Ini Alasannya Bermula 1 Januari 2019, Waktu Operasi UTC Ditutup Lebih Awal!

Share

Pengumuman yang agak mengejutkan dan meresahkan orang ramai apabila bermula 1 Januari 2019, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 petang, berbanding sehingga 10 malam ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat edaran yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, bertarikh 12 Disember 2018. Surat itu turut menyatakan bahawa UTC beroperasi setiap hari kecuali cuti umum Persekutuan/ negeri dan tiada waktu rehat bagi UTC kecuali pada hari Jumaat.

Dua Faktor Pengurangan Waktu Operasi

Melalui surat itu, Ahmad Badri memaklumkan, pengurangan waktu operasi selama tiga jam dibuat atas dua faktor iaitu kehadiran pelanggan hanya 11 peratus selepas jam 7 malam dan memastikan perbelanjaan kerajaan cekap bagi UTC iaitu menyampaikan perkhidmatan tanpa pembaziran waktu serta tenaga.

“Melalui pengurangan waktu operasi UTC ini, diharapkan isu kekangan perjawatan dan peruntukan belanja operasi khususnya pembayaran bil utiliti dan bayaran kerja lebih masa dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau juga meminta semua kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan, agensi dan pengurusan UTC yang terbabit supaya membuat hebahan pertukaran waktu operasi UTC kepada orang awam menggunakan saluran media masing-masing.

Ahmad Badri memaklumkan, kerajaan komited dalam memastikan rakyat dapat terus menikmati perkhidmatan yang disediakan di UTC, justeru pengurangan waktu operasi itu tidak seharusnya mengganggu penyampaian perkhidmatan di situ.

“Semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, badan berkanun dan agensi swasta yang beroperasi di UTC hendaklah mematuhi waktu operasi ini dalam memastikan hasrat itu dapat dicapai,” katanya.

Surat yang diedarkan kepada semua Ketua Setiausaha kementerian, Ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengurus UTC seluruh negara dipercayai viral di laman sosial semalam.

Pusat Sehenti Pelbagai Perkhidmatan

UTC diperkenalkan pada 2012 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bertujuan menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan. Sebanyak 21 UTC beroperasi di seluruh negara.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam akaun Facebooknya berkata, tindakan mengurangkan waktu operasi UTC itu menyusahkan rakyat untuk berurusan dengan kerajaan.

Katanya, UTC dibuka jam 10 malam di bawah pentadbirannya sebelum ini kerana menyedari ramai yang bekerja kadangkala tidak dapat pengecualian daripada majikan untuk urusan peribadi.

“Tanya sedikit, berapa ramai di sini pernah guna perkhidmatan UTC? Nak buat kad pengenalan senang, nak buat passport baharu boleh.

“Ya, kamilah yang mengilhamkan UTC, menawarkan pelbagai perkhidmatan penting dan diperlukan rakyat di satu hab atau pusat sahaja. Dari awal pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Beribu orang berurusan di UTC setiap hari terutama di luar waktu kerja. Kini, waktu operasi UTC akan tamat pada jam 7 petang mulai 1 Januari 2019.

“Baguslah. Dari memberi kesenangan kepada rakyat, kini menyusahkan rakyat untuk berurusan dengan kerajaan. Baik tutup saja UTC,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, menerusi Twitternya menyifatkan keputusan itu adalah sesuatu yang tidak bijak.

“Kalau betul, ini keputusan yang tidak bijak. UTC antara lain ditubuhkan untuk memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan kerajaan di luar waktu pejabat,” katanya.

Sementara itu, sumber Kementerian Kewangan mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

MW: Semoga perubahan waktu operasi di UTC ini dapat  ditangguhkan dan dipertimbangkan semula. Ia bagi memberi kemudahan pada orang ramai terutamanya buat golongan bekerja melakukan urusan selepas waktu pejabat.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab