Setiap hari isteri mempunyai rutin yang tertentu untuk uruskan rumahtangga dan perlu disiapkan sepanjang hari. Jadi sebagai suami janganlah anda memandai mengubah jadual kerja isteri.
Kerja-kerja di rumah tidak pernah habis, hanya isteri yang tahu mengatur masa dengan baik agar rumah berada dalam keadaan kemas dan teratur. Sesekali bagi meringankan bebanan kerja isteri di rumah, suami hulurkanlah bantuan.
Paling tidak belikan makanan untuk makan malam, kuranglah sedikit beban isteri dan dia boleh selesaikan perkara lain sebelum tidur.
Ikuti perkongsian, Firdaus Shakirin :
“Sudah-sudahlah itu, sambung esok pulak…”
Mungkin ramai suami yang berpesan sebegini bila melihat isteri masih melakukan kerja-kerja rumah walaupun sudah lewat malam…
Masih mengutip mainan anak, masih melipat pakaian, masih mengemas dapur dan sebagainya…
Dari perspektif seorang suami, kita menganggap kerja-kerja itu boleh dilakukan esok hari, boleh disambung esok, tetapi sebenarnya, ada isteri yang tidak boleh tidur andai kata masih ada kerja-kerja rumah yang belum disiapkan…
Walaupun esok boleh sambung, tetapi kerja-kerja rumah yang ditinggalkan untuk disambung itu akan menyebabkan bebanannya bertambah keesokan harinya…
Isteri ada rutinnya dalam menguruskan rumah tangga…
Jadualnya mungkin perlu diubah andai dia menangguhkan atau menghimpunkan kerja-kerja rumah tersebut…
Jika isteri kita seperti yang dinyatakan, maka adalah penting untuk kita sebagai suami mencuba dan berusaha untuk mengurangkan atau meringankan kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan isteri…
Jadikan ianya sebagai tabiat, sampai rumah sahaja, ambil sampah, buang… Selesai solat, kutip mainan anak atau kemas rumah… Selepas makan, sambil-sambil tengok TV itu, lipat pakaian bersama-sama isteri… Ada hari, bagi isteri “cuti” daripada memasak, bawa makan luar atau bungkus makanan bawa balik rumah…
Bantuan seperti ini yang banyak membantu isteri, mengurangkan beban yang ditanggung isteri… Hulurkan bantuan, ringankan beban andai kita tak nak isteri kita terbeban…
Itu pun kalau sayang isteri lah kan…😊
Sumber: Firdaus Shakirin
MW: Sebagai suami, jadilah suami yang ringan tulang dan membantu isteri melakukan kerja rumah. Percayalah suami yang ringan tulang amat membahagiakan hati seorang isteri. Jika tidak mahu membantu sekali pun, janganlah meminta isteri menangguh-nangguhkan kerjanya.