
Isi Kandungan
ToggleSebelum wanita tidur, eloklah melakukan adab-adab tidur dan jangan lupa selitkan amalan yang diajarkan Rasulullah untuk kaut ganjaran pahala dan kelebihan yang sangat besar jika buat.
Rasulullah SAW berpesan kepada Aisyah Ummul Mukminin (ra), isteri tercintanya:
“Wahai Aisyah, jangan engkau tidur sebelum melakukan EMPAT perkara ini, iaitu:
1.Sebelum mengkhatamkan Al-Qur’an.
2.Sebelum membuat para Nabi memberimu syafaat di Hari Akhirat.
3.Sebelum para Muslim meredhaimu.
4.Sebelum kau laksanakan Ibadah Haji dan Umrah.
Aisyah pun, bertanya kepada Rasullah SAW:
“Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara ini, seketika?”
Rasullah SAW tersenyum dan bersabda: “Sebelum engkau tidur (lakukan ini):
1. “Jika engkau akan tidur , membacalah Surah al –Ikhlas tiga kali. Seakan-akan engkau telah mengkhatamkan Al-Quran.
2. “Bacalah selawat untukku dan untuk para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberimu syafaat di hari kiamat “
3. “Beristighfarlah” untuk para mukminin maka mereka akan meredhai kamu.
4. Dan perbanyaklah “bertasbih, bertahmid , bertahlil dan bertakbir” maka seakan-akan engkau telah melaksanakan ibadah haji dan umrah.
“Subhanallaahi Walhamdulillaahi Walaailaaha Illallaahu Allaahu Akbar ( 3x ).
Semoga kita bersama-sama dapat mengamalkan 4 perkara ini dan memperolehi ganjaran pahala yang dijanjikan.

Semoga bermanfaat!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Merungut Dapat ANAK LELAKI Berderet, Sebab Merekalah Keluarga Jadi Kuat

Isi Kandungan
ToggleSetiap pasangan yang berkahwin, sudah tentu inginkan cahaya mata. Kalau boleh, ada anak lelaki dan perempuan. Bahagianya. Namun, tidak semua yang kita inginkan itu dapat. Setiap kali lahirkan anak, jantina anak sama sahaja. Baik lelaki berderet atau pun perempuan sahaja.
Mungkin itu rezeki yang dia telah tentukan. Semua lelaki atau semuanya perempuan, itu adalah rezeki. Bersyukur kerana diberi zuriat. Sedangkan ada yang kahwin berpuluh tahun, belum lagi dikurniakan anak. Jadi, usahlah merungut sebab setiap anak itu ada rezeki dan Dia lebih mengetahui segalanya.
Perkongsian daripada Mohd Fadli Salleh, mampu menenangkan pasangan suami isteri yang dikurniakan anak lelaki berderet atau perempuan berderet. Bersyukurlah.
Berderet Anak Lelaki – Keluarga Jadi Kuat
“Bang. Lelaki lagi,” ujar puan isteri sedikit kesedihan.
“Tak apa lah. Lelaki pun anak juga,” balasku.
“Tapi saya tak dapat beri anak perempuan kat abang. Tak apa ke?” balas puan isteri makin sayu.
Aku pandang matanya. Genggam erat tangannya. Tangan yang aku kahwini 11 tahun lepas itu hangat terasa. Lalu aku berkata,
“Anak ni rezeki Tuhan. Kita tak perlu merungut walau lelaki semua. Orang lain berapa ramai berdoa agar ada anak. Ramai juga yang berdoa agar dapat jodoh.
Lagi pun anak-anak lelaki ni, buatkan keluarga kita kuat. Awak keluar nanti, penuh bodyguard iring. Jenazah kita nanti tak perlu orang lain pikul. Setiap penjuru, anak-anak kita”.
“Tapi bang. Kalau abang…” kata-katanya terhenti.
Aku gelengkan kepala tanda tak nak dia teruskan berkata-kata. Aku tahu ayat seterusnya.
Ayat gurauan ramai kawan-kawan selalu berkata,
“Agaknya ‘kilang’ ini produce lelaki sahaja. Kena cari ‘kilang’ lain kot baru boleh produce perempuan”.
Itu ayat gurauan. Sedikit pun aku tak terkesan.
