Ramai pasangan yang ingin memiliki anak kembar. Namun apabila diuji dengan kelahiran bayi kembar istimewa, Down Syndrome bagaimanakah agaknya perasaan untuk menghadapi kenyataan ini. Kelahiran Iman Razin & Iman Raziq merupakan ujian dan anugerah teristimewa buat pasangan cekal Ahmad Amin Abd Rahman, 31, dan isterinya, Khalila Ibrahim, 30.
Keluarga bahagia ini dikurniakan dengan empat orang anak-anak lelaki yang comel dan kian membesar. Aiman Hakim, 9, Akif Hakim, 6 dan sepasang bayi kembar Iman Raziq, Iman Razin 2 tahun 9 bulan.Dua kelahiran pertama mereka ini membesar dengan sihat dan ceria. Namun ditakdirkan kelahiran ketiga kali ini, pasangan ini diuji dengan dikurniakan anak-anak lebih istimewa yang mempunyai Down Syndrome.
Mengimbas kembali pengalaman ketika mengandungkan Razin dan Raziq, Khalila berkata;
“Detik perjalanan sepanjang mengandungkan kembar istimewa ini cukup mudah. Tidak mempunyai masalah dan tidak mengalami alahan seperti kebanyakan wanita lain alami. Genap kandungan dua bulan, saya telah disahkan mengandung kembar oleh doktor apabila memiliki dua kantung berasingan melalui ujian imbasan yang dilakukan. Pelbagai perasaan teruja dan gembira bercampur baur apabila bakal dikurniakan kembar.
“Apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan, kedudukan bayi masih dalam keadaan melintang dan posisinya juga tidak berubah. Apabila kandungan menjangkau usia 37 minggu, doktor membuat keputusan kelahiran harus dilakukan melalui proses pembedahan.
“Tarikh 2 Jun 2015, si kembar istimewa ini dilahirkan. Iman Razin memiliki berat 2.7kg manakala Iman Raziq 2.8kg. Sejurus dilahirkan, doktor dan suami merahsiakan daripada saya, yang anak kami mempunyai Down Syndrome. Para doktor di Hospital Ampang Puteri mengambil masa sehingga tiga hari untuk mengesahkan bayi kembar kami mempunyai Down Syndrome .
“Ini kerana melalui ujian kesihatan dan pemeriksaan yang dilakukan sewaktu mengandung semuanya dalam keadaan normal. Hatta, kami turut telah melakukan ujian imbasan bagi menentukan ujian analisis kromosom untuk mengenal pasti keadaan kandungan ketika itu, dan keputusannya juga negatif. Bahkan, kedua-dua keluarga kami juga tidak mempunyai sejarah genetik Down Syndrome ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang, takdir Allah menentukan segala-galanya.
“Belum reda sepenuhnya menerima hakikat keadaan kembar, perasaan kami sekali lagi diuji apabila doktor mengkhabarkan bahawa kedua-dua bayi kami mengalami masalah jantung berlubang dan ketiadaan lubang dubur yang memerlukan pembedahan untuk membuat saluran tersebut.
“Bagaikan halilintar membelah bumi, pada mulanya agak sukar untuk saya terima hakikat, mengapa saya yang terpilih dikurniakan anak-anak syurga ini, ditambah pula dengan komplikasi yang mereka alami. Tidak tertanggung rasanya perasaan ini. Saya merasa sungguh down sehinggakan sampai satu tahap saya rasa tidak ingin melihat mereka kerana tidak sampai hati memikirkan masa depan yang akan mereka lalui jika tanpa saya di sisi.
“Selama dua minggu sepanjang tempoh berpantang beliau dan suami berulang alik ke hospital melihat keadaan si kembar, berkampung tidur di hospital. Enam bulan pertama, kami berusaha untuk tidak keluar rumah kerana dalam tempoh ini, antibodi bayi kembar istimewa ini tidak cukup kuat dan mudah mendapat penyakit,” ujar Khalila panjang lebar mengenai kronologi kelahiran dan pemeriksaan yang telah dilalui oleh si kembar Razin dan Raziq sejak bayi lagi.
Raziq telah menjalani pembedahan Stoma iaitu bukaan pada sebahagian daripada usus atau saluran kencing di bahagian permukaan atas perut sebagai saluran keluar untuk bahan kumuh seperti najis atau air kencing, pada bulan Disember manakala Razin telah menjalani pembedahan yang sama ini pada bulan September 2016. Selepas pembedahan tersebut, Khalila dan suami, perlu mencuci, menukar beg stoma dan tapak beg stoma setiap hari demi memastikan kebersihan dan percernaan si kembar ini berjalan lancar. Berita baik juga diterima, saluran jantung mereka tidak lagi berlubang dan mereka tidak perlu menjalani pembedahan.
Selain itu, sebagai ibu dan bapa, kedua-duanya cuba sebaik mungkin untuk membantu perkembangan si kembar agar terus positif melalui terapi. Khalila dan suami melakukan inisiatif dengan mengupah ahli fisioterapi seminggu sekali untuk datang ke rumah untuk melakukan terapi khusus pada kembar istimewa ini. Ia demi memastikan tahap pembesaran dan kemahiran Razin dan Raziq berkembang dengan lebih cepat. Ini kerana bagi anak-anak Down Syndrome ini, ia perlu diberikan stimulasi dan diajar pergerakannya.
Menurut Khalila lagi, beliau amat bersyukur anak kembar istimewanya cukup mudah dijaga, tidak mudah meragam dan menangis, selain bersikap manja dan penyayang. Kehadiran mereka bagaikan memberi sinar, membuka mata dan hati beliau dan suami agar lebih mendekatkan diri pada Ilahi. Suami dan abang sulung Khalila banyak memberikan kata-kata semangat dan motivasi buatnya, untuk belajar menerima hakikat ini dan agar lebih positif, selain ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut memberikan semangat.
Selain itu, Khalila dan suami juga turut aktif menyertai aktiviti persatuan KIWANIS dan grup ‘Bunga-bunga Syurga’ di Facebook yang khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak Down Syndrome. Satu azimat daripada pasangan ini, banyakkan bersabar dan paling utama jangan putus asa dalam menjaga anak-anak teristimewa ini.
Buat mak ayah yang turut memiliki anak syurga yang teristimewa ini, semoga terus cekal dan tabah memiliki anak ini. Anggaplah mereka sebagai ‘saham’ kita untuk mengumpul pahala di akhirat nanti. Hakikatnya, insan-insan istimewa inilah yang mendidik kita menjadi sebenar-benar manusia.