Ini Respon ‘Win’ Syed Saddiq Berbalas Tweet Dengan KJ, Setelah Dilantik Menteri Belia dan Sukan

Share

Teka teki pengumuman senarai jemaah menteri yang mengetuai kepimpinan kabinet akhirnya terjawab apabila seramai 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini.

Namun perkara yang mencuri tumpuan ramai  ialah ucapan tahniah dan harapan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru dilantik dan kini memegang portfolio tersebut didalam akaun twitter beliau.

Meskipun kini bergelar pembangkang Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau, mengucapkan tahniah atas perlantikan Syed Saddiq serta mengharapkan Kementerian Belia Dan Sukan dapat memperoleh kejayaan dan lebih cemerlang dibawah pimpinan beliau.

Ini pula balasan tweet oleh Ahli Parlimen Muar kepada status tersebut.Memang Win!

“Saya banyak tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Mari kita terus berkerjasama untuk mengangkat dan memartabatkan suara anak muda tidak kira agama, bangsa atau fahaman politik.Setiap orang, ada tempat dalam membina semula Malaysia kita yang tercinta.”

Beginilah yang kita mahukan.Meskipun berbeza fahaman politik, namun tetap boleh bersatu, sama-sama menyumbang demi kepentingan rakyat.

Perlantikan Syed Saddiq Abdul Rahman, 25, mencatatkan rekod baru dalam legasi kepemimpinan muda dan menempa sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu diterajui Pakatan Harapan (PH).

Perlantikan 13 Menteri Dan 23 Timbalan Menteri

Terdahulu, istiadat perlantikan jemaah menteri yang berlangsung di Balairong Seri itu turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.Susulan 13 menteri yang mengangkat sumpah hari ini menjadikan keseluruhan 26 menteri dalam Kabinet Dr Mahathir, 13 menteri terdahulu sudah mengangkat sumpah pada 21 Mei lepas.

Istiadat yang bermula 11 pagi itu didahului dengan kumpulan pertama Jemaah menteri yang diketuai Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sejurus penerimaan surat cara pelantikan, Syed Saddiq melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mewakili Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa. Istiadat angkat sumpah hari ini diakhiri oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Kesemua mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Richard dan Ali. Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada 10 Mei lalu, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional (BN).Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, kemudian mengangkat sumpah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet pada 21 Mei lalu.

Upacara mengangkat sumpah hari ini pula menyaksikan pelantikan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri. Berikut adalah senarai mereka yang mengangkat sumpah hari ini:

MENTERI

1. Menteri Luar
Saifuddin Abdullah

2. Menteri Pembangunan Usahawan
Mohd Redzuan Md Yusof

3. Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
Dr Xavier Jayakumar

4. Menteri Belia dan Sukan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

5. Menteri Kerja Raya
Baru Bian

6. Menteri Industri Utama
Teresa Kok

7. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Saifuddin Nasution Ismail

8. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)
Dr Mujahid Yusof Rawa

9. Menteri Wilayah
Khalid Abdul Samad

10. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang)
Liew Vui Keong

11. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Ignatius Darell Leiking

12. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Mohamaddin Ketapi

13. Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar
Yeo Bee Yin

TIMBALAN MENTERI

1.Timbalan Menteri Wilayah
Datuk Dr Shahruddin Md Salleh

2. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial)
Dr Md Farid Rafik

3. Timbalan Menteri Kewangan
Amiruddin Hamzah

4. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia
Eddin Syazlee Shith

5. Timbalan Menteri Industri Utama
Shamsul Iskandar Md Akin

6. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Sim Tze Tzin

7. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar
R. Sivarasa dilantik

8. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)
Fuziah Salleh

9. Timbalan Menteri Kesihatan
Dr Lee Boon Chye dilantik

10. Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Muhammad Bakhtiar Wan Chik

11.Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Chong Chieng Jen

12. Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

13.Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Hannah Yeoh

14. Timbalan Menteri Pendidikan
Teo Nie Ching

15. Timbalan Menteri Belia dan Sukan
Steven Sim

16. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Dr Ong Kian Ming

17. Timbalan Menteri Sumber Manusia
Mahfuz Omar

18. Timbalan Menteri Kerja Raya
Mohd Anuar Mohd Tahir

19.Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan
Dr Mohd Hatta Md Ramli

20.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)
Mohamed Hanipa Maidin

21. Timbalan Menteri Pengangkutan
Datuk Kamarudin Jaffar

22. Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Aziz Jamman

23. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar
Isnaraissah Munirah Majlis

Mingguan wanita mengucapkan tahniah atas barisan kepimpinan menteri kabinet yang dilantik. Semoga dapat menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan bersedia berkhidmat untuk rakyat demi agama, bangsa dan negara.

Sumber: twitter Syed Saddiq & Khairy Jamaluddin, Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab