Pastinya tiada seorang pun yang inginkan perceraian berlaku dalam ikatan perkahwinan yang dibina. Namun andai jodoh tidak berpanjangan dan ini adalah sebaik-baik jalan penyelesaian, sebenarnya ada 7 hak yang seseorang wanita boleh tuntut di Mahkamah selepas berlakunya perceraian.
ini kerana sungguhpun ikatan pernikahan putus akibat penceraian, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung antara satu sama lain. Matlamat ini bagi memastikan hak dan kepentingan bekas suami, bekas isteri dan anak dilindungi.
Nafkah Iddah adalah nafkah yang wajib disediakan kepada bekas isteri semasa dalam tempoh iddah talak raji’e. Mengikut hukum syarak, seorang isteri yang taat berhak mendapat nafkah daripada suaminya.
Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki sama ada suami atau lelaki lain yang tertentu seperti anaknya yang berkemampuan membayar nafkah kepada seseorang isteri.
Mutaah adalah satu bayaran sagu hati atau pemberian yang wajib ke atas suami diberi kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak. Kadar mut`ah boleh ditentukan menerusi persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut`ah itu.
Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil (di bawah umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak itu sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Nafkah anak adalah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.
Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.
Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal ketika dia dalam perkahwinan selama iddah. Suami adalah berkewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah untuk isterinya sama ada secara menyewa atau milik suami itu sendiri.Isteri juga boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah sekiranya suami tidak menyediakan keperluan tersebut.
Semoga bermanfaat, kongsikan ilmu syariah dan undang-undang ini buat wanita lain juga.
Sumber: Info Syariah