Tak Perlu Ambil Risiko
Namun adakah jika kahwin lagi satu anak yang bakal dikandung itu 100% pasti perempuan? Tidak kan?
Bahkan kemungkinan nak mengandung pun belum tentu lagi. Habis kenapa nak ambil risiko cari yang lain?
Satu cukup. Cukup untuk menjaga aku dan anak-anak. Dua walau banyak belum tentu menjanjikan bahagia.
Bahkan jika ada yang berkata, jika kahwini dia pasti dapat anak perempuan pun akan aku tolak. Walau pasti.
Kahwin Lain Belum Tentu Dapat
Memang kalau boleh, kita nak anak biar berpasang. Biar ada lelaki, biar ada perempuan.
Namun apa salahnya kalau lelaki semua? Nanti cari la menantu perempuan pula. Lagi pun aku tak risau, aku dah ramai ‘anak-anak’ perempuan di sekolah nun.
Paling ditakuti bila kahwin dua tiga adalah keadilan. Adil ni tak nampak mata kasar. Bukan boleh timbang atas penyukat.
Sikit terlebih sana, sini terasa. Malaikat pula menulis. Ah, cari bala belaka.
Andai satu pun aku tak mampu nak jaga dengan sempurna, tak pernah aku mimpikan ada dua, ada tiga.
Walau kewangan itu mampu, walau nafkah zahir dan batin ada kemampuan, namun cukuplah.
Cukuplah satu pada aku.
Bukan Takut Isteri
Orang bergurau katanya takut bini. Salah tu.
Berkahwin satu bukan tanda takut bini. Ia tanda setia, tanda menghargai, tahu kemampuan diri dan ia tanda sedar, yang satu itu pun kita tak menjaga hati mereka 100%, apa lagi mahu tambah dua tiga.
Orang yang berminat nak tambah ramai, silakan. Jika rasa mampu zahir, mampu batin, dan mampu adil, silakan.
Tidaklah aku menolak poligami. Itu sunnah nabi saw. Mana mungkin kita menolak sunnah kekasih Allah.

Cuma aku sedar. Sunnah lain banyak lagi tak terikut. Nak ikut sunnah yang tak mampu nak pikul buat apa? Ikut sunnah ni dapat pahala sepatutnya.
Namun jika ikut sunnah tapi tidak adil, tidak mampu, menyakiti dan melukai antara satu sama lain, bukan dia. Bukan begitu caranya.
Milik Ibu
Anak semua lelaki? Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Semua milik ibunya. Kembali taat pada ibu walau sudah beristeri nanti.
Bakal mengusung jenazah kami. Bakal imamkan kami solat 5 waktu, solat terawih bahkan solat jenazah kami.
Ia merupakan kebanggaan kami. Ia bukan alasan untuk mencari lain agar dapat anak perempuan.
Isteri dan anak ini amanah Maha Besar dari Tuhan. Nak didik mereka agar menarik tangan kita ke syurga tidak mudah.
Yang sedia ada ini, perlu aku didik sebaik mungkin. Tidak ingin aku mencari lain.
Cukuplah satu bagiku. Cukuplah satu.
@The Arumi’s
#MFS
– Family man –
MW: Tak kisah anak lelaki atau anak perempuan, yang penting kita sebagai ibu dah ayah daapt menjaga dan membimbing mereka menjadi anak-anak yang soleh dan kebanggaan keluarga.
Sumber: Mohd Fadli Salleh
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Sampai Koyak Mental, Tengok Orang Lain Up Status Di Media Sosial

Isi Kandungan
ToggleIni nasihat yang sangat berguna untuk para pengguna media sosial terutama facebook. Sebab kita takkan mampu kawal apa yang orang lain mahu tulis di status media sosial masing-masing.
Tapi kita masih boleh kawal diri kita daripada terus rabak dan koyak mental. Depresi tengok dan baca status orang lain. Merasakan nasib diri tak sebahagia, seuntung mereka. Bila ada sifat mula membanding diri, itulah punca masalah terjadi.
Hadam nasihat Ammar Kamilin ini, kerana bila kita tak kawal kerisauan kita itulah, yang akhirnya mengganggu mental seterusnya merosakkan tingkah laku kita.
Mereka Yang Ada Masalah Cepat Membanding Diri Sila Hadamkan Ini
Ini penting dan saya perlu nyatakan ini dengan jelas.
Selepas beberapa tahun menggunakan Facebook, saya dapati, ia bukan tempat yang sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah ‘cepat membanding diri’.
Kita tidak dapat mengelak untuk membanding diri dengan sesiapa saja. Waima, adik beradik sedarah sedaging juga pasti akan terdetik mahu melihat lebih dan kurang sesama mereka.
Itu normal. Jika terdetik sedikit dan kemudian kembali rasional.
Yang tidak normal, apabila terdetik untuk membanding lalu timbul kerisauan bagaimana untuk mencapai sama tahap atau lebih dari apa yang dicapai atau dimiliki oleh orang lain.
Risau keterlaluan.
Anxiety.
Itulah yang semakin menekan kita sekarang. ‘Penyakit’ yang sebenarnya sakit, tetapi tidak dirasai kesakitannya.
Risau keterlaluan itu pula, lama kelamaan, membarah sebagai ‘depression’.
Saya perlu tekankan.
Bahaya Risau Sampai Depresi Baca Status Orang Lain
Bukan bermakna semua ‘depression’ datang dari risau melampau, tetapi ada yang mengalami ‘depression’ semata-mata runsing dan risau dengan setiap perkara yang dibanding-bandingkan.
Followers dia lebih ramai, datang risau.
Manchester City menang EPL.
Liverpool, tak menang-menang.
Datang risau.
Eh, jangan gelak!
Mungkin bukan kita. Tapi ada.
Mereka tidak salah juga, sudah itu obsesi mereka.
Lihat pula kita,
Anak jiran dapat ‘straight A’ s’.
Oh, risau! Anak kita nanti macam mana.
Anak buah hafal 30 juz. Huffaz.
Oh, macam mana anak kita.
Risau!
Kawan ofis dapat naik pangkat. Sama masuk kerja. Kerja pula tak seberapa. Tapi dia naik, kita tidak.
Oh, risaunya!
Abang kakak, bagi mak abah macam-macam. Dibeli rumah, dibeli kereta, dihadiah TV besar. Kita nak membeli tupperware pun, jenuh tunggu duit kutu giliran ke-12.
Parah!
Aduh, risau!
Banyak lagi risau.
Mana saja yang kita kalah,
Risaulah kita.
Tetapi, kalau risau sekali sekala, selepas itu, hilang semula, tak mengapa. Normal. Hati pun galau sekejap saja.
Facebook ini lain. Sedap-sedap skrol punya skrol terpandang status yang ‘trigger anxiety’ kita.
Kita takkan tahu dan ada masa tak sedar pun. Status tu mencalar hati kita. Masa mula tak rasa, tahu-tahu dah pedih saja.
Sekali dua, baik lagi.
Jika dah setiap hari diasak dan digasak, lama-lama, koyak juga mental. Itu datang bahaya.

Ini Nasihat Doktor Untuk Mereka Yang Ada Penyakit Ini
Cerita benar.
Seorang daripada ahli keluarga saya didiagnos ‘anxiety disorder’ hanya kerana tidak tertahan membanding-banding kenyataan daripada ahli politik Kerajaan atau pembangkang setiap hari di facebook.
Perang saraf parti politik hampir setiap hari akhirnya merosakkan mentalnya.
Nasihat doktor.
Berhenti membaca facebook.
Alhamdulillah, dia semakin baik dan pulih.
Pelik kan.
Jika mahu membanding, ada macam-macam perkara boleh dibanding. Bukan masalah kita pun, boleh dibanding.
Jika anda mula ada simptom ‘hish, macam mana dia boleh dapat macamni’ dan menghabiskan masa termenung lama memikirkannya, hati-hati. Sudah ada tanda, bermula kerunsingan.
Sekiranya anda mahu tahu bagaimana, teruskan bertanya dan ‘consult’ orang tersebut. Lakukan tindakan proaktif. Jangan bermain-main hanya di fikiran. Mental anda akan terganggu dan kesannya menjejaskan tingkahlaku.
Dapat sesuatu?
Ilmu bermanfaat.
Terus share.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin , MAKnificent
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Dengar Apa Anak Mahu, Bukan Paksa Apa Kita Mahu

Isi Kandungan
ToggleDalam memahami jiwa anak-anak remaja, kadangkala mak ayah jadi kalah. Seakan kita mahu mengalah lagi-lagi dengan anak yang kadangkala suka ‘buat kepala sendiri’.
Geram, retak hati bila mana anak-anak ada egonya sendiri. Tidak mahu ikut apa yang mak ayah sudah nampak jalan kebaikan untuknya di kemudian hari.
Merungkai persoalan ‘berontak jiwa remaja’, penulis Ammar Kamilin berkongsi catatan bagaimana seharusnya mak ayah mendepani anak-anak yang berjiwa begini.
Mak Ayah Mesti Betul
Selalu sangat soalan tentang anak remaja masuk ke dalam inbox di Facebook. Sejak saya mula menulis tentang parenting, kerap juga dihujani cerita demi cerita, anak yang ‘ignore’ apa saja yang dicakapkan oleh ibu bapa. Antara perkataan yang sering digunakan, ‘buat kepala sendiri’.
Sebenarnya, apabila masuk soalan yang agak berbentuk peribadi begitu, saya jarang memberikan respons. Kerana tidak wajar untuk menilai hanya bersandarkan kenyataan sebelah pihak. Terus melompat untuk menyalahkan remaja, satu kegopohan. Tidak selalunya remaja salah. Dan tak selalunya ibu bapa betul.
Tapi itulah, dalam kebanyakan cerita. Ibu bapa, MESTI BETUL.
Bapa Juga Boleh Bersalah
Sedangkan, ada satu peristiwa, seorang lelaki datang kepada Saidina Umar al-Khattab, mengadukan perihal anaknya yang derhaka. Malah ditempelak oleh Saidina Umar al-Khattab yang menjadi khalifah ketika itu dengan berkata, “Ternyata engkau dahulu derhaka kepadanya, sebelum dia derhaka kepadamu. Engkau dulu berbuat kejahatan pada dia, sebelum dia berbuat jahat kepadamu.”
Kisahnya panjang dan boleh dibaca dalam buku seperti Tarbiyatul Aulad. Namun ringkasnya, bapa itu derhaka kerana berkahwin dengan ibu dari kalangan Majusi (sembah api), tidak memberikan nama yang baik pada anak dan tidak mengajarkan al-Quran kepada anaknya.
Ternyata, seorang bapa juga boleh BERSALAH.
Ini kenyataan yang pahit ditelan, tetapi harus diterima.
Namun, tidak pula saya menafikan. Ada ibu bapa yang telah berusaha mendidik anak sebaik-baiknya. Cukup makan pakainya. Disekolahkan di sekolah agama. Diterapkan ta’lim di dalam rumah. Akhlak ibu bapa juga terpuji sehingga jiran dan rakan mengakuinya. Namun, masih diuji dengan tingkahlaku anak-anak yang meresahkan jiwa.
Itulah senario yang dihadapi nabi Nuh Alaihissalam. Bukan saja anak, malah isteri juga sangat kuat menentang ajarannya. Logik akal, bukankah baginda itu Nabi? Tak mungkin ada cacat cela sehingga anak dan isteri menolak nasihatnya.
Nampak kan? Itulah ujian Allah.
Tak sama.
Lain orang. Lain darjat. Lain pangkat. Lain lingkungan, lain ujiannya. Tiada siapa boleh mendabik dada.
Jadi, bagi yang rasa terbeban dengan karenah anak remaja, itu satu bentuk ujian Allah juga.
Jika kita sedar begitu, ‘Allah mahu menguji aku.’ Hati kita akan lebih redha dan mencari ruang untuk lebihkan syukur.
Berontak Jiwa Remaja
Semalam, bersama Bonda Nor dan Cikgu Muiez, di Page Bonda Nor (Stay Strong Media), kami berbincang tajuk ‘Berontak jiwa remaja’.
Berontak ini bermula apabila mereka nak sangat sesuatu, tetapi tak dapat! Itulah selalunya. Dan biasanya, kitalah yang menghalangnya.
Ada masa, memang kita lakukan itu untuk melindungi mereka. Kerana remaja, memang difahami tidak berfikir panjang. Terfikir saja, buat! Jadi apa-apa, belakang kira.
Ada juga ketika, yang dihalang itu, hanya disebabkan bukan kegemaran kita. Tak serasi dengan ‘preferences’ kita. Contohnya, anak remaja suka bersukan. Tetapi disebabkan tak nampak masa depan dalam sukan, kita halang mereka terlibat secara serius dalam apa-apa acara. Sedangkan, mungkin ada bakat yang terpendam belum diteroka. Mati begitu saja!
Tak pasal-pasal, memberontak juga.
Nak salah siapa?
Tiada Satu Formula Khusus
Kesimpulan saya, tiada satu formula khusus untuk menghentikan berontak jiwa remaja. Itu memang proses perkembangan mereka. Kerana kita juga pernah melaluinya. Tinggal saja, bagaimana sebagai ibu bapa, kita mampu mengawal emosi dan tindakan kita, untuk terus bersabar, redha dan istiqamah berada di samping mereka, sebagai cermin untuk mereka.
Formula untuk menghentikan berontak remaja, tiada! Tetapi saya gariskan beberapa panduan hasil perbincangan semalam, jika ibu bapa berhadapan situasi tersebut.
Pertama,
1. Syukur dengan kebaikan anak-anak.
Anak remaja kita tidaklah 24 jam memberontak. Pasti ada saat dan minit yang sekali sekala buat kita terdetik, ‘Eh, baik pula dia.’ Pasti ada. Jadi, syukur dulu dengan kebaikan itu. Insya-Allah, Allah akan tambahkan lagi kebaikan dalam diri mereka.
Cara syukur? Pujilah kebaikan itu di depan mereka. Walau tersipu muka toya, dalam hati mereka, berbunga-bunga.
Kedua,
2. Belajar mendengar apa yang mereka mahu, bukan memaksakan apa yang kita mahu.
Dalam cerita Cikgu Abdul Muiez Ruslee semalam, seorang murid boleh keluarkan ungkapan, “Hanya cikgu yang bertanya tentang kemahuan saya. Sedang orang lain tak ambil tahu.”
Kenyataan itu keluar selepas awalnya dia marah kerana ditanyakan mengapa tidak menyertai kelas ‘online’, tetapi reda apabila cikgu Muiez yang mengetahui minat pelajar yang mendalam untuk menjadi tentera, bercerita tentang bagaimana mencapai cita-citanya.

Allahu Akbar! Betapa kadang-kadang, orang dewasa sibuk memaksa. Sampai terlupa bertanya, apa keinginan mereka.
Ketiga,
3. Ajar mereka meletakkan diri dalam kasut orang lain.
Bonda Nor menitipkan panduan, sekiranya anak tak bersetuju dengan peraturan yang kita aturkan atau pendirian kita tentang sesuatu perkara, ajak mereka letakkan diri di tempat kita sebagai ibu bapa.
Nampak mudah. Tetapi ada kesannya.
Mereka akan lebih rasional, lebih memahami apabila mampu melihat apa sebenarnya yang menjadi kegusaran kita. Proses ini perlu diajar kepada mereka.
Keupayaan meletakkan diri dalam kasut orang lain, mampu meninggikan empati dalam diri mereka. Kita akan melihat, kematangan dalam karakter yang dibina.
Keempat,
4. Dalam kesalahan, kadangkala ada kebaikan. Nilai semula.
Ada masa, kesalahan yang mereka lakukan, tidak disengajakan atas niat baik yang spontan. Contohnya, mahu memasakkan sesuatu di dapur untuk kita, tetapi terpecahkan pinggan kesayangan. Niat dia baik, tetapi apa yang berlaku mungkin menyakitkan. Jika kita teremosi dan ikutkan kemarahan, itu juga menjadi punca pemberontakan.
Akhir sekali,
5. Seimbangkan antara memberi dan menolak.
Jika selalu sangat kita memberi, hanya sekali kita menolak, mereka akan memberontak.
Jika setiap kali diminta, kita terus menerus menolak, mereka akan juga memberontak.
Berilah apa yang sewajarnya, selagi untuk kebaikan. Tolaklah setegasnya, sedangkan itu boleh membawa keburukan.
Sentiasa seimbang. Ini juga akan membantu mereka belajar, membuat pertimbangan.
Parents,
Hidayah, milik Allah. Usaha, doa dan terus memberi peringatan. Dengan harapan, satu hari nanti, pintu hati mereka akan Allah buka untuk ‘melihat’ apa yang terhijab sebelumnya. Insya-Allah.
Baca sini : Sebelum anak lelaki jadi remaja, penting ajar 5 perkara ini.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin – #ParentThanks
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI