Ini Tasbih Yang Arwah Mak Buat..

Share

Ketika mak masih ada, anak-anak dapat rasai hasil kerja mak. Dari bab memasak, mengemas rumah hinggalah hasil kerja tangan mak dekat di hati anak-anak.

Tapi bila mak dah tak ada.. apa yang mak tinggalkan itulah jadi kenangan pengubat rindu. Cerita tasbih arwah mak ini ringkas saja, namun menusuk sampai ke hati.

Dikongsikan oleh Puan Effy Sueffy tentang hasil kerja tangan ibunya, yang rajin bersedekah. Maknya akan buat kerja tangan daripada manik lalu disedekahkan pada orang di sekelilingnya. Moga pahala sedekah arwah ibu Puan Effy terus berpanjangan.

Tasbih Arwah Mak Buat, Guna Manik Biasa

Ini tasbih yang arwah mak buat. Guna manik biasa saja. Butang baju dan tali tangsi. Dah bertahun usianya.

Arwah mak memang kreatif. Banyak barangan lain yang dibuat guna manik. Dari manik murah biasa-biasa, sampailah manik mahal yang cantik lain macam. Memang jatuh cinta dibuatnya tengok hasil tangan arwah.

Ada beberapa beg manik yang arwah guna untuk pergi kelas mengaji dulu. Semua buat sendiri. Kukuh. Itu bagi dekat adik.

 

 

Orang Nak Bayar Mahal Pun Arwah Mak Tak Terima Duit

Sarung kotak tisu pun ada. Satu dalam kereta kami, satu bagi mertua.

Lain-lain perhiasan buah epal, bakul telur untuk kenduri kahwin, banyak dah bagi orang. Arwah dulu tak suka jual. Orang nak beli bayar mahal-mahal pun arwah tak terima duit. Suka, ambil. Arwah hadiahkan.

Itulah arwah. Suka memberi. Walau ditawarkan duit yang banyak, tetap dia tolak. Kata arwah mak,

Benda boleh bagi, bagilah. Buat apa nak jual. Bila bagi, jadi sedekah. Ada pahala. Mak nak pahala.”

Apa yang tinggal, kami guna. Tasbih ni misalnya. Semoga ada pahala untuk mak di sana. Begitu juga dengan telekung, sejadah. Buku-buku pengajian. Guna. Mana tahu ada pahalanya sampai kepada arwah.

Pesan Arwah Mak Melekat Sampai Hati

Arwah sendiri pun selalu pesan dari kami sekolah lagi.

Nanti bila mak dah tak ada, kamu gunalah tasbih ni. Gunalah telekung mak. Pakai sejadah mak. Buku nota mak ni baca. Amalkan. Nanti mak boleh dapat pahala kat sana.”

Ini sajalah yang anak-anak boleh buat. Selain berdoa, guna barangan tinggalan arwah untuk kebaikan. Insya-Allah. Bukan untuk meratap hiba berpanjangan.

Yang pergi tetap pergi. Kena lepaskan dengan redha. Rindu, itu pasti. Apa yang ditinggalkan, guna biar jadi manfaat. Biar jadi kebaikan. Ada pahala, hadiahkan untuk pemiliknya.

Semoga yang telah pergi tetap berbahagia di sana. Dan kita terus menghantar pahala buat mereka.

MW : Selagi masih ada ibu, sayangilah mereka wahai anak-anak. Al-fatihah.. semoga arwah ibu Puan Effy Sueffy ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber/Foto : Effy Sueffy

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer