Berita

Insiden Tumbuk Pemandu Wanita, Anggota Tentera Mengaku Tak Bersalah

Share

Di dakwa di mahkamah! Anggota tentera yang videonya tular menumbuk seorang wanita di Senawang bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Juga baca: https://www.mingguanwanita.my/tumbuk-pemandu-wanita-anggota-tentera-ditahan-polis/

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh dengan sengaja menumbuk dengan menggunakan tangan di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun. Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mac 2025, kira-kira jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta Perodua Axia wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang. Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia terbabit ketika melintas jalan.

Ikat Jamin RM2,000

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon jaminan rendah berikutan tertuduh menanggung dua anak yang masih kecil dan ibu bapa serta isteri.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh ditetapkan pada 19 Mei depan.

Sementara itu, keluarga pemandu wanita itu mendakwa mangsa mengalami patah rusuk akibat insiden tersebut. Perkara itu dikongsikan oleh pengguna TikTok, Syfhusnaaa, yang meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan lelaki berkenaan.

Malah, Syfhusnaaa turut mempersoalkan tindakan lelaki terbabit yang tidak berfikir panjang sebelum bertindak sedemikian sehingga menyebabkan tulang rusuk kakaknya patah.

Baca artikel lain juga: Suami Isteri Maut Kemalangan Jalan Raya Usai Rakam Foto Hari Raya

Published by
Rosmah Idayu