Pesanan buat mak ayah, hati-hati dalam memilih jenis mainan untuk anak-anak yang masih kecil. Ini kerana siapa sangka mainan anak ini boleh mengundang bahaya pada mereka.
Semalam viral di media sosial, insiden seorang bayi lelaki berusia 9 bulan terpaksa menjalani pembedahan, gara-gara besi yang tayar kereta mainan tertusuk di kepalanya. Cukup mengerikan. Tragedi ini dikongsikan oleh ibu saudara kepada bayi tersebut iaitu Sue Mohamad.
Baca Lagi Di Sini:
Jika Masih Terbenam, Jangan Cabut! Doktor Ini Kongsi Rawatan Awal Bagi Luka Tusukan Objek Tajam
Tertusuk Tayar Kereta Mainan
Dalam posting di Facebook, wanita ini berkongsi perasaan cemas apabila anak saudaranya yang dinamakan Habib mengalami insiden mencemaskan ini.
“Ya Allah..separuh nyawaku hampir hilang tengok kejadian petang tadi. Semua tolong hati-hati jika ada mainan anak kereta, ke buang lah. Jadikan ini pengajaran buat kita. Hari ni petang tadi anak buah saya tertusuk dengan tayar kereta ni.
“Entah macam mana dia main-main terbuka benda tu, lepas tu dia tergolek jatuh atas tayar kereta ni. Malam ni kena tahan wad, doktor dah buat CT scan dan pantau anak buah saya. Harap esok dapat lah buang benda ni.Doakan anak buah saya cepat sembuh ye, Aamiin.”
Selamat Menjalani Pembedahan
Namun demikan menerusi posting terkini, wanita ini berkongsi perkembangan positif keadaan anak buahnya.
“Alhamdulillah Ya Allah, anak buah saya dah selamat operation. Dah buang benda alah tu (tayar kereta mainan). Sekarang tunggu dia sedar. Terima kasih doa kalian semua hanye Allah yang mampu membalasnya. Mari kita terus doa kesihatan anak buah saya.”ujar Sue.
Buang Mainan Bahayakan Anak
Dalam pada masa yang sama, Sue turut menasihatkan agar ‘memilih’ jenis-jenis alat mainan yang selamat untuk anak-anak kecil. Buang mainan yang boleh mendatangkan bahaya buat mereka.
“Jom kita buang semua mainan yang boleh datang kan bahaya pada anak kita.Kereta semua tu saya buang. Tinggal bola dengan itik je yang ok,lembut. Selain dari tu asalkan keras tak nak. Say ‘No’ pada mainan keras-keras ni.”
“Semoga ibu-ibu di luar sana juga turut berhati-hati. Kadang mainan anak ni kita tak sangka boleh jadi bahaya pada anak-anak kita. Hindarkan anak-anak yang lain dari terkena macam anak buah saya” ujar Sue lagi.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan pengajaran. Buat mak ayah semoga berhati-hati dengan jenis mainan yang dibelikan untuk anak. Pastikan ia selamat dan tak membahayakan mereka.
Sumber: Sue Mohamad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Pakar Kongsi 7 Tip Cegah Koyakan Besar Masa Bersalin Dan Cara Betul Rawat Jahitan Ikut Tahap Kecederaan
Satu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.
Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.
Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.
Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,
“Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.
“Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.
“Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.
Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.
7 Tip Pencegahan Koyakan Besar Pada Perineum
1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.
Rawat Kecederaan Perineum (Koyakan)
Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.
Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.
Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.
10 Cara Pulihkan Kesan Jahitan Dengan Panduan Doktor
1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.
Kecederaan Perineum (Koyakan) Ketika Proses Kelahiran
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.
Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.
American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat
Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.
Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.
Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.
Betul Ke Semua Ibu Mengandung Perlukan Episiotomi?
Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.
Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.
Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.
Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.
Kenali Tahap Kecederaan Perineum Mak Bersalin
Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.
Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.
Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius
Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:
3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.
3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.
3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.
Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.
Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ketahui 2 Cara Bertenang, Teruskan Hidup Dengan Suami Bermulut Laser
Dia seorang suami yang sangat baik. Dia sayang kepada anak-anak dan tidak ada keraguan tentang kesetiaannya kepada anda. Dalam ayat lain, dia suami yang sangat sempurna kecuali satu perkara. Bermulut terlalu rajin mengkritik anda dan kata-katanya tajam menusuk kalbu.
Apabila ada sesuatu dalam rumah yang dia tidak berkenan maka dia akan ‘membuli’ perasaan anda dengan ayat-ayat pedas. Dia bukan mengherdik atau menengking anda tetapi dia ada kuasa sihir yang menjadikan setiap perkataan yang dia ucapkan itu sangat menyakitkan hati.
Apabila bersuamikan lelaki begini, kata-kata nasihat seperti ‘cakaplah elok-elok dengan dia’, ‘jangan derhaka pada suami’ atau ‘jangan lawan cakap suami’ tidak memberikan apa-apa makna.
Anda hanya isteri biasa yang merasa telah cuba sebaik mungkin untuk bersabar. Namun kadangkala tindak balas spontan kepada kata-kata tajam suami menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk.
Sebagai contoh hampir setiap hari suami menembak cara anda menegur sikap anak-anak. Hati mana yang tidak panas lalu anda pun membalas “..kalau abang dah tahu saya tidak pandai kenapa tidak abang sendiri yang tegur budak-budak tu?”
Hujah anda itu dibalas semula dengan sindiran betapa anda tidak mahu mendengar nasihat dan belum habis dia bercakap, anda sudah membalas semula.
Sudah tentu keadaan itu memberi anda tiket khas ke neraka. Sekadar kata-kata nasihat ‘jangan derhaka’ memang mudah diucap tetapi yang anda lebih perlukan ialah bagaimana untuk menghadapinya.
Betul bukan? Oleh itu dalam nota ini saya kongsikan beberapa teknik untuk berhadapan dengan sikap suami yang gemar mengkritik dan merendah-rendahkan anda.
2 Cara Nak Hidup Dengan Suami Mulut Laser
Fahami Suami Jika Anda Menjadi Dia
Pertama, fahami suami jika anda menjadi dia. Anda kata dia mengkritik anda dengan kata-kata bisa. Ya mungkin betul pada ketika itu tetapi bagaimana sebelum ini?
Adakah dia terus menyembur anda atau dia sudah bercakap elok-elok tentang isu itu sebelum ini? Mungkin kata-kata dia pedas tetapi adakah dia benar-benar maksudkan begitu?
Anda dapatkan lebih maklumat tentang apa yang sebenarnya dia maksudkan. Sebagai contoh “Cuba Abang buat Ina faham, apa sebenarnya maksud Abang tadi?”
Jangan Simpan Kata-kata Suami Bermulut Laser Dalam Hati
Kedua ialah jangan simpan kata-kata lasernya itu di dalam hati. Dia suami anda dan merupakan pintu anda ke syurga nanti.
Setiap hari dia bekerja kuat setiap hari mencari rezeki. Jika terpaksa dia tidak akan berfikir dua kali untuk mengorbankan nyawanya demi mempertahankan anda dan anak-anak.
Jika nyawa jadi tanda sayangnya dia pada anda, takkanlah kata-katanya yang terlepas itu anda terus tangkap dan simpan dalam hati.
Anda kata dia ‘mulut laser’ bila menegur tetapi adakah anda pernah cuba memahami maksud dia yang sebenarnya. Mulutnya tajam tapi dia setia pada anda.
Dia selalu menegur masakan anda yang kurang menyelerakan tetapi setiap bulan semua duit gaji dia serah pada anda. Maksud saya ialah lihatlah pada hatinya sebagai suami. Bukan kata-kata lasernya itu.
Selama ini anda telah lihat cukup bukti betapa dia sayangkan anda. Dia juga seorang ayah yang baik kepada anak-anak. Oleh itu kenapa anda lebih sensitif tentang bagaimana dia menegur anda berbanding dengan apa yang dia tegur itu?
Sembilan daripada sepuluh teguran dia anda ambil secara negatif. Adakah benar dia suka mengkritik anda atau anda yang tidak boleh ditegur? Maksud tidak boleh ditegur ini ada dua.
Pertama, ego tinggi dan merasa diri sentiasa betul.
Kedua, tidak peduli dan tidak mengambil berat tentang perkara yang ditegur oleh suami.
Bertanggungjawablah di atas sikap kepada suami. Cara dia menegur mungkin tidak kena tetapi apa yang dia tegur itu adalah betul. Suami sangat sayangkan anda maka eloklah anda mengambil berat apa yang dia cakap. Kecualilah anda memang mahu menyakitkan hatinya maka belailah ego anda itu.
Penulis : Dr Syed Yusainee Syed Yahya, Promind Training And Consultation, kolumnis Nota Untuk Isteri majalah Mingguan wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wahai Suami Jangan Percaya Kata-Kata Isteri Kalau..
Percaya tak wahai suami yang seorang isteri itu sebenarnya cukup pandai berbohong. Lagi-lagi hal yang melibatkan perasaannya. Apa yang isteri katakan itu sebenarnya bukanlah benar-benar seperti apa yang terluah di bibir.
Isteri ada alasannya kenapa dia berbohong. Dan pembohongannya itulah yang sebenarnya menyelamatkan, mendamaikan sebuah rumah tangga yang dibina bersama. Kerana pembohongannya itulah, anda wahai suami berasa tenang-tenang saja. Walau pun hakikatnya, isteri memendam rasa.
Sebab Itu Suami Jangan Percaya..
( kalau isteri anda sebutkan kata-kata ini.. )
Bila Isteri Kata Dia Tak Apa-apa
Hakikatnya, dia memang sedang apa-apa. Pasti jauh di sudut hatinya ada satu perasaan tak puas hati tapi tak mampu untuk diluahkan. Kerana, apabila kebenaran sudah diketahui pasti akan ada hati yang terluka.
Begitu pun ketika, isteri terluka dan sedang memberi mu peluang kedua. Akibat kecurangan yang suami lakukan. Sebenarnya, hatinya ibarat kaca yang telah retak. Walau bercantun tetap ada kesan lukanya.
Jadi tidak apa-apa isteri itu, sebenarnya adalah apa-apa yang perlu suami perhatikan betul-betul. Jangan tanya pada isteri. Kerana dia tidak akan memberitahu. Perhatikan dengan mata hati. Rawatlah kembali ‘tidak apa-apa’ isteri itu dengan kasih sayang yang ikhlas. Bukan paksaan.
Kerana isteri yang ‘tidak apa-apa’ ini tidak suka dipaksa jiwanya. Dia akan tenang kembali dan tahu bagaimana merawat diri.
Bila Isteri Kata Dia OK, Tak Letih
Oh, sebenarnya dia teramat-amat letih. Tapi setiap kali memandang wajah suaminya yang baru pulang dari tempat kerja. Rasa letih itu disimpan dalam-dalam, dipegang kemas-kemas sampai tidak ada seorang pun sedar akan letihnya.
Jangan cuba diuji kerana apabila letihnya sudah sampai ke paras hidung. Dan tak mampu lagi dibendung, ia akan meletup. Bersama kesan-kesan bebelan yang panjang dan menakutkan semua. Hatta anak-anak yang baik-baik pun boleh terkejut seram.
Bila Isteri Kata, Takpe Saya Boleh Drive Sendiri
Sebenarnya sebolehnya dia mahu anda temani dia. Kerana jika urusannya berteman akan lebih mudah untuknya menguruskan segala kerja. Termasuklah uruskan anak-anak yang sedang membesar itu. Jika ada anda di sisi, alangkah bahagianya dia untuk meluah rasa.
Berkongsi cerita dalam perjalanan bukankah romantik dan mengasyikkan. Wahai suami, fahamlah jika anda ada masa lapang dan tidak sibuk, tak salah rasanya memandu untuk isteri. Walaupun kau tahu isterimu itu sejenis robot yang tak kenal erti duduk diam.
Bila Isteri Kata, Jangan Risau Saya Boleh Jaga Budak-budak Ni
Betul memang dia boleh jaga anak-anakmu dengan senang sekali. Tapi bila tiba waktu cutimu iaitu hari Ahad nanti. Ambil alihlah tugasan itu. Kerana dia juga perlukan waktu untuk dirinya sendiri. Isterimu juga mahu menghabiskan masa liburnya dan ruang untuk dia.
Kalau pun isteri mu itu tidak menuntut ME TIME dari mu wahai suami. Fahamlah yang dia perlukan masa untuk bersama denganmu. Bawa dia ke satu tempat yang relaks dan menenangkan. Kalau pun perlu membawa anak-anak, sepanjang cuti itu ambil alih tugas menjaga anak-anak. Biarkan isterimu itu rehat di sampingmu.
Bila Isteri Kata, Saya Ada Duit Lagi
Kalau pun dia ada pekerjaan yang baik dan dia ada simpanan sendiri. Tahukah kamu bahawa simpanan itu kelak adalah untuk saat-saat kecemasan membantu ketika kamu wahai suami benar-benar sesak. Kerana itu, janganlah bersikap kedekut untuk membelanja isterimu.
Jangan juga kedekut untuk memberikan wang saku padanya. Jika tidak mampu besar jumlahnya cukuplah sekadar untuk memberi hadiah wang saku akan penat lelahnya. Pasti dia akan tersenyum bahagia.
Justeru itu, wahai suami.. andai kata isterimu memberi signal sebegini cepat-cepatlah jadi suami yang perasa. Rasai apa yang sedang beraja di dalam hatinya. Perhatikan tindak tanduknya, gerak langkahnya.
Jika dia mulai marah-marah. Mungkin dia sudah menyimpan kata-kata di atas lama. Sayangi isteri mu, PELUK lah dia. Walaupun anda tidak tahu, suatu hari nanti dia pasti akan kongsikan juga isi hatinya dengan suami yang paling dicintainya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI