Umum telah mengetahui mengenai kisah Siti Elizad, Pengacara Mingguan Wanita Talkshow Musim Baharu telah membuat pembedahan membuang cyst sebanyak dua kali. Pembedahan kali pertama telah dilakukan 4 tahun lepas dan yang terbaharu pada tahun 2018.
Demi mahu membantu memberi kesedaran terhadap wanita mengenai cyst juga telah menyebabkan Siti Elizad sekali lagi berkongsi pengalamannya itu dalam rancangan Tanya Dr Imelda pada hari Khamis 1 Ogos 2019 di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima hd 121. Topik yang dibincangkan kali ini bertajuk Fibroid Berbeza Dari Cysts.
Dalam pengakuan tersebut Siti Elizad menjelaskan pada mulanya dia tidak tahu dirinya memiliki cyst.
“ Sebenarnya saya tidak tahu ada cysts, Saya ingatkan perut saya bloated atau buncit. Jadi saya tidak ambil tahu. Rasa bloated itu saya alami selama lebih kurang 2 bulan sebabnya cyst saya itu jenis aktif dan mengembang dengan cepat.
” Cyst yang dibuang pada pembedahan pertama seberat 4 kg. Manakala cyst yang dibuang pada pembedahan kedua sebesar 7cm.
” Pertama kali cyst itu dibuang saya tidak rasa apa-apa kerana hidup dalam keluarga yang sering melakukan pembedahan. Tetapi masa cyst sebesar bola itu dikeluarkan, mereka (doktor) mengatakan sebelah ovari saya sudah tidak ada kerana ia tertarik sekali semasa pembedahan dilakukan.”
‘Down’ Selama 6 Bulan
Pembedahan membuang cyst dan kehilangan satu ovari itu membuatkan dirinya berasa down selama 6 bulan.
“ Saya takut. Sedangkan wanita ada dua ovari pun sukar dapat anak. Inikan saya yang tinggal hanya satu ovari. Jadi sehingga sekarang saya masih lagi buat pemeriksaan susulan. Saya sebagai wanita dalam fikiran saya tidak ada apa-apa melainkan mahu mendapatkan anak.
” Oleh itu sehingga kini saya masih lagi buat check-up untuk melihat sama ada cyst saya itu tumbuh dengan cepat atau aktif.”
Nasihat Siti Elizad kepada semua wanita adalah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diri bebas daripada sebarang penyakit.
“ Sekarang ini ada macam-macam penyakit. Setiap tahun saya nasihatkan wanita agar jangan lupa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Jangan takut untuk melakukannya.
” Jika ada cyst dan ia masih kecil, kita (wanita) tidak perlu melakukan pembedahan besar. Doktor mungkin akan tembak sahaja untuk buatkan cecair atau gumpalan darah itu pecah. Jangan tunggu sampai besar.
” Pada wanita di luar sana, jangan takut untuk berjumpa dengan doktor terutamanya Pakar Sakit Puan.”
Ingin mendengar penjelasan dan kupasan selanjutnya mengenai Topik Fibroid Berbeza Dari Cysts, jangan lupa saksikan program Tanya Dr Imelda pada hari Khamis 1 Ogos 2019 jam 9 malam di Astro Prima 105 dan Astro Prima hd 121.
Foto: IG Siti Elizad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI