri masih berpantang, demi bayi yang baru dilahirkan Sity Warhana dan suami membawa anak kecilnya untuk mendapatkan rawatan pakar yang sewajarnya.
“Seorang doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kondisi bayi saya agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga saya terus ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk bayi saya hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
“Syukur, pada hari ketiga Jannah masih lagi bernyawa, doktor cadangkan sampel darah bayi saya diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom Jannah trisomy 18. Menurut doktor hayat anak saya tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, saya dan suami mahu bawa pulang anak kami ke rumah kerana doktor jangkakan dia hanya boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Siapa tak sedih mendengar makluman doktor pada saat itu. Tapi saya dan suami perlu kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Perkembangan terkini Jannah
Sehingga kini Jannah masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa had umur dari Hospital Kajang di samping turut menjalani rawatan di Kardiologi Pediatrik, ENT Pediatrik, Ortopedik Pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai HUKM sebelum ini.
“Jannah masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau HUKM . Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur Jannah empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mm, Syukur!
Kuatnya si kecil Jannah ditambah dengan usaha dan semangat serta sokongan ibu dan ayah, perkembangan positif yang ditunjukkan Jannah sedikit sebanyak membuatkan hati Sity Warhana dan suaminya lega. Siapa sangka si kecil yang dahulunya dikatakan hanya mampu bertahan selama dua hari, diikuti dua minggu dan seterusnya dua bulan sehingga kini nyawanya masih dikandung badan. Namun menurut Sity Warhana, dia dan keluarga sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
“Alhamdulillah, Jannah kini semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi yang sebayanya, Jannah banyak tunjukkan perubahan positif. Dia sudah boleh meniarap. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Jannah hanya boleh makan dan minum menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung, kini dia sudah boleh makan dan minum menggunakan sudu atau shrink. Saya dan suami sangat bersyukur melihat perubahan tersebut.
“Ketika Jannah dilahirkan doktor ramalkan dia hanya mampu bertahan selama dua hari, kemudian dua minggu dan seterusnya dua bulan. Saya dan suami sebenarnya sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kepada Jannah suatu hari nanti. Apa yang kami tahu adalah untuk memberikan rawatan yang terbaik untuk anak kami selebihnya kami serahkan pada yang Maha Esa.
“Menjaga anak seperti Jannah memang memerlukan lebih pemerhatian. Jannah tak boleh dibiarkan selesema atau batuk. Bimbang keadaan tersebut akan memburukkan lagi kesihatannya. Jadi saya akan sentiasa pastikan pengudaraan dalam keadaan baik selain memastikan kebersihan dalam rumah. Anak-anak saya yang lain juga memahami keadaan adik mereka yang tidak sihat. Mereka sangat memahami dengan keadaan kami jadi anak-anak yang lain tak banyak bagi masalah buat saya dan suami,” ujarnya lagi.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka sihat dan membesar dengan baik. Sity Warhana dan suami juga tidak terkecuali. Namun dengan ketentuan Ilahi, dugaan yang sedang dialami dihadapi dengan penuh keredaan. Tidak pernah putus harapan dan semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang, setiap ujian yang menimpa dilihat dalam sudut positif oleh pasangan ini.
“Mempunyai anak seperti Jannah buat saya dan suami belajar banyak benda baharu. Sudah semestinya semua ibu dan ayah mahukan anak-anak yang sihat dan membesar dengan baik, tapi untuk Jannah kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi kami tak pernah putus asa dan doa untuk kesihatan anak kami itu. hadirnya dia bukan setakat seorang puteri buat saya dan suami tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga,”akhirinya sayu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
64 Tahun Hidup Bersama, Suami Isteri Meninggal Selang 15 Jam
Jodoh, ajal,maut semuanya ketentuan Tuhan. Bagi suami isteri, andai ajal memisahkan di dunia, jika boleh ingin bersama-sama menemui sang pencipta abadi.Muda bersama hingga meniti usia senja, sehidup semati hingga ke akhir hayat.
64 tahun hidup bersama melayari rumahtangga, takdir pasangan suami isteri warga emas ini apabila menemui ajal hanya selang 15 jam.
Kasih Hingga Hujung Nyawa
Kasih seorang lelaki terhadap isterinya dibawa sampai hujung nyawa apabila dia meninggal dunia 15 jam selepas wanita yang amat dikasihinya itu pergi buat selama-lamanya akibat barah usus kelmarin.
Wan Zainun Wan Chik, 84, meninggal dunia pada pukul 6.48 pagi, manakala suaminya, Wan Yahya Wan Husein, 87, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 jam kemudian iaitu pada pukul 9.40 malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Wan Zainun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, manakala suaminya meninggal dunia di rumahnya di Taman Dato’ Abdul Rahman, Kuala Berang di sini.
Tahap Kesihatan Merosot
Anak sulung pasangan itu, Wan Rahimah, 63, memberitahu, tahap kesihatan kedua-dua orang tuanya mula merosot pada bulan lalu.
Katanya, bapanya mengalami masalah paru-paru pada 15 Oktober lalu sebelum ibunya dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap barah usus tahap akhir lima hari kemudian.
“Ayah amat sugul dan bagaikan hilang separuh nyawa selepas emak dimasukkan ke hospital. Hubungan mereka memang sangat rapat seperti belangkas.
“Dua hari lalu (Isnin), kami adik-beradik bawa ayah jumpa emak. Dalam pertemuan terakhir hampir sejam itu, ayah pegang erat tangan dan renung wajah emak dalam-dalam sambil menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Tambahnya, air mata lelaki itu sekali lagi tumpah apabila ibunya disahkan meninggal dunia pagi kelmarin.
Hadir Pengebumian Isteri
Menurut Wan Rahimah, walaupun uzur, bapanya yang turut mengalami gangguan saraf menguatkan semangat untuk hadir pada upacara pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara, Kuala Berang di sini pada pukul 3 petang.
“Kami adik-beradik tidak menyangka kehilangan bapa selepas ibu meninggal dunia.
“Jenazah ayah selamat dikebumikan di tanah perkuburan sama pada pukul 9 pagi tadi (semalam). Walaupun masih terkejut kehilangan ibu bapa pada hari sama, kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Wan Rahimah berkata, ibu bapanya ialah pasangan yang romantik dan tidak pernah sekali pun bergaduh besar.
“Mereka selalu membuat keputusan bersama sepanjang 64 tahun berkahwin,” katanya.
Wan Rahimah berkata, ibu bapanya membesarkan mereka lima beradik sebagai peniaga kedai runcit dan rempah ratus sejak tahun 1970-an sebelum perniagaan itu diwarisinya pada tahun 2008.
Baca Lagi Di Sini:
Positif COVID-19,Sambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-50 Berpegangan Tangan, Pakai Alat Bantuan Pernafasan
MW: Salam takziah buat keluarga pasangan ini. Semoga roh mereka keduanya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Kosmo
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI