Sejak semalam, berita kemalangan maut yang menimpa Muhamad Anas Hadif, anak bongsu usia tiga tahun yang terjatuh dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh masih mengejutkan orang ramai.
Tertanya-tanya bagaimana anak kecil ini boleh terjatuh ke dalam lubang kumbahan yang tidak bertutup itu.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh abang arwah, Muhamad Syakir Zuhairi Ahmad Hafiz, 7 ketika kejadian dia dan adik bongsunya itu keluar dari rumah terlebih dahulu. Mereka bermain di luar rumah, kemudian, adik ketiganya, Muhamad Asyraf, 6 menyertai mereka.
Waktu bermain itulah, tiba-tiba Anas terlanggar batu sebelum terjatuh ke dalam lubang kumbahan. Segera mereka jerit minta tolong.
“Saya nampak selipar Anas dalam lubang dan saya dengan Asyraf terus jerit minta tolong. Anas sudah jatuh dalam lubang itu
.”“Kami takut sangat masa itu. Asyraf nampak tangan Anas lepas itu terus hilang.” Kongsinya mengenang kembali detik cemas yang dilalui sebelum ini.
Akui ibu ini, Sofiah Mohd Teridi, 32, kejadian yang menimpa anak bongsunya, adalah sesuatu di luar dugaannya. Dia redha dan menganggapnya satu kemalangan.
“Saya dah larang mereka bermain di bawah (luar rumah), namun perkara sudah berlaku.”
Waktu kejadian itu, dua anaknya itu tak bersekolah kerana kurang sihat. Ketika itu dia berada di rumah dengan suaminya, Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa, 32.
Sebaik terdengar jeritan dua orang anaknya meminta tolong, hatinya dah mula rasa tak sedap. Langkahnya bertambah longlai bila melihat selipar anak bongsunya terapung dalam lubang berkenaan.
Dia masih tak dapat melupakan, malam sebelum kejadian, anak bongsunya itu minta dipeluk ketika tidur. Dan pagi-pagi hari seawal 7.30 pagi arwah anaknya dah minta makan nasi.
“Selalunya jam 9 ke 10 pagi dia minta makan nasi. Hari itu dia makan dengan selera.” Ibu ini juga sedar yang sejak seminggu lalu anak bongsunya itu menjadi sangat manja.
“Berulang kali dia cakap ‘Anas sayang mama’ sambil cium saya. Bila saya kata sayangkan dia, dia terus senyum.”
Sampai saat ini, adik beradik ini masih terkenangkan arwah adik bongsu mereka. Malah merindui kehadiran adik kecil mereka itu.
Tentunya anak-anak ini, Mohamad Syafiq Ahmad Hafiz, 10, Muhamad Syakir Zufairi, 7, dan Muhamad Asyraf, 6 masih trauma dengan kejadian yang menimpa adik, dan maklumkan takkan lagi bermain di kawasan tragedi.
Sementara ibu mereka, masih lagi dalam keadaan terkejut, namun redha dengan ujian yang menimpa keluarga mereka.
Maklumnya, ketika anak bongsunya terjatuh dia tiada di tempat kejadian. Jadi, dia tak pasti sama ada lubang itu sememangnya ditutup atau sebaliknya.
Keluarga ini baru sebulan berpindah di kuarters berkenaan. Tidaklah mereka arif dengan keadaan di kawasan kuarters tersebut.
Maklum Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz kepada Harian Metro, melalui siasatan yang dibuat penutup lubang itu dari jenis yang boleh dibuka. Dari hasil pemantauan sebelum ini mendapati ia sentiasa tertutup.
“Lubang itu bertutup dan ia dipercayai dialihkan oleh kumpulan kanak-kanak petang semalam yang bermain di kawasan berkenaan, jadi lubang itu bukan dibiarkan tanpa ditutup
.“Siasatan mendapati lubang itu tidak ditutup sejak petang semalam dan ia adalah satu kemalangan,” katanya.
Mengimbas tragedi yang berlaku semalam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh telah menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan bagi memudahkan mayat mangsa dikeluarkan dari lubang kumbahan itu.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.36 pagi.
Kata ibu ini, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama warga PDRM Ipoh yang membantu mereka.
MW : Al Fatihah untuk allahyarham Muhamad Anas Hadif. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Sumber/Foto : Harian Metro