Leia Az Zahra Justin seorang muslimah yang pernah mengalami zaman gelap dalam hidupnya. Namun setelah mengenali agama Islam, sedikit demi sedikit ada sinar dalam hidupnya. Kini, wanita yang berasal dari Sabah ini berharap masa hadapannya lebih baik daripada sebelum ini.
Ditambah pula kini dia telah berkeluarga dan memiliki seorang anak perempuan bernama Ayra Gabriella, Leia berazam mahu jadi seorang ibu yang terbaik buat anaknya. Bergelar Islam sesungguhnya telah mengubah menjadi insan yang lebih baik.
Kisah hidup Leia penuh pancaroba. Sebelum dirinya mengenali agama Islam, boleh dikatakan hidupnya tidak ada arah tuju. Zaman remaja yang penuh dengan kesedihan adalah permulaan sikap memberontak dalam dirinya.
“ Saya memeluk Islam pada bulan Oktober 2007. Saya memeluk Islam bukan sebab didakwah oleh sahabat atau kenalan. Saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri. Emak yang membantu saya memeluk agama Islam. Namun perjalanan sebelum bergelar saudara baru amat memeritkan.
” Sebenarnya saya membesar dalam keadaan keluarga yang berpecah-belah. Ayah dan emak saya telah berpisah semasa saya kecil. Saya kemudiannya hidup bersama ayah yang juga seorang pendakwah Kristian.
” Selalu juga saya mengikut ayah ke gereja. Ayah suka menyanyi dan dia ada buat album kerohanian. Ketika di gereja juga saya suka menyertai koir gereja. Saya suka ke gereja kerana saya suka hal-hal keagamaan.
” Namun saya tidak tinggal lama dengan ayah setelah dia berkahwin baru ketika saya berusia 14 tahun. Saya tidak suka ibu tiri dan akhirnya saya dihantar tinggal bersama nenek. Jiwa saya memberontak kerana berpisah dengan ayah.
” Ketika hidup bersama nenek, saya rasa hidup tidak ke mana. Untuk mengisi masa saya aktif dengan aktiviti di gereja. Malah saya pernah mengikuti kursus asas untuk jadi biarawati tetapi saya gagal,” cerita Leia panjang lebar.
Tidak tamat pengajian menyebabkan Leia mula bekerja. Ketika itu jugalah hidupnya semakin teruk kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan minuman keras. Melihatkan keadaan dirinya yang semakin tidak ada arah tuju pada ketika itu sering membuatkan Leia bermonolog sendirian.
“ Saya sering tanya pada diri sendiri apa hendak jadi pada diri saya. Umur sudah bertambah tetapi saya semakin teruk. Sepatutnya saya ada inisiatif untuk hidup lebih baik. Saya betul-betul stress. Saya mahu Tuhan beri petunjuk pada diri saya.”
Hidayah Allah itu datang dengan pelbagai cara. Leia mendapat hidayah melalui mimpi. Dia masih ingat mimpi tersebut.
“ Dalam mimpi tersebut saya berjalan di kawasan gelap. Di penghujung jalan saya terjumpa cahaya. Semakin saya mendekati cahaya itu saya mendengar suara orang bercakap dalam bahasa Arab. Saya juga nampak dia memegang kitab seperti Al-Quran. Tiba-tiba hati saya rasa tenang melihatkan situasi tersebut.”
Sebaik terjaga, Leia sedar jika ini adalah petunjuk yang diberikan oleh Tuhan, dia perlu mencari jalan bagi merungkai mimpi tersebut.
“ Setiap kali mendengar azan, saya jatuh cinta dengan azan. Akhirnya saya ambil keputusan menelefon emak dan beritahu pada dia yang saya mahu masuk Islam. Emak pula pada ketika itu sudah lama memeluk Islam.
Emak beli tiket kapal terbang untuk saya balik ke Sandakan, Sabah.Emak bawa saya ke pejabat agama di sana untuk mengucap dua kalimah syahadah. Selepas masuk Islam, saya kembali semula ke Semenanjung, “ tambah Leia lagi.
Perjalanannya untuk menjadi muslimah yang baik juga banyak cabarannya. Sebaik bergelar Islam, dia tidak memberitahu perkara tersebut bapa dan rakan serumahnya. Selama setahun dia menyembunyikan pengislamannya.
Walau sudah Islam pada ketika itu, Leia tetap berpakaian seksi dan mengambil minuman keras. Dia terpaksa berlakon dua watak demi mahu menyembunyikan pengislamannya.
“ Saya penat hidup begitu. Akhirnya pada bulan Ramadan 2008 saya tekad untuk istiqomah dan jihad melawan nafsu untuk meninggalkan minuman keras. Saya fikir apa guna masuk Islam jika tidak ikut ajaran Islam. Selepas itu saya mula belajar agama.
” Sehingga kini saya masih lagi belajar agama. Setiap kali pergi kelas agama saya rasa ketenangan. Belajar agama juga adalah terapi bagi saya menghadapi tekanan dan kemurungan, ” sambungnya.
Penghijrahan hidup menjadi seorang saudara baru juga telah menemukan Leia dengan industri seni. Pada tahun 2012, Leia dan kumpulan nasyidnya yang diberi nama Safiya telah menghasilkan satu album penuh. Semua ahli kumpulan nasyid ini adalah saudara baru sama seperti Leia.
Namun perkahwinan telah menghentikan aktiviti seni mereka. Bukan itu sahaja, salah seorang ahli kumpulannya juga telah berhenti. Pada bulan Oktober 2018 lalu, kumpulan nasyid Safiya mula melakukan comeback.
Kali ini Leia dan Nur Ain Tinungul serta ahli baru kumpulan mereka iaitu Julia Sakinah telah menghasilkan single terbaru mereka bertajuk Mudah-mudahan.
“ Saya amat mengharapkan peminat nasyid dapat menerima kehadiran kumpulan nasyid saya ini semula.”