Enam penyelam bomba yang terkorban lemas ketika dalam tugas ini adalah insan-insan pilihan tuhan. Malah menerusi laman facebook Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri mengiktibarkan mereka sebagai syahid.
Pagi tadi sekitar jam 8.40 pagi jenazah 6 penyelam bomba ini dibawa ke perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam.
Sebelum itu bacaan tahlil dan yasin memenuhi ruang menunggu. Sebaik jenazah 6 anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ini tiba, solat jenazah dilaksanakan. Dan penghormatan terakhir diberikan sebelum mereka dikebumikan di kampung halaman masing-masing.
Mufti Wilayah Persekutuan Iktibarkan Enam Penyelam Bomba Sebagai Syahid
“Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.”
“Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
“Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.”
“Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita.”
“Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin.”
Atas asas inilah, berhimpun pada kami perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, yang kami sifatkan luar biasa.
Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.
Kepada Ahli Keluarga, Berdoalah Dengan Kesabaran Yang Tinggi
Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya. Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha Allah akan datang bantuan daripada-Nya.
“Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.”
“Kepada kerajaan Malaysia, kami syorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka.”
“Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja.”
Akhir kalam, marilah sama-sama kita merafakkan doa agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah.
Al-Fatihah buat mereka. Sekali lagi, takziah buat keluarga.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ
Amin…
Akhukum fillah,
S.S Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber/Foto : Mufti Wilayah Persekutuan , Kosmo
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI