Kredit foto: Berita Harian

Malang tak berbau, walau bagaimana sekali pun kita berhati-hati dalam melakukan tugas hakiki. Tetapi bila sampai waktu dan takdirnya, kita tak mampu menghalang. Mangsa sendiri sedari awal meminta dua adiknya agar sentiasa berhati-hati kerana kerja mereka dalam bidang gas dan petroleum berisiko tinggi.

Ternyata bekerja dalam bidang gas dan petroleum sering dikaitkan dengan gaji yang mahal tetapi disebalik itu anda harus tahu bahawa kerjanya amat berisiko dan terdedah dengan pelbagai bahaya termasuklah kejadian letupan sebegini.

Jangan Leka & Berhati-hati

KOTA TINGGI: “Hati-hati, jangan leka. Kerja bidang gas dan petroleum berisiko tinggi, bila-bila masa boleh meletup.

Menyedari mereka bersama bekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang di sini sejak tiga tahun lalu, Fadhi Akmal Fadzil, 28, beriya-iya menitip pesanan itu kepada dua adiknya, Faizul Ikhwan, 25, dan Faris Aiman, 20, malam tadi.

Malam tadi, Fadhi Akmal disahkan terkorban dalam insiden letupan di premis itu yang meragut lima nyawa.

Tak Percaya Apa Yang Berlaku

Masih kaget dengan apa yang berlaku, Faizul Ikhwan sukar mempercayai apa yang didengarnya menerusi panggilan telefon pagi tadi.

Ads

Jantung saya bagai terhenti apabila mendapat panggilan mengesahkan abang terkorban dalam insiden letupan malam tadi.

“Saya tak dapat tahan. Saya menangis semahunya sebelum menelefon ibu dan ayah di kampung.

“Abang kembali bekerja semalam selepas bercuti dua minggu di kampung kami di Sungai Petani kerana tahun ini dia tidak dapat cuti raya.

“Apa yang membuatkan saya ralat ialah tidak sempat bertemunya. Abang ada telefon nak jumpa sebab ada belikan mi sanggul yang kami berdua pesan.

Ads

“Abang baru beli rumah di Bayu Damai, Pengerang dan sibuk membeli perabot. Abang buat ubah suai sikit sebagai persediaan untuk berkahwin tetapi lain pula yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini, hari ini.

Lima Rentung, Seorang Parah

Lima mangsa dilaporkan rentung manakala seorang lagi parah dalam kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam tadi, tiga lagi yang disahkan terkorban adalah Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor dan Che Huzaidy Che Harun.

Mayat mangsa kelima, Hadi Syafiq Jamil, ditemui anggota bomba jam 12.42 tengah hari tadi.

Seorang lagi mangsa, Arnado Alexander, dilaporkan parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat melecur 40 peratus pada tubuhnya.

Ads

Terkejut Mendengar Khabar

Sementara itu, Nor Efendi Ismail, 49, sekeluarga terkejut apabila mendapat khabar Norfazly yang juga adik iparnya, disahkan meninggal dunia dalam insiden itu.

Katanya, berita itu diterima menerusi panggilan telefon adik bongsunya, Nor Siti Fazila Ismail, 32, bagi memaklumkan kejadian menimpa suaminya.

Saya kelu bila mendapat tahu. Adik saya dan suaminya mempunyai seorang anak berusia dua tahun… sedih saya memikirkan nasib mereka dua beranak selepas ini.

“Jenazah Norfadzly akan dibawa ke kampung di Lipat Kajang, Jasin untuk dikebumikan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MW: Pihak kami merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan berharap mereka sabar menghadapi ujian ini. Al-Fatihah. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI