Kejadian postpartum depression atau gila meroyan ini bukan kejadian baru. Bila dengar berita ibu kelar leher anak umur 2 tahun, Allahu.. macam tersentak-sentak rasa hati ini. Setiap tahun ada saja kes sebegini berlaku. Tahun-tahun sebelumnya juga ada kes yang hampir sama. Nampaknya orang Malaysia ini masih ada lagi yang ambil lewa pentingnya tempoh berpantang untuk ibu selepas bersalin.
Baik suami mahupun orang terdekat kena ambil peduli. Sebab andai masih beralasan ‘Tak mengapa’ ‘isteri masih boleh handle lagi’ ‘dia ok tu nanti’, semua ini akan memudaratkan emosi ibu lepas bersalin. Sayunya ada isteri yang perlu bertahan dengan penyakitnya sampai bertahun-tahun lamanya. Tanpa suami sendiri sedari perubahan emosi yang isteri alami.
Terpanggil dengan kejadian yang berlaku, Puan Siti Zubaidah, yang ketika ini dalam pengajian peringkat PhD Pharmacology/Phsiology di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan panduan dan cara terbaik yang bukan saja ibu-ibu lepas bersalin boleh guna pakai, malah suami dan orang terdekat perlu hadam agar kejadian seumpama tidak berulang.
Berita ibu kelar leher anak umur dua tahun hari ni cukup memedihkan hati.
Yang paling menyentuh hati, si ibu tu sama umur dengan saya, 31 tahun.
Mungkin apa yang saya tulis ini tak sedap dibaca di tengah kemeriahan hari raya macam ni.
Tapi saya rasa terpanggil juga untuk menulis juga. Menulis tentang realiti.
Rentetan bebanan menjaga keluarga yang terpikul di bahu seorang diri, ramai ibu-ibu muda yang mengalami stress, distress, kemurungan, halusinasi, depresi, postpartum depression atau sebut saja lah perkataan gila meroyan.
Gila meroyan bukan sahaja melanda ibu yang baru melahirkan atau ibu yang sedang berpantang, tapi ia boleh menyerang semua ibu-ibu selagi ibu tersebut mempunyai anak yang kecil-kecil dalam jagaannya.
Gila meroyan merupakan satu penyakit yang dipandang ringan dan disisihkan dalam masyarakat. Ibu-ibu yang menderita penyakit gila meroyan hampir ke semuanya tidak pernah mendapat rawatan sepatutnya. Jika ada pun, mungkin sudah terlewat.
Saya fikir, mungkin tiga faktor ini puncanya:
1. Ibu itu sendiri rasa malu nak dapatkan rawatan. Suami pula ambil ringan, cakap semua tu akan hilang.
2. Mak ayah adik beradik pula mungkin tak sangat nak pandang sebab mereka cakap tak nak campur urusan kelamin orang. Lagi pun mereka tak menerima apa-apa aduan. Jadi mereka diam.
3. Mak ayah mertua ipar duai lagi lah tak ambil bilang, sebab mereka kata tak ada kaitan kenapa nak sibuk ambil tahu hal rumah tangga orang. Nak bertanya pun segan, jauh sekali nak menyelesaikan.
Tu yang saya fikir. Mungkin juga fikiran saya salah.
Masalahnya sekarang, gila meroyan ni hampir wujud pada setiap ibu muda yang mempunyai anak kecil. Dah macam virus berbisa, menyerang semua perempuan muda yang melahirkan atau yang sedang menjaga anak-anak yang masih kecil.
Sebelum ini, saya ada berinteraksi dengan ibu-ibu muda seperti ini di kelab ibu hamil di Fb. Masa tu timbul satu posting tentang seorang ibu yang meminta tips bagaimana nak berubat sakit meroyan.
Rentetan dari posting itu, saya dapati ada beratus-ratus komen dari ibu-ibu muda yang lain yang mula berkongsi bahawa mereka juga ada sakit gila meroyan.
Boleh baca di gambar screen shot yang saya telah tutup nama mereka. Ada antara mereka yang suami mereka tolong, tapi ada juga yang suami yang tak faham pun. Dan ada juga bernasib baik mendapat bantuan daripada ahli keluarga.
Yang paling jelas tentang masalah ni adalah tiga isu utama:
1. Si ibu itu sendiri tidak tahu yang dia sedang meroyan.
2. Si ibu itu sendiri tahu yang dia meroyan, tapi tak tahu cara nak dapatkan rawatan.
3. Suami pula tidak tahu menahu. Tak tahu isteri sedang “sakit meroyan”, dan tak tahu cara nak dapatkan rawatan dan bantuan.
Zaman sekarang dah tiada alasan dah untuk cakap “TAK TAHU”.
Facebook ada, google pun ada. Ada berlambak posting pasal cara nak kenal simptom meroyan, dan cara nak dapatkan rawatan. Cuba baca.
Tapi menggoogle itu bukanlah cara nak merawat.
Lepas dapat maklumat sikit-sikit dari pembacaan, hubungilah seseorang yang boleh diharapkan untuk membantu.
Ini saya bagi senarai nama orang yang patut dihubungi:
1. Suami – berterus terang baik-baik pada waktu suami sedang berehat atau waktu berbaring di sebelah suami waktu malam. Dalam keadaan tenang macam tu mengadulah pada suami. Cakap kat suami, kesianlah kat anak. Minta suami bantu carikan rawatan dan bantuan. Jangan sesekali mengadu waktu suami sedang letih atau baru balik kerja. Masa tu telinga dan hati suami “tak mendengar”. Lagi sakit hati si ibu lagi ada. Makin parah pulak meroyan jadinya.
2. Ibu kandung – call dan beritahu minta tolong jagakan anak dulu buat sementara waktu. Dalam pada tu boleh ajak suami pergi jumpa doktor di klinik kesihatan atau klinik sakit puan swasta jika berkemampuan.
3. Kalau tak ada ibu kandung, call kakak atau sahabat perempuan yang paling dipercayai.
4. Kalau semua di atas tak boleh bantu, cuba hubungi jururawat yang pernah datang melawat di rumah sewaktu ibu baru melahirkan bayi. Jururawat tersebut mungkin akan meminta ibu untuk datang sendiri ke klinik untuk mengambil tarikh temujanji untuk berjumpa doktor.
√ Kalau di klinik kerajaan, ibu akan diaturkan untuk berjumpa doktor biasa atau doktor sakit puan dahulu. Kemudian barulah doktor tersebut akan merujuk kepada doktor pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.
Lebih kurang macam tu lah prosedurnya. Mungkin ambil masa berminggu jugak nak tunggu jumpa doktor pakar psikiatri tu.
√ Dalam proses nak tunggu jumpa doktor tu, suami buatlah solat hajat, atau bawa isteri dapatkan rawatan cara Islam.
Dalam tempoh ini memang isteri sangat perlukan bantuan suami. Suasana mungkin agak celaru dan haru biru dengan keadaan anak-anak kecil yang “tiada ibu” dan si ayah yang perlu juga keluar bekerja.
√ Nenek dan atuk mereka mungkin tak boleh lelama sangat jaga cucu-cucu kecil yang aktif kan. Kalau boleh waktu ni carilah pengasuh sementara untuk tolong jagakan anak-anak.
√ Manakala mana-mana sahabat, kawan Fb, orang luar, dan makcik makcik bawang yang dapat tahu si ibu tu sedang dapatkan rawatan meroyan, jangan hina, jangan sindir, jangan buat ulasan tak bertauliah, jangan.
√ Tapi bersosial lah macam biasa dengan si ibu tadi. Mungkin si ibu tadi tak bersedia nak terima tetamu di rumahnya, jadi jangan sesuka hati pergi ziarah dia. Kalau nak pergi ziarah juga, bagitahu si ibu tu dulu, dan pastikan dia sudi terima tetamu, baru datang ke rumah dia.
√ Manakala di Fb, si ibu tu juga nak bersosial di Fb, nak post gambar baby, nak share resepi, jadi kawan-kawan Fb berilah support. Beri komen-komen positif.
√ Dan si ibu tu sendiri perlu ingat, jangan “meroyan” di Fb. Kalau rasa tak kuat nak layan macam-macam ragam di Fb, baik jangan main Fb terus. Uninstall Fb.
Kadang-kadang, bila tengok gambar kawan-kawan post gambar bahagia bersama pasangan pun, si ibu tadi boleh naik dengki dan meroyan juga.
√ Apa yang paling penting adalah hubungan dengan ahli keluarga kena sentiasa rapat. Selalu lah balik kampung jumpa mak atau adik beradik. Kalau tak dapat balik, sembang melalui wasap pun ok. Bila kita banyak bersembang kosong dan bergurau dengan mereka, gundah dan depression yang ada dalam hati kita akan hilang.
√ Selain tu, cuba lah amal telan vitamin penenang, dan vitamin anti-stress seperti Ostematrix dan B Complex. Ia sangat membantu mengurangkan keletihan ibu, membantu tidur yang sangat lena dan menenangkan kecelaruan emosi ibu.
√ Dalam pada itu, jangan pernah tinggal baca surah Yassin setiap malam atau setiap kali lepas solat subuh sambil doa minta Allah sembuhkan penyakit meroyan tu. Surah Yassin ni “hati” Al Quran, in sha Allah boleh rawat hati kita. Ni pesan sahabat saya sebenarnya.
Ok tu saja Zu nak tulis. Harap bermanfaat.
Sumber/Foto : Siti Zubaidah