Wanita sememangnya insan yang istimewa. Tak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Rutin harian yang sangat sibuk, segala penat dan lelah hanya dipendam sendiri demi memastikan keluarga terurus sempurna. Adakalanya pengorbanan besar ini, tidak dihargai oleh suami sendiri dan mengakibatkan ramai wanita mudah stress sehingga tahap hadapi kemurungan!
Sedih dan cuma mampu berdoa kasihan pada wanita yang diuji.
Baru ini saya ceramah pada sekumpulan wanita yang mengalami tekanan dan stress dan sehingga sampai tahap kemurungan. Ramai yang menangis bila saya kata Allah sayang. Saya minta mereka ramai-ramai ulang sebut “Allah sayang saya. Allah sayang saya.” Mereka semua menangis sambil ucap perkataan itu. Mereka menangis makin kuat.
Orang tanya saya kenapa wanita ini stress. Jawapannya, mereka juga manusia. Cuba kenang sekejap. Undang-undang dibuat supaya semua waktu kerja ada waktu. Siapa majikan tak ikut diambil tindakan. Mesti ada waktu rehat. Untuk bibik pun kerajaan dah buat jadual mereka mesti ada rehat. Buruh di kilang dan ladang juga ada waktu. Seorang isteri ada jadual rehat tak? Hampir semua tiada rehat. Ya Allah. 24jam sehari. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Kerja meleraikan anak menjerit bergaduh menangis. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Masa nak mandi pun takde. Anak menjerit ketuk pintu. Masa bila nak makan. Masa bila nak tidur. Masa bila nak mandi. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..“saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Seorang lelaki yang ingin kebaikan, bahagia dan kejayaan dalam hidupnya berusahalah gembirakan 2 orang ini. Isteri dan ibumu. Lihatlah bagaimana Allah akan bahagia dan kebaikan dalam hidupmu.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang.
Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bibik. Bukan cleaner. Bukan pekerja kita. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah
Harapan saya nak cadang supaya setiap rumahtangga suami isteri dihantar kursus kekeluargaan 3 bulan sekali. Organisasi dan kerajaan sepatutnya hantar setiap staf bawa pasangan belajar ilmu rumahtangga. Suburkan cinta dan sayang dengan sunnah Nabi saw. Buat isteri yang mengadu ada masalah keluarga di pejabat agama. Terus hantar suaminya bawa belajar iman di masjid supaya lebih menghargai isteri dan belajar bimbing isteri dan agama. Sedih sebab bila ada masalah bertahun-tahun wanita itu derita sampai jadi murung. Jadi takut suami. Trauma. Sakit. Disiksa zahir batin. Bantulah ya Allah. Permudahkanlah dan berilah jalan keluar buat wanita-wanita ini.-
Benarlah mafhum sabdaan Nabi saw, orang yang paling baik ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Nabi saw ialah orang yang paling baik terhadap isterinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Ceduklah pengajaran daripada perkongsian ini. Semoga para wanita terus kuat dan cekal menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Nasihat buat para suami pula, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri.Bantulah para isteri serba sedikit urusan rumahtangga dan jangan biarkan isteri uruskan semuanya hingga boleh menyebabkan dirinya stress dan alami kemurungan.
Sumber: Ebit Lew
Makluman: Artikel yang diterbitkan ini telah mendapat keizinan daripada penulis asal.