Susah hati kan mak ayah bila ada anak-anak yang cakap kasar. Ada itu, mak ayah bukan jenis cakap kasar pun, tapi entah dari manalah anak mendapat ayat-ayat yang boleh buat jantung mak ayah jadi sentap.
Terkejut pun iya, bila mana anak-anak kecil kita mengeluarkan kata-kata yang kasar bunyinya. Sakit telinga mendengar. Anak-anak kecil ini sifatnya mudah terpengaruh, mengikut apa yang diperhatikan di sekelilingnya.
Barangkali pemerhatian dari TV, Internet mahupun kawan-kawan seusianya yang ada habit cakap kasar. Macam mana nak bagi anak faham tutur katanya itu tingkah laku yang negatif malah kesannya menyakitkan perasaan orang lain.
Fahamkan panduan yang dikongsikan Puan Wan Rohani Ismail buat mak ayah. Apabila berhadapan situasi sebegini, lenturkan kata-kata kasar anak-anak dengan cara terbaik ini.
Hanya beri perhatian dan respons pada tingkah laku yang baik/positif.
Sekiranya anak berkata kasar ketika sedang marah, biarkan sahaja dahulu. Menasihati orang yang sedang marah ibarat mencurah air ke daun keladi.
Gunakan waktu anak dalam keadaan seronok, gembira, tenang. Waktu begini anak mudah dipengaruhi.
Ikut apa yang Rasulullah (selawatlah ke atas baginda). Sentiasa membalas kebaikan walaupun dilempar dengan keburukan. Cerita bagaimana Rasulullah memberi makan wanita tua yang selalu bercakap buruk dan kasar tentang Nabi.
Dalam Al Quran, antara perkataan yang banyak kali diulang adalah ‘muhsinin’ iaitu orang yang membuat kebaikan. Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan. Ganjaran pahala dan syurga. Sentiasa ingatkan anak dan diri sendiri.
Awasi kata-kata yang keluar daripada mulut ibu bapa. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus.
Sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak. Antara doa yang boleh diamalkan adalah:
“Ya Allah, jauhkan kebatilan yang ada di sekeliling anakku (sebutkan nama anak)”
“Ya Allah, lindungi dan pelihara kami dari hasutan syaitan yang sentiasa menyesatkan.”
Didik anak supaya sentiasa membuat penilaian sendiri ke atas setiap perbuatan, kata-kata dan apa yang mereka mahu lakukan. Ini berkaitan kawalan diri dan emosi.
Orang yang tenang sentiasa menang.
Sumber/Foto : Wan Rohani Ismail