Jangan disangka jika perut kembung itu disebabkan oleh badan makin gemuk atau perut masuk angin, rupa-rupanya ia juga merupakan salah satu petanda menghidap Kanser Ovari. Penyakit kanser menyerang tidak mengenal usia, baik muda atau tua berisiko untuk menghidapinya, lebih-lebih lagi jika mempunyai sejarah keturunan keluarga dengan penyakit ini.
Thread gadis yang menggunakan nama Atirahhhruslan di laman Twitter ini membuatkan ramai netizen bersimpati dengan Kanser Ovari Stage 3 yang dihidapinya. Pada mulanya, perut kembung hanya disangkakan semakin gemuk dan masuk angain tapi rupa-rupanya menghidap penyakit yang sama sekali beliau tidak jangka.
Kejadian ini berlaku pada Mei 2017. Pada mulanya Atira menyedari perut semakin kembung dan keras serta sukar untuk bernafas terutamanya selepas makan. Beliau tidak mempedulikan perubahan tersebut dan hanya menganggap tubuhnya semakin gemuk dan masuk angin, sehingga lah beliau pulang ke kampung semasa cuti semester.
Setelah melakukan pemeriksaan di klinik, hasil ultrasound menunjukkan ada ketumbuhan yang agak besar di perut dan doktor mencadangkan untuk melakukan CT Scan dan pembedahan. Hasil pembedahan tersebut boleh mengakibatkan risiko usus dipotong, pendarahan banyak dan membawa maut.
Setelah menjalani pemeriksaan scan didapati Atira perlu menjalani pembedahan segera kerana menghidap Kanser Ovari Dysgerminoma tahap 3. Ketumbuhan tersebut membesar kira-kira 20 cm dan perlu dibuang segera untuk menghalang ianya semakin merebak seluruh badan. Setelah menjalani pembedahan, beliau perlu mengikuti kimoterapi sebanyak 6 kali.
Pembedahan dilakukan dan ovari sebelah kiri Atira terpaksa dibuang, doktor juga membuat keputusan untuk ‘stapler’ perut berbanding menjahitnya memandangkan umur beliau yang masih muda.
Atira menerima banyak kata-kata semangat agar terus kuat dan tabah menghadapi ujian ini,terutama daripada keluarga tersayang, ayah dan ibunya.
Banyak perubahan fizikal telah berlaku seperti badan kelihatan makin kurus, bulu kening mulai nipis dan rambut gugur. Terasa sudah putus asa dengan hidup sehingga tidak sanggup untuk melihat perubahan dirinya di depan cermin. Tetapi bagi Atira, dia perlu kelihatan kuat di depan ibu dan ayahnya.
Atira ada menasihatkan netizen untuk mengelakkan dari mengambil sebarang kolagen atau junkfood. Terutamanya buat individu yang mempunyai latar belakang keluarga menghidap sebarang kanser. Bagi gadis ini sendiri, ibu dan makciknya merupakan penghidap Kanser Payudara. Sebelum ini Atira pernah mengambil kolagen rumpai laut dan bagi beliau mungkin itu adalah punca kanser mulai membesar dan semakin aktif.
Buat gadis ini dan para wanita yang diuji dengan penyakit kanser didoakan semoga cepat sembuh. Perjalanan masih jauh semoga terus cekal dan tabah berjuang melawan penyakit ini.
Sumber: Twitter Atirahhhruslan