Ingat Sakit Batu Karang, Hanya Tahu Diri Mengandung 4 Jam SEBELUM Bersalin!

Share

Agak pelik bila tak tahu diri sedang mengandung dan lebih mengejutkan apabila hanya tahu berita tersebut ketika diri hampir saat bersalin.

Tapi itulah yang terjadi pada seorang guru tarian balet sebelum ini menyangka bahawa dia mengalami masalah batu karang kerana sering mengalami kejang seperti senggugut yang teruk pada bahagian perutnya.

Menerusi laman Metro UK, Lizzie dari Bloomington hanya tahu dirinya hamil empat jam sebelum dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan.

Bukaan 8cm

Menurut Lizzie, pada mulanya dia dikejarkan ke wad kecemasan selepas mengalami kram pada perut. Namun selepas hasil pemeriksaan bukanlah batu karang yang dijumpai, sebaliknya doktor mendapati bukaannya sudah lapan sentimeter dan sedia untuk bersalin.

Pada malam itu juga, Lizzie selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Winnie June seberat 2.9kg.

“Saya dapat tahu saya hamil di dalam wad kecemasan, apabila doktor melakukan pemeriksaan. 4 jam kemudian saya bersalin,”ujar Lizzie

Lizzie menyifatkan proses bersalinnya sebagai pengalaman yang menakutkan dalam hidup. Dia menjelaskan tidak mengalami sebarang tanda-tanda kehamilan.

“Saya tak dapat mengambil suntikan epidural kerana terlalu lambat. Rasa bersalin sangat sakit. Saya tak tahu saya mengandung bayi perempuan atau lelaki, cukup bulan atau pra-matang, bayi sihat atau sakit.. banyak proses yang perlu dilalui ketika dalam bilik bersalin,”

ujar Lizzie lagi.

Berat Badan Bertambah & Rasa Penat

Lizzie mengakui berat badannya sedikit bertambah, tapi menyangka ia berpunca daripada kurang melakukan rutin senaman di gym dan makan makanan tak sihat. Malah turut rasa lebih penat daripada biasa namun menganggap berpunca daripada buat kerja terlalu banyak .

Lizzie mengakui datang bulan seperti biasa. Namun sebenarnya dia mengalami placenta previa atau anterior placenta, yang menyebabkan pendarahan yang seringkali disalah anggap sebagai datang haid.

Walaupun mengalami risiko tinggi kehamilan, Lizzie boleh dianggap cukup bertuah kerana dikurniakan bayi perempuan yang sihat dan comel.

MW: Macam-macam hal. Agak pelik sebenarnya bila tak tahu keadaan diri sebenarnya sedang mengandung. Apatah lagi hanya diketahui ketika saat hampir bersalin. Apa-apa pun semoga bayi membesar dengan sihat dan sempurna.

Sumber: Metro UK

Published by
Suhaidah Abd Wahab