Sekadar bertanya, macam mana mak ayah jaga perasaan anak setiap hari? Adakah kalian bahagiakan mereka dengan membelikan mainan, bawa jalan-jalan atau cukup dengan menyediakan segala keperluan yang si kecil mahu?
Untuk kesedaran bersama, cubalah fahami hati seorang anak-anak dengan perkongsian Puan Salwa Mohd Saleh ini…
Peristiwa ini berlaku sudah 4 tahun yang lepas. Tapi saya belum pernah beritahu kepada sesiapa pun.
Hari ini saya kongsi, kerana selepas baca anda akan nampak, saya hanya ada 1 point sahaja.
Kira-kira beberapa bulan selepas saya berhenti bekerja di pejabat dan menjadi WAHM, saya bermimpi sesuatu. Dalam mimpi tersebut, Imran dan I’jaaz yang ketika itu berusia 4 dan 2 tahun, menunggu saya pulang berkerja. Tetapi mereka tidak tunggu di taska sebaliknya menunggu dua beradik di sebuah stesen bas. Dan dalam mimpi tersebut, perkara itu berlaku setiap hari sebagai rutin, selazimnya kita setiap hari yang menghantar anak dan mereka menunggu kita pulang.
Ads
Cuma satu perbezaan ketara, dalam mimpi tersebut saya yang menjadi Imran. Dan saya memegang tangan I’jaaz, setia menunggu ‘Emak’ pulang dan mengambil. Orang lalu lalang. Jam sudah 5 petang. Sepatutnya Emak sudah datang ambil tapi masih belum muncul. Makin lama makin ramai orang lalu lalang. Saya makin resah. Risau. Masih memegang tangan ‘adik’ saya. Kenapa Emak ambil lambat hari ini? Emak akan datang ambil tak?
Sumpah, perasaannya saya sendiri sukar nak gambarkan. Takut, cuak, ternanti-nanti, risau, kesian pada adik semuanya bercampur aduk. Nak menangis air mata tidak keluar. Hingga akhirnya hampir jam 6 lebih kurang, baru ‘Emak’ datang mengambil saya dan barulah lega. Bayangkan, itu hanya 1 jam lewat.
Saya terjaga dari mimpi. Air mata saya tumpah seperti empangan. Mungkin boleh saya katakan saya bukan menangis tetapi meraung. Rasa yang saya rasa dalam mimpi tadi, amat pedih. Susah nak digambarkan tetapi sebenarnya itulah mungkin rasa Imran dan I’jaaz selama hari ini. Cuma mereka tak dapat luahkan dan beritahu. Setiap kali pulang bekerja dan ambil mereka, memang mereka tunggu di muka pintu dengan muka gembira bukan main. Emak mereka mahu ambil mereka pulang.
Ads
Dan dirumah saya akan terus dengan kesibukan saya dengan rutin memasak, mengemas dan marah-marah bila mereka buat perangai sedangkan mereka sudah seharian menunggu di rumah.
Saya kesal yang amat. Malah sewaktu menulis itu pun pedih dari mimpi yang sudah berzaman tersebut masih ada menghangatkan air mata. Keputusan saya berhenti kerja ada hikmah besar tapi saya tidak juga menidakkan keperluan ramai ibu di luar sana utk bekerja.
Point saya adalah, itulah perasaan anak-anak kita setiap hari. Mereka menunggu kita penuh sabar walau selalu lewat. Perasaan mereka tercalar, kecewa, sedih dan mengharapkan kita pulang melayan mereka.
Ads
Dan kerana itulah saya dahulu pernah lancarkan kempen 10 minit bersama anak-anak (baca lanjut di sini: http://www.salwasaleh.com/20…/…/kempen-10-minit-pertama.html ) Saya menyeru ibubapa, sesibuk mana pun 10 minit pertama menyambut anak tidak kira di taska, sekolah atau di rumah, luangkan dahulu masa mendengar cerita-cerita mereka. Peluk mereka dan dengar apa mereka nak kata. Raikan anak.
Saya juga berusaha seperti itu. Jika saya keluar untuk mengajar, atau saya ada urusan, pulang sahaja ke rumah anak-anak saya akan bergegas buka pintu dan sambut saya di kereta. Kerana mereka tahu ada buah tangan dan saya akan mendengar apa cerita mereka dahulu. Walaupun saya emak yang tegas dan garang juga orangnya, tapi saya tahu anak-anak sangat rapat dengan saya. Sebolehnya tidur pun semua berhimpit-himpit nak sebelah Emak, makan pun semua berebut nak duduk di tepi Emak.
Entahlah… Saya pun tak tahu kenapa saya nak cerita semua ini. Mungkin saya mengharapkan tiada anak-anak terlalu kecewa dan rasa pedih seperti saya rasa dalam mimpi tersebut walaupun hanya mimpi.
Atau saya mengharapkan saya dapat bantu ibubapa untuk buka mata, dan mula meraikan anak-anak mereka?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau mak, ayah ada masalah dalam rumah tangga, jangan pula cari bahagia dengan “pasangan” orang lain yakni suami atau isteri orang. Berdosa ya, tapi realitinya memang wujud hubungan sebegini ya.
Hanya bermula sebagai tempat luahan perasaan kononnya tidak dihargai pasangan, lama-lama jatuh saying dan mengaku masing-masing ada masalah dengan pasangan sedia ada. Hubungan ini sebenarnya memang tak dapat diterima dalam masyarakat.
Bukan caranya mencari bahagia dengan dengan orang lain yang ada ikatan. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan hadam baik-baik.
Kalau Ada Masalah Rumah Tangga
Kalau tak bahagia dengan pasangan, jangan cari bahagia itu daripada orang lain selagi masih ada ikatan…
Benda ini sudah jadi kebiasaan… Si A beritahu dekat si B yang dia tidak bahagia dengan kehidupan rumah tangga dia… Si B dengar, si B mulalah nasihat, ambil berat dan ceriakan si A…
Si A gembira, si A rasa bahagia, si A rasa si B inilah pasangan yang dia impikan selama ini… Baru sekarang dia jumpa…
Si B yang pandai nasihat-nasihat ini pun cakap yang dia sebenarnya tak bahagia juga… Si B mula bercerita tentang ketidakbahagiaan dia… Maka, si A dan si B mula bercinta…
Walhal si A ni isteri orang, si B ini pula suami orang…
Ahh sudah… Hubungan jenis apa yang cuba hendak dijalinkan ini? Sekejap, ada ke dalam realiti?
Ada… Percayalah yang ada isteri orang dan suami orang berkasih-kasihan… Ada isteri orang dan suami orang yang bercinta-cintaan dalam masa mereka masih bersama pasangan masing-masing…
Stop it lah ya, orang yang tidak ada iman dan akal saja yang buat benda ini… Kalau rasa tak bahagia dengan pasangan, jangan cari kebahagiaan itu dari pasangan orang lain…
Beranikan diri untuk meninggalkan ketidakbahagiaan tersebut daripada melakukan sesuatu yang di luar norma pemikiran…
Selagi Status Masih Dimiliki, Ada Had Dalam Bahagia
Selagi status tu masih dimiliki orang lain, ada had dan batas dalam perbuatan dan pergaulan…
Most of orang yang buat ini, bukanlah dia menderita sangat-sangat dalam rumah tangga… Cuma dia selalu bandingkan apa yang pasangan dia ada dengan orang lain…
Kemudian tiba-tiba dia rasa “tak bahagia” bila apa yang pasangan orang lain ada, tak ada pada pasangannya…
Bertaubatlah cepat-cepat… Putuskan saja ikatan kalau betul-betul sudah tak boleh nak teruskan…
MW: Sebesar mana pun masalah dalam rumah tangga, carilah orang yang bertauliah untuk berkongsi masalah atau menasihati. Tidak perlulah berkongsi dengan rakan berlainan jantina, lagi-lagi dengan suami atau isteri orang. Renung-renungkan.
Memang ramai mak-mak zaman sekarang pandai cari duit tepi tetapi kalau isteri bekerja pun suami tetap tak boleh lepas tangan tanggungjawab hulur nafkah ya.
Sekali pun tak berapa nak cukup, suami memang kena usaha untuk dahulukan keperluan isteri. Cukup tak cukup, belakang kira! Dan kalau guna duit isteri tanpa kebenaran dan redanya, tak berkat lah rezeki yang digali. Itu kan hak isteri.
Haaa… sampai tahap tu sekali. Apa pun suami kena faham konsep sebenar kenapa isteri rela bekerja. Nah, hadam sikit apa yang ditulis saudara Firdaus Shakirin ini ya.
Isteri Bekerja Tapi Duit Gajinya Haknya
Isteri bekerja, isteri berniaga itu duit dia, tetap dia yang punya.
Dengan duit yang dia dapat dari gaji bulanan dia, dengan duit yang dia dapat hasil dari perniagaan dia itu lah dia dapat membantu kita, membeli barang keperluan rumah, membayar yuran anak, upah pengasuh, membantu orang tuanya, membeli apa yang diinginkannya dan sebagainya.
Kalau nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin dia tak boleh beli apa yang dia nak. Kalau nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin dia tak dapat hulur 1 sen pun kepada orang tuanya.
Isteri Ada Target Sendiri
Makanya, jangan di salah gunakan pendapatan isteri untuk kepentingan diri. Dia ada target dia sendiri, dia bekerja untuk apa, dia berniaga untuk apa. Kalau dia bagi sedikit untuk kita guna, alhamdulillah.
Kalau dia bayar bil-bil rumah, alhamdulillah. Kalau dia beli barang dapur, alhamdulillah.
Tapi itu bukan bermakna tanggungjawab kita dah lepas.
“Abang tak payah bagi apa-apa, saya ada duit sendiri, saya beli apa yang patut untuk keluarga kita.”
Sokong Isteri Dan Fahami Keadaannya
Dia bekerja ada sebabnya, dia berniaga ada sebabnya. DIA ADA TARGET DIA. Berlapang dada untuk terima kenapa dia perlu buat semua tu sebab kalau dia nak harapkan kita sepenuhnya, mungkin kita tak mampu nak tolong dia, tak mampu tunaikan apa yang dia nak dan berikan apa yang dia mintak.
Sokong dia, bagi semangat untuk apa yang dia buat. Faham tentang keadaannya dan selagi dia tak mengabaikan keluarga, selagi dia pandai membahagikan masa, maka terimalah apa yang dibuatnya itu dengan berlapang dada.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Indahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.
Kisah I : Kakak Tak Pernah Give Up – Yusri Yusof
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak Lebih Kuat Sebab Ada Cinta Dari Anak Muda Bernama Azam
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Kisah II : Coretan Buat Kakak – Shukur Yusuf
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
September 2017
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Disember 2017
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Februari 2018
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Hujung April 2018
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
17 Jun 2018
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Julai 2018
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Ogos 2018
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Pagi 3 Ogos 2018
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.