Perjalanan kehidupan sering menguji kekuatan Wanita. Bagi Noor Hamisah Binti Mohamed Sha’ari, cabaran yang datang tidak pernah mematahkan semangatnya. Dalam menghadapi kesukaran kewangan yang hampir meragut segalanya termasuk rumah dan kereta, Noor Hamisah atau lebih mesra disapa Kak Mimie bangkit dengan keberanian untuk mengubah jalan hidupnya.
Kini, dia adalah simbol kekuatan dan inspirasi, bukan hanya sebagai seorang pemandu Grab tetapi juga sebagai pendidik kecergasan serta ibu penyayang.
Pernah satu ketika, Noor Hamisah berada di persimpangan hidup. Pekerjaan yang diceburi ketika itu tidak memberikan kestabilan dari segi kewangan sekaligus menyebabkan dirinya terjerumus dalam hutang yang hampir menghancurkan segalanya.
Namun, enggan diri dibelenggu bebanan hutang yang tiada berpenghujung, dia memilih untuk bertindak. Keputusan untuk menceburi kerjaya sebagai pemandu Grab bukan sekadar pilihan, tetapi peluang untuk memulakan hidup baharu.
“Saya sangat berbangga kerana akhirnya dapat membeli kereta impian saya sendiri dan melangsaikan hutang tanpa bantuan sesiapa,” kongsi Noor Hamisah dengan penuh rasa syukur. Keberaniannya membuktikan bahawa kegigihan dan pengurusan masa yang baik mampu mengubah kehidupan.
Selain memandu Grab, Noor Hamisah merupakan seorang jurulatih kecergasan, pekerjaan yang telah lama menjadi minatnya. Baginya, menjaga kesihatan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai inspirasi kepada orang lain. Sebagai pemandu Grab yang sering duduk selama 8 hingga 10 jam sehari, dia amat menekankan pentingnya aktiviti fizikal untuk mengekalkan keseimbangan hidup.
“Saya tidak akan memandu Grab jika saya mempunyai kelas kecergasan. Saya pastikan tugas saya sebagai jurulatih selesai sebelum mula memandu,” katanya. Semangat ini menunjukkan disiplin tinggi beliau dalam mengimbangi kerjaya dan gaya hidup sihat.
Bagi Noor Hamisah, kerjaya sebagai pemandu Grab adalah peluang yang memberikannya kebebasan waktu. Tidak seperti pekerjaan tradisional yang memerlukan kebenaran majikan, Grab membolehkannya mengatur jadual sendiri, memberi masa yang berkualiti bersama anak-anak, memasak dan menjalankan tugas sebagai seorang suri rumah dengan tenang.
“Kerjaya ini memberi fleksibiliti untuk saya hadir dalam kehidupan anak-anak. Melihat mereka membesar dan menyediakan keperluan mereka tanpa risau tentang kewangan merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai,” kongsinya dengan penuh rasa bangga.
Selain manfaat pendapatan, Noor Hamisah juga menghargai peluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai latar belakang melalui Grab. Menurutnya, setiap penumpang memberikan peluang untuk dirinya belajar sesuatu yang baharu. Lebih daripada itu, Noor Hamisah turut membantu mereka yang memerlukan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Saya percaya kerjaya gig seperti ini adalah ruang yang besar untuk wanita menjana pendapatan. Janji rajin dan tahu mengurus masa,” jelas Noor Hamisah, menekankan bahawa kerjaya ini bukan sekadar pekerjaan biasa tetapi platform untuk pembangunan diri.
Noor Hamisah memuji teknologi keselamatan yang diterapkan oleh Grab, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk wanita. Baginya, aplikasi Grab bukan sahaja memberi kemudahan tetapi juga keyakinan untuk bekerja tanpa rasa ragu.
“Kerjaya ini memerlukan tahap kecekapan, fokus, dan motivasi yang tinggi. Anggaplah ia sebagai kerjaya profesional. Kita juga adalah duta kecil untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia,” pesannya kepada wanita lain yang berminat menceburi bidang ini.
Kisah Noor Hamisah merupakan bukti bahawa kekuatan wanita tidak mengenal batasan. Dengan tekad, beliau berjaya mengatasi cabaran, membina kehidupan yang stabil, dan mencipta kebahagiaan untuk dirinya serta anak-anak. Fleksibiliti, dedikasi, dan keupayaan beliau mengurus masa menjadikan beliau sumber inspirasi kepada wanita yang ingin mencari keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
Wanita ini telah menunjukkan sisi berbeza kerjaya gig seperti Grab bukan sekadar peluang pekerjaan, tetapi cara untuk membina kehidupan lebih bermakna. Dengan sikap positif dan keberanian, dia terus menjadi contoh bahawa wanita mampu berjaya dalam apa jua keadaan.
Kempen #SisBoleh Bersama Grab merupakan inisiatif pemerkasaan wanita yang diperkenalkan oleh Grab Malaysia. Ia bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh kepada wanita yang menjadi rakan-pemandu dan rakan-penghantar di platform Grab, dengan penekanan khusus pada aspek keselamatan.
Melalui kempen #SisBoleh Grab Malaysia komited untuk memperkasakan wanita dengan menyediakan peluang pendapatan yang fleksibel, latihan kemahiran, dan sokongan komuniti, sekaligus mempromosikan kesaksamaan gender dalam ekonomi gig.