Kes kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap tahun, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.
Ini sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.
Jadi daripada kes tersedak susu yang berlaku, ini antara punca yang menyebabkan bayi tersedak susu…
1. Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka. Injap paru- paru anak yang masih kecil.
2. Tabiat ibu bapa meletakkan bantal atau kain untuk menyokong botol susu dan meninggalkan bayi keseorangan.
3. Kedudukan bayi semasa minum susu yang salah.
Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya.
Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.
Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi.
Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.
Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan.
Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur.
Jika anak tersedak susu, ibu- ibu semua jangan panik. Tenangkan diri dan boleh cuba perkongsian untuk merawat bayi yang tersedak susu…
1. Tiarapkan bayi kemudian seperti position di dalam gambar, tepuk belakang badan beberapa kali sehingga susu atau bahan makanan yang menyekat saluran pernafasannya keluar.
2. Sekiranya susu atau ada benda lain di dalam mulut bayi tidak keluar, dalam keadaan duduk menghadap kehadapan tekan bahagian dada dengan menggunakan hujung genggaman tangan secara perlahan.
3. Selain menekan bahagian perut bayi boleh dibaringkan. Kemudian tekan dan picit bahagian dada beberapa kali menggunakan kedua-dua ibu jari sehingga bayi dapat bernafas semula.
Dengan panduan dan cara rawatan ini, moga ianya bermanfaat untuk kita kongsikan bersama dengan orang- orang yang kita sayang terutamanya ibu bapa yang baru. Yang paling penting jangan terleka, badan kena sihat untuk menjaga anak yang masih kecil dan jangan panik jika terjadinya kes anak tersedak susu.
Moga mak ayah mampu mencegah sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.