Ini Rahsia Kuih Tepung Talam Gula Merah Merecik Sedap ‘Serap Lebihan Air Dengan Tuala Good Morning’

Share

Mak-mak pernah makan tak kuih tepung talam yang rasa santannya pekat melekat, gula merahnya sesedap rasa. Lembut tepung talam tu mengalir laju saja di dalam mulut.

Cerita kuih tepung talam merecik sedap ni bila mana, kenalan pejabat membawa kuih tepung talam gula merah dari air tangan ‘Tok’ kesayangan di Kedah. Ya ampun, memang sedap sungguh. Rugi amat kalau tak dikongsi cara pembuatannya dengan pembaca Mingguan Wanita.

Tanpa rasa malu-malu, penulis terus saja menghubungi ‘Tok’ Kedah minta resipi rahsia yang memang anda takkan jumpa kat mana-mana. Alhamdulillah, ‘Tok’ murah hati berkongsi resipi. Baca satu persatu panduannya supaya anda boleh tahu macam mana sehelai tuala ‘good morning; boleh jadi rahsia sedapkan kuih ini.

Resepi Kuih Tepung Talam Gula Merah Air Tangan Tok

Bahan-bahan:

Lapisan Bawah

11/2 cawan tepung beras cap bunga

1/4 cawan tepung jagung

1/4 cawang tepung gandum

2 cawan gula putih

1/2 cawan gula merah

5 cawan air (direndam seketika dalam kapur)

Lapisan Atas

2 cawan santan

3 cawan air

2 cawan tepung beras

Sedikit garam

Cara Buat Lapisan Bawah:

  1. Satukan tepung beras, tepung jagung dan tepung gandum.
  2. Untuk dapatkan air kapur: Tuang 5 cawan air dalam bekas kapur makan. Tunggu sampai mendap, dah jernih baru ambil airnya. Pastikan masa ambil air tak keruh. Sebab air keruh akan buatkan kuih jadi pahit.
  3. Satukan gula putih dan gula merah. Kacau bagi larut.
  4. Masukkanlah adunan tepung perlahan-lahan dan kacau rata.
  5. Tapis adunan ini dan masukkan dalam loyang pengukus.

Cara Buat Lapisan Atas

  1. Satukan santan, tepung beras dan sedikit garam. (ikut cita rasa, kalau nak masin, buhlah lebih).
  2. Nota Kaki: Jika mahu lapisan atas ini lebih tebal, boleh lebihkan santan atau tepung. Ikut kehendak anda bagaimana.
  3. Kacau bagi rata dan tapis dengan penapis yang sesuai.

Atas Dapur Pengukus

  1. Masukkan adunan tadi dalam periuk loyang periuk pengukus.
  2. Kacau sekejap, sebab tak nak bagi mendap. Bila dah beku sikit baru tutup pengukus.
  3. Tunggu sampai masak. Nak tahu dah masak ke belum, ambil garpu cucuk, kalau dah tak melekat, masaklah maknanya tu.
  4. Kalau ikut anggaran masa dalam 15 ke 20 minit.

Guna Tuala ‘Good Morning’ Serap Lebihan Air

  1. Ambil tuala ‘good morning’ basahkan dan perah. Biarkan ia lembap tapi jangan basah lencun tau.
  2. Buka tutup pengukus dan letakkan tuala lembap tadi atas kuih. Biarkan tuala ‘good morning’ tu serap lebihan air dari kuih tadi.
  3. Nota Kaki: Air yang berlebihan nilah punca tepung tak lekat dengan santan. Tak naklah nanti masa kita potong badan ke lain, kepala ke lain.
  4. Bila dah kering, barulah tuang lapisan atas iaitu adunan tepung dengan santan tadi.
  5. Tutup penutup dan tunggu sampai lapisan atas pejal.
  6. Masak guna api sederhana boleh, api kuat pun boleh. Jangan sampai terbakar sudahlah ya!

Inovasikan Kuih Tepung Talam Gula Merah

Masukkan kuih tepung talam gula merah ni dalam bekas besar dan makan saja guna sudu. Tak perlu nak potong-potong. Nanti dapatlah nikmat rasa seakan ‘cake in a jar’.

Sumber: Tok Kedah

 

Published by
Netty Ah Hiyer