Ramai lelaki yang mengaku Isteri mereka seorang yang isteri yang baik, ibu yang penyayang dan baik hati. Tapi kelemahannya, memiliki sikap panas baran! Pantang ada silap, terus melenting. Pening juga tu! Sebagai suami, apakah tindakan anda jika memiliki isteri yang panas baran?
Sebagai suami, tentu anda sudah ‘masak’ dengan perangai panas baran isteri. Anda juga pasti sudah ketahui apa yang menyebabkan dia melenting. Seeloknya elakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahannya. Misalnya dia pantang jika anda meletakkan baju kotor merata-rata atau gelas tidak diletakkan di dalam singki selepas digunakan.
Jika anda buat juga tanpa sengaja, elakkan daripada memberikan alasan kerana itu hanya akan lebih memanaskan hatinya. Seeloknya diam saja. Malah seseorang yang dalam keadaan marah, apa yang orang lain cakap selalunya dia tak akan dengar walau pun mungkin dia sendiri yang silap. Anda pun kenalah bertolak ansur dan banyakkan bersabar jika menghadapi situasi ‘panas’ macam ni.
Kebiasaannya orang yang mudah ‘naik angin’ ini akan cepat juga ‘turun’. Jadi bila anda dapat rasa yang pasangan mula hendak ‘hot’, lebih baik anda sendiri kawal perasaan dan beri masa untuk dia redakan kemarahannya. Sabar saja jika dia menjerit atau menghempas pintu. Asal jangan cederakan dirinya sendiri, anda atau anak-anak. Tiap orang ada cara tersendiri untuk lepaskan kemarahan mereka.
Berkomunikasi dengan orang yang sedang marah ini perlu kena gayanya. Jangan dia tengah marah, anda juga turut meninggikan suara dan memekik. Berusahalah untuk terus berkomunikasi dengan nada yang tenang. Jika boleh, selitkan dengan jenaka yang boleh membuatkan dia tersenyum/ketawa. Tapi, kena tengok situasi ye. Jangan sampai jenaka itu buat dia makin menyinga!
Orang yang panas baran ni kita tak boleh tegur dengan cara yang kasar atau marah-marah. Kita kena selalu gunakan ayat-ayat manis dan positif supaya dia tak naik angin. Jika sebagai suami, anda tidak mampu lagi menegur sikapnya itu, anda boleh minta pertolongan orang lain yang dihormati oleh isteri anda seperti ibu bapa atau rakan rapat. Mungkin teguran itu dapat membuka mata isteri untuk mengubah atau mengurangkan sikap panas barannya itu.
Suami yang memiliki isteri yang panas baran harus memiliki tahap kesabaran tinggi. Memang tak mudah tapi itulah kunci untuk anda kekal dalam perhubungan itu. Walau bagaimana pun, sabar juga kena tahu hadnya. Jangan bersabar sehingga isteri ‘besar kepala’ dan terus menerus dengan sikap panas barannya itu. Anda sebagai suami juga tidak dihormati kelak. Ditakuti apabila benteng kesabaran itu roboh, ‘perang’ lebih besar akan muncul.
Selain itu, sebagai suami, anda juga perlu sentiasa cuba mendidik dan menjadi contoh kepada isteri.. Anda perlu tegur sikapnya itu agar dia sedar dan cuba untuk mengawalnya kelak. Ditakuti jika dibiarkan ia akan berterusan begitu atau lebih buruk lagi, sikap barannya makin menjadi-jadi.