Beratnya ujian yang dilalui ibu tunggal ini. Rasyidah Binti Mujari, 31 terpaksa melalui saat-saat getir diceraikan suami ketika masih menuntut di semester 2 pengajian IPTA, 3 bulan kemudian ayah yang kuat memberi sokongan meninggal dunia.
Sebulan selepas pemergian arwah ayah, anaknya pula diarahkan oleh doktor untuk melalui pembedahan tonsil di hospital. Dalam serba kepayahan wanita ini tak putus harap. Hari ini nasibnya berubah.
Susah senang itu dikongsikan dengan Mingguan Wanita. Dengan impian mahu menyuntik semangat kekuatan kepada wanita yang sedang melalui ujian dalam hidup mereka.
“Ketika semester kedua saya diceraikan. Sangat sukar untuk saya lalui. hari-hari menangis kenangkan anak kat kampung.
“Duit tak ada untuk makan. Kadang berlapar. Selepas bercerai bapak saya ambil tanggungjawab bantu dari segi financial.
“Genap 3 bulan saya bercerai, Allah lebih sayangkan bapak saya. Dia kembali ke rahmatullah. Saya terduduk, rasa hilang habis kekuatan untuk sambung belajar.
“Saya fikir semula. Kalau bapak tengok saya belajar tak habis tentu dia sedih. Saya kuatkan semangat. Teruskan juga belajar. Lepas sebulan bapak meninggal, anak saya kena jalani pembedahan tonsil.
“Sekali lagi saya hanya mampu menangis. Maklah jadi kekuatan saya. Abang saya pun banyak juga membantu. Keluarkan duit untuk pembelajaran saya.
“Saya cuma belanja RM300 saja sebulan. Lagi RM200 saya gunakan untuk tengok anak saya di kampung setiap minggu.
“Alhamdulillah berkat kesabaran, semangat yang kuat dan support dari anak dan famili saya berjaya sampai ke tahap sekarang dan diterima bekerja di syarikat Jepun.”
Kerjaya tenaga pengajar bidang automotif menjadi periuk nasinya kini. Sudah 8 tahun dia bergelumang dengan dunia yang dimonopoli kaum lelaki
“Tak mudah untuk wanita macam saya mengendalikan kenderaan berat. Macam-macam perangai dan ragam manusia saya temui.
“Disayangi pelajar-pelajar sampailah pernah berdepan dugaan dengan lelaki dan tak terlepas dari gangguan seksual dari manusia-manusia yang tak boleh menahan nafsu.” Itu antara kenangan pahit manis yang perlu ditempuh.
Akuinya, sepanjang mengajar dia tak berhadapan masalah bergaul dengan pelajar. Apabila melibatkan sesuatu yang berat semasa sesi latihan praktikal dia tetap memerlukan tenaga lelaki.
“Mengalah sebelum mencuba itu bukan cara saya. Kena kuat semangat, mental dan fizikal. Setiap kali hampir patah semangat, saya fikir ada famili anak umur 5 tahun yang perlu diberi makan.
“Dari situ saya bangkit majukan diri. Pegang jati diri dan fikir tanggungjawab sama.”
Kata anak kelahiran Pahang ini zaman sekarang bidang automatif yang sinonim kepada kaum lelaki amat luas peluang kerjayanya.
“Saya bermula waktu umur 18 tahun sampailah sekarang. Kalau perempuan terlibat kerjaya ini pun, masyarakat dah boleh terima.
“Saya sendiri, belajar dari sijil sampailah degree. Belum pun habis study saya dah terima offer dari banyak syarikat automotif di Malaysia.
Tambahnya jangan sesekali menganggap wanita tak mampu melakukan kerja yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita juga kuat.
Sumber/Foto : Rasyidah Mujari