Inilah 6 Drama Realiti Yang Jadi Di Sekolah, Hakikat Ini Menyedihkan!

Share

Empat hari lamanya ibu ini menghantar anaknya ke sekolah. Mengajar permata hatinya survival sebagai seorang pelajar sekolah rendah. Kelak, anaknya itu dapat berdikari biar pun tanpa pengawasan kedua ibu bapanya yang jauh di mata.

Sayangnya, belum pun seminggu memantau anaknya yang bersekolah, ibu ini, Siti Saleha Jaffar berasa sedih dengan realiti yang benar-benar terjadi di hadapan matanya. Apa yang dikongsikan beliau ini biarpun perit untuk ditelan, tapi drama realiti ini adalah hakikat yang perlu kita hadamkan. Baiki segera agar bila anak besar, dia tak ikut jejak kurang manis segelintir mak ayah ini.

Seandainya tanpa sedar atau sengaja ada mak ayah pernah terbuat apa yang dicatatkan oleh beliau, cepat-cepatlah istighfar. Lihat kembali khilaf diri dan perbaiki agar kelak mak ayah dapat melahirkan generasi pewaris harapan bangsa.

Drama Realiti Di Sekolah

Selama 4 hari follow rayqal, mengajar dan memantau cara membeli, mengajar menunggu mamy/abah ambil, mengajar naik turun van, inilah realiti yang terjadi di depan mata

1. Cikgu mengarahkan supaya mak ayah beredar dari tapak perhimpunan untuk meneruskan kelancaran aktiviti. Tindakan sesetengah mak ayah mengabaikan arahan itu malah berwefie dan memaksa anak-anak pose.

Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak degil dan mengingkari arahan. Jadi anda mengharapkan cikgu untuk didik anak anda tidak degil dan mengikut arahan?

2. Waktu anak rehat, mak ayah mengambil tempat duduk murid lain untuk temankan anaknya sahaja makan maka murid tersebut terpinga-pinga sambil memegang pinggan dan air. Matanya pula meliar mencari tempat duduk. Kawan terlanggar habis mee dan air tumpah. Bayangkan itu yang terjadi pada anak kita sendiri.

Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak menjadi seorang yang mementingkan diri dan mengambil hak orang lain.

3. Cikgu mengarahkan supaya mak ayah beredar di hadapan kelas untuk memulakan sesi pembelajaran tapi arahan diingkari malah keluarkan smartphone sambil snap gambar

Hakikat : Mak ayah mengajar anak untuk tidak yakin dan tidak mempercayai seseorang yang menjalankan amanah. Mengajar anak tidak menghormati hak orang lain.

4. Sambil beratur membeli buku dan bayar yuran, seorang ayah sambil memimpin anak berusia 4-5 tahun memotong barisan. “Cikgu, berapa lama nak beratur ni, saya kejap lagi nak masuk kerja.” Maka si anak kecil petah berkata-kata, ”Papa kata cuti hari ni nak bawa adik pergi tengok cerita Jumanji” Dan si kecil itu dijerkah ayahnya di khalayak ramai

Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak bercakap bohong, menipu, tidak sabar dan menjatuhkan maruah orang di hadapan orang adalah tidak salah.

5. Mak ayah beratur bersesak-sesak dengan murid lain membeli makanan untuk anaknya seorang dengan tujuan mengajar cara membeli di kantin maka drama berlangsung lebih kurang 5-7 minit di situ. Murid-murid lain di belakang masih ramai lagi.

Apabila masing-masing dapat makanan, baru menyuapkan makanan sesuap dua, loceng berbunyi tanda waktu rehat berakhir. Maka si polos, bangun sambil menoleh makanan yang tak sempat dihabiskan dan berlalu mencuci tangan.

Hakikat : Mak ayah mengajar anaknya cara mementingkan diri sendiri, mengambil hak orang lain dan tiada rasa belas pada orang lain. Apa salahnya buat role play jual beli di rumah?

6. Parking kenderaan dan van sekolah dipenuhi oleh kereta-kereta mak ayah yang mahu mengambil anaknya. Dikejauhan terlihat murid yang masih belum biasa menangis keseorangan mencari van yang terselindung di sebalik kenderaan mak ayah lain.

Hakikat : Mak ayah mengajar anaknya mementingkan diri, tidak peduli orang lain dan mengambil hak orang lain itu tidak menjadi satu kesalahan.

Masyarakat Sekarang Semakin Tenat Adab

Begitulah drama realiti serba sedikit yang terjadi di hadapan mata. Sedih memang cukup sedih melihat betapa masyarakat sekarang semakin tenat adab, akhlak dan tingkah laku.

Lagi sedih, bila memikirkan sikap generasi akan datang 10-20 tahun lagi bagaimana hasil corakannya. Sedarlah wahai mak ayah, dikala kita galak menyalahkan guru-guru atas tingkah laku anak kita yang tidak seperti diharapkan, sebenarnya anak itu sendiri belajar dari mak ayahnya.

Dikala kita galak memarahi guru-guru yang menghukum anak-anak kita atas kesalahannya, sebenarnya kita sendiri mencorakkan corakan hitam pada sisi hidup anak kita sendiri.

Sebelum kita meletakkan sesuatu kesalahan anak kita pada orang lain, refleks diri dulu. Tanya pada diri sendiri sudah cukup sempurnakah didikan kita pada anak kita..

Guru yang sebenar-benar guru adalah mak ayahnya sendiri. Dan guru di sekolah bertanggungjawab menggilap lagi potensi anak yang kadang kala mak ayah terlepas pandang.

Ingat hakikat ini walau pahit untuk diterima. Mak ayah adalah cerminan anak-anak. Mak ayah lah sebenar-benar guru pada anaknya.

Jadi bertanggungjawablah.. usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain. Kelak di sana terkaku kelu lidah untuk menjawab di hadapan pencipta.

Sumber/Foto : Siti Saleha Jaafar

Published by
Netty Ah Hiyer