Impian Mak Ayah Nak Anak Belajar Bidang Kejuruteraan, Anak Minat Kulinari

Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.

Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.

Impian Mak Ayah Nak Anak Belajar Bidang Kejuruteraan, Anak Minat Kulinari

 Impian Anak Turut Jejak Langkah

Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.

Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.

Suasana Kerja

Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.

Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.

Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?

– Ummi risau –

SARANAN KAUNSELOR

Dengan Nama Allah  Yang Maha  Pemurah  Lagi Maha  Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya.  Berjaya di dunia dan berjaya  di akhirat. Sejak kecil anak-anak  akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen.  Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan   atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan  untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka  yang mampu.

Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada  masa untuk meneroka minat dan kerjaya  yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa  yang mahukan kerjaya  anak mereka  mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi  adalah baik kerana  kadang-kadang anak kurang mengetahui  apa yang patut diberi keutamaan  dan yang terbaik untuk

IKLAN

Impian Diri Sendiri

Namun kadang-kadang ibu bapa  terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada  juga  ibu bapa  yang tidak dapat  merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat  itu  “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan  anak meneruskan cita-citanya.

Ada  anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa  cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi  apabila menerima  scroll,  menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.

Lagi artikel menarik di sini:

Akidah Anak Perlu Dipasak Dari Awal, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!

Mak Ayah Nak Kahwin Lagi, Anak Tak Patut Halang Tapi  TOLONG  Bincang

Ikuti MW di instagram kami:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Impian Tertangguh

Bagi anak, dia  sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya  mencari keinginan dan minat  kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.

Setiap  anak  ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah  akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik,  saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.

Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak

Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI  (Vocational Preference Inventori) menyatakan  seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga  apabila  minat kerjayanya  adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.

Tidak kira bidang kerjaya  apa yang dipilih  oleh anak,  sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun  jika  anak menolak, maka  tentu ada justifikasinya.

Buat Kajian

Minta dia  beri alasan kenapa  berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika  anak puan punya minat yang mendalam, dia  pasti tahu  prospek kerjaya  tersebut. Tidak kiralah bagaimana  kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia  bagaimana  untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa  menu pilihan  yang boleh dia  ceburi.

Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan  untuknya  seperti menjadi tenaga  pengajar, membuka  perniagaan sendiri  atau  kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time  frame’  bagaimana  dia  mahu capai.

Adakan Perbincangan

Jadi  “coach” atau jurulatih kepada  anak dengan sering adakan perbincangan. Anak  akan rasa  disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan  yang lebih ceria dan bersemangat.  Elakkan berkata  anak “degil”  kerana  itu  adalah doa  dari seorang ibu.  Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa  sebenarnya  yang kadang-kadang kita  tidak perasan  keluar dari mulut kita.

Sebenarnya  dia bukan degil. Dia  ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita  perhatikan,  apa  yang dia miliki dan bertingkah laku  itu adalah daripada acuan kita  ibu bapanya. Kita juga  ada  sifat tu, kalau tidak bagaimana  anak mewarisi  sifat itu.  Hanya  ibu bapa  kita  yang tahu  kita  ini bagaimana…maka  sifat itu anak akan warisi.

Ukuran Kejayaan

Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah  antara  perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila  telah tiada  di dunia.

Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa  yang tiada  bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja  yang pada  pandangan kita  “lekeh’  tetapi  dia  adalah anak yang mampu menjaga kita di usia  tua.  Mampu mendoakan dan membaca  al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami  al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika  di alam barzakh nanti. Berdoalah  agar  anak puan menjadi insan soleh.