Hiburan

Isobel Selamatkan Daphne Iking Daripada Belenggu Depresi

Share

Dilahirkan di Keningau, Sabah puteri kedua daripada empat bersaudara ini merupakan anak kepada mantan jururawat, Naili Juliah Ganahong dan bapanya, Mozes Iking. Daphne Iking atau nama muslimnya Dahlia Eleanor Mozes Iking 41 tahun, merupakan personaliti televisyen, selebriti dan juga ibu kepada tiga cahaya mata; Isobel Daniella Iking Azmi (11), Iman Daniella Iking Azmi (7) dan Isidore Daniel Iking Azmi (3). Daphne memeluk agama Islam sekitar tahun 2011 sebelum mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pasangannya, Azmi Abdul Rahman (50).

Kepetahannya di kaca televisyen dan ketika mengacarakan majlis, tidak membuatkan ramai tahu wanita penuh inspirasi ini pernah melalui fasa kemurungan. Mengakui fasa sukar itu pernah dilaluinya sendirian bersama anak sulungnya, Isobel Daniella Iking Azmi yang ketika itu masih kecil. Bersama Mingguan Wanita, Daphne berkongsi sisi lain hidupnya yang mungkin boleh dijadikan rujukan buat wanita di luar sana.

MW : Dalam satu program televisyen, Daphne diundang sebagai tetamu dan diminta berkongsi cerita perihal depresi dan kemurungan. Daphne kemudian berkongsi pengalaman sendiri serta melalui proses kemurungan itu sendirian tanpa mahu melibatkan orang lain. Bagaimana Daphne bangkit dari situasi itu?

DAPHNE : Ketika itu saya melalui emosi selepas kelahiran anak yang tak menentu. Di tambah pula dengan masalah rumahtangga saya yang terdahulu, di mana saya tidak pernah terbuka membicarakan hal itu membuatkan saya bertambah tertekan. Emosi selepas melahirkan dan depresi akibat masalah rumahtangga  membuatkan saya tertekan hingga saya dapat merasakan ia menggangu proses penyusuan natural bersama Isobel.

Saya pernah mendengar kenyataan mengenai jika ibu yang menyusu itu stress, dalam pada masa yang sama…si anak juga memperolehi susu hasil daripada tekanan si ibu. Perasaan mahu menjadi ibu sempurna kepada anak pertama saya, cukup memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya akhirnya hanya mampu memberi susu badan secara eksklusif untuk tempoh dua bulan sahaja ketika Isobel kecil.

Bergelar ibu tunggal, membuatkan saya berasa terlalu tertekan dan merasakan itulah fasa paling genting hidup saya. Ketika itu saya merasakan hidup ini tidak bermakna lagi dan terdetik di hati untuk melakukan perkara yang  membahayakan diri sendiri. Tetapi Allah S.W.T itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, di kala saya dirundung kesedihan yang teramat sangat, saya mendapat semangat baru sebaik melihat Isobel sedang merangkak ke arah saya sambil tersenyum. Saya tak sanggup meninggalkan satu-satunya anak saya kerana terlalu mengikut kata hati. Saya nekad untuk kembali bangkit dari perasaan sedih yang berterusan.

MW : Selaku individu yang pernah melalui konflik rumahtangga yang membawa kepada perceraian, sama ada anda selebriti mahupun bukan ia bukan perkara yang mudah itu dilalaui. Sejak akhir-akhir ini, liputan mengenai perceraian dikalangan selebriti menjadi bualan ramai. Bagaimana Daphne sendiri melalui situasi ini satu ketika dulu.

DAPHNE : Merasai sendiri keperitan hidup selepas kegagalan rumahtangga bukanlah mudah. Ia merupakan hal sulit yang hanya anda dan mantan pasangan sahaja yang tahu kemelut yang melanda dalam rumahtangga.  Perceraian dikalangan selebriti, sering menjadi liputan media dan diperdebatkan sehingga ke dalam lapangan media sosial. Secara peribadi saya berpendapat tiba masanya hal melibatkan perceraian dikalangan selebriti, bukan menjadi topik wajar untuk dijadikan bahan berita.

Perceraian itu bukan subjek utama yang diinginkan dalam sesebuah perkahwinan. Seharusnya jika terjadinya hal berbangkit, berbincanglah sebaiknya bersama pasangan. Elakkan mengadu di media sosial, kerana ia lebih memburukkan keadaan. Hal akan menjadi lebih rumit, apabila ia melibatkan anak-anak. Dan sekiranya hal perceraian orang tua si anak mendapat liputan, tak mustahil si anak boleh mengetahuinya sendiri satu hari nanti apabila melibatkan medium media sosial.

MW : Bergelar ibu kepada tiga cahaya mata, di mana yang sulung sedang melalui usia awal remaja. Sedia maklum dengan isu semasa yang melibatkan anak remaja, pastinya terbit rasa risau apabila anak-anak tiada di depan mata. Apa pendekatan yang digunakan Daphne dan suami dalam mengendalikan anak-anak?

DAPHNE : Anak sulung saya berada di fasa peralihan antara kanak-kanak ke alam pra remaja. Di usia itu, keinginannya berbeza begitu juga perubahan melibatkan emosi dan fizikalnya. Selaku ibu saya amat menyokong pelaksanaan tegas terhadap hak dan perlindungan kanak-kanak seperi yang  diperjuangkan di dalam Konvenyen Hak Kanak-Kanak Malaysia dalam melindungi kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Antara saya dan suami, dia lebih tegas manakala saya lebih rasional dan terbuka. Jika dahulu, komunikasi bukan satu bentuk budaya ibu bapa Asia…saya mahu mengubah persepsi itu dan bersikap terbuka bersama anak-anak. Saya galakkan mereka berkongsi apa jua bersama saya dan amat menekankan komunikasi dua hala itu dalam membentuk sikap dan sahsiah mereka. Setiap anak berbeza karakter dan kecenderungan. Saya gemar memberi mereka ruang untuk berkembang mengikut minat mereka.

Berbalik kepada isu keselamatan dan hal berkaitan pendidikan seks. Saya berpendapat ibu bapa perlu terbuka dalam menjelaskan hal berkaitannya bersama anak. Ramai yang berpendapat pendidikan seks akan menggalakkan anak ingin mencuba, sebaliknya saya yakin dengan ilmu yang betul dapat menyelamatkan anak kita dari perkara yang tidak diingini.

MW : Isu ‘sex grooming’ dan sentuhan yang pelik juga membimbangkan ibu-ibu terutamanya. Anak-anak naif dan keliru dengan perkataan sayang walaupun perbuatan yang dilakukan itu sebenarnya salah. Bagaimana Daphne mendidik anak-anak supaya lebih peka dan prihatin dengan keselamatan diri?

DAPHNE : Dengan adanya pendedahan terhadap teknologi menjadikan kanak-kanak juga mempunyai akses kepadanya. Ada juga anak-anak yang sudah memilik akaun media sosial sendiri, ibu bapa perlu memantau peranti dan aktiviti anak mereka. Saya sendiri jika mendapati ada apa-apa aplikasi yang tidak bersesuaian di muat turun oleh anak, saya akan maklumkan kesannya kepada anak sebelum ‘delete’ aplikasi tersebut.

Saya membuatkan tetapan kawalan ibu bapa dan penggunaan masa yang terhad apabila mereka menggunakan internet. Selain itu, kita juga perlu menerangkan bahayanya berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di alam maya. Kami juga percaya penderaan seksual boleh berlaku melalui adanya akses individu yang tidak dikenali. Begitupun 93 peratus kes pencabulan berlaku melalui perbuatan orang yang dikenali.

Konklusinya, kita perlu sentiasa berhati-hati dan mempertimbangkan untuk meninggalkan anak-anak dengan mereka yang lebih tua tanpa pengawasan. Jangan lupa siasat latar belakang pengasuh atau sesiapa sahaja yang mempunyai akses bersama anak anda. Ajar anak anda untuk mengatakan tidak pada sentuhan yang bukan normal. Elakkan amalan mencium atau menyentuh bahagian badan yang tidak sepatutnya. Gunakan terma dan istilah anatomi badan yang betul bagi mengelakkan berlakunya salah faham.

Didik anak anda jadi manusia yang prihatin, sekiranya ada yang dibuli atau didera bantu mereka mengikut saluran yang betul. Peka dan prihatinlah dengan setiap perubahan mahupun perlakuan. Mungkin anda boleh menyelamatkan mereka dari perkara yang tidak diingini.

Published by
Mastura Burhanuddin