Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus Influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.
Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Wanita, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr Suhaila Ishak menjelaskan penyakit Influenza terdiri dari Influenza A, Influenza B, Influenza C dan Influenza D.
“Di antara keempat-empat virus Influenza ini, virus yang boleh menjangkiti manusia biasanya adalah virus Influenza A dan Influenza B.
“Influenza C lebih ringan dan tidak menyebabkan komplikasi. Manakala Influenza D ini biasanya hanya berlaku pada haiwan.
“Influenza A lebih bahaya jika dibandingkan dengan Influenza B kerana Influenza A boleh menjadi pandemik.
“Influenza A boleh merebak. Pada tahun 2009, terdapat pandemik Influenza A yang dikenali sebagai H1N1. Influenza A berdasarkan sub type H dan N. Influenza B pula mengikut lineage.”
Dr Suhaila menjelaskan bermula bulan Oktober sehingga akhir Mac setiap tahun adalah musim Influenza.
“Penyakit Influenza juga boleh berubah mengikut musim. Tetapi tidak bermakna di luar musim penyakit Influenza ini tidak ada berlaku. Penyakit Influenza tetap ada tetapi tidak sebanyak dalam musim itu.
“Pengambilan vaksin adalah usaha awal untuk mengelakkan diri menghidap Influenza. Vaksin Influenza boleh diambil dalam pelbagai cara. Di Malaysia vaksin ini diberikan melalui cara suntikan.
“Usia paling awal untuk melakukan suntikan vaksin Influenza adalah pada usia 6 bulan dan ke atas. Bagi kanak-kanak berusia 9 tahun ke bawah pula, pengambilan vaksin influenza adalah sebanyak dua dos yang boleh diambil dua kali. Satu dos pada bulan pertama dan dos kedua pada bulan hadapan.
“Tidak ada had usia pengambilan vaksin ini pada orang dewasa. Malah ibu hamil juga boleh mengambil vaksin influenza.”
Jelas Dr Suhaila, sama seperti mana-mana virus, jika Influenza dihidapi oleh ibu hamil pada awal kehamilan organo genesis atau pembentukan organ-organ penting bayi semasa trimester pertama, ibu hamil ini akan mengalami demam yang tinggi. Itu yang menganggu pembentukan organ bayi.
Tetapi mereka yang sudah masuk trimester kedua atau trimester ketiga , risikonya tidak ada kerana organ sudah terbentuk.
“Sebab itu digalakkan semua ibu mengandung mengambil vaksin Influenza sebab ia selamat. Pengambilan vaksin Influenza oleh ibu hamil akan memberi perlindungan juga kepada bayi yang dikandung selepas dilahirkan.
“Vaksin semasa mengandung itu secara tidak langsung itu diterima oleh bayi yang sekaligus akan menguatkan antibodi bayi pada awal bulan kelahirannya.”
Namun perlu diingat, jelas Dr Suhaila, pengambilan vaksin bukan 100 peratus mampu mengelakkan influenza.
“Vaksin yang diambil itu mampu mengurangkan gejala-gejala daripada menjadi lebih teruk, Ketahuilah apabila anda mengambil vaksin Influenza, ia tidak bermakna diri terus dilindungi sebaik disuntik. Ia mengambil masa lebih kurang 2 minggu tubuh membentuk antibodi.”
“Oleh itu sebaik-baiknya vaksin Influenza diambil sebelum kehadiran musim Influenza iaitu sebelum bulan Oktober sehingga akhir Mac setiap tahun.”
Vaksin Influenza melindungi tubuh daripada 4 jenis Influenza iaitu 2 jenis Influenza A dan 2 jenis Influenza B.
Jenis Influenza A yang dilindungi adalah Influenza A H1N1 dan Influenza A H3N2. Bagi Influenza B, ia melindungi daripada lineage Yamagata dan Victoria.
Jelas Dr Suhaila, gejala-gejala penyakit Influenza ini hampir sama dengan gejala-gejala selesema biasa atau common cold.
“Namun begitu gejala-gejala selesema biasa tidak membawa komplikasi yang lebih teruk. Ia boleh baik dengan sendiri.”
“Sebenarnya secara luaran sangat susah untuk membezakan jika seseorang menghidap selesema biasa atau menghidap influenza. Ia datang dengan gejala-gejala yang hampir sama.
“Oleh itu adalah penting untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada diri hanya menghidap selesema biasa atau Influenza.”
Cara untuk mendiagnos penyakit ini adalah melalui Influenza Rapid Test.
Ini cara paling biasa dilakukan. Keputusan boleh diperoleh dengan cepat. Ujian dilakukan dengan melakukan sapuan hidung atau tekak.
Ada kit yang akan menunjukkan sama ada penyakit itu adalah Influenza A atau Influenza B.
Dr Suhaila menasihatkan agar penghidap Influenza untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor terlebih dahulu.
“Penilaian oleh doktor adalah penting.Mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi biasanya akan ditahan dan dimasukkan ke dalam wad.
“Terdapat antiviral yang digunakan untuk merawat Influenza A atau B. Biasanya kami menggunakan antiviral oseltamivir. Ubat ini bertindak lebih berkesan jika diberi dalam jangka masa 48 jam pesakit demam.”