Ini Yang Buat Ayah Mangsa Buli, Zulfarhan Sujud Syukur Di Mahkamah

Share

Seawal 7.30 pagi galeri awam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipenuhi dengan ahli keluarga Allahyarham Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman dan ahli keluarga tertuduh dari kalangan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang akan mendengar keputusan akhir hakim.

Di atas pembelaan seorang ayah, Zulkarnain Idros, 55 terhadap kematian anaknya yang dipercayai akibat dibuli. Dua tahun lamanya, ayah ini dan ibu mangsa, Hawa Osman, 56 turun naik mahkamah menuntut pembelaan, berdoa agar Allah tunjukkan jalan kebenaran.

Sebaik Hakim, Datuk Azman Abdullah memberikan keputusan, memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri dalam kes kematian Zulfarhan, kedua ayah ini tak dapat menahan air mata.

Ketika keluar dari galeri awam mahkamah, pasangan suami isteri ini menangis. Dan Zulkarnain melakukan sujud syukur.

Suasana hiba menyelubungi ruang mahkamah. Seakan dapat merasai apa yang ibu ayah ini telah lalui.

Dihantui bayangan anak yang sentiasa ada dalam setiap doanya.

Pemergiannya masih terasa. Setiap malam saya terdengar suaranya. Apabila Hari Raya terasa dia tak ada. Saya tak akan lupakan arwah.” Sebak Zulkarnain berkongsi rasa.

Doa Ibu Ayah Zulfarhan Dimakbulkan Ilahi

Dalam pada itu, dia bersyukur kepada Allah dengan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.

Syukur atas Ilahi. Doa kami dimakbulkan Allah supaya pesalah mendapat pembalasan.”

Sementara ibu allahyarham, mengucapkan terima kasih di atas doa rakyat Malaysia kepada mereka. “Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana bagi keputusan yang benar.”

Keputusan hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Yang mana lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas pertuduhan bersubahat membunuh mangsa.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Enam tertuduh ini bersama 12 penuntut yang lain perlu membela diri untuk pertudungan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan maksud memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Walau bagaimanapun seorang penuntut, Muhammad Akmal Akif Alias, 23 dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan mencederakan Allahyarham.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun ini dibuat mengikut seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

MW : Mendoakan agar kematian Zulfarhan mendapat pembelaan yang setimpal. Sungguh! menakutkan dengan kes buli yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Semoga ramai pihak membuka mata dan jadikan pengajaran kes buli allahyarham Zulfarhan ini.

Buli bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Dan buli bukan saja pada fizikal, malah buli emosi itu lebih parah lagi kesannya.

Sumber/Foto : Harian Metro, Sinar Harian

Published by
webadmin