Ikutlah 5 Rentak Ini Sebelum Tugas Isteri Dirampas Orang Gaji!

Share

Perkara yang ramai sangat kaum perempuan terlupa, sibuk sampai tugas isteri dirampas orang gaji. Niat asalnya nak mencari rezeki tetapi bila terleka dan penat akhirnya semua benda orang gaji yang buat!

Inilah yang akan jadi barah dalam rumah tangga, mari kita kupas dan betulkan mana yang silap.

Sebab terlalu sibuk juga menuntut pasangan yang sudah ada anak akan mengambil orang gaji bagi memudahkan kerja harian. Macam mana nak elak hubungan melarat dan tenat bila ada orang gaji di rumah?

Jika tidak kena gayanya, bimbang orang gaji menjadi tempat sandaran anak-anak. Seharusnya orang gaji hanyalah sebagai pembantu yang memudahkan kerja isteri. Bukannya tempat mengambil alih tugas isteri mahupun ibu.

Ikuti saranan ini andai kaum isteri tidak mahu kehidupan berkeluarga anda dirampas oleh orang gaji.

1. Fahami Tugas Hakiki

Biar sesibuk mana sekalipun anda, jangan sesekali mengabaikan tugas sebenar sebagai ibu mahupun isteri. Soal menjaga anak-anak mahupun menguruskan kediaman biarlah dilakukan oleh orang gaji. Tetapi, soal memasak biarlah disudahkan oleh anda. Jangan pula ambil kesempatan dengan membiarkan sepenuh tugasan diselesaikan oleh orang gaji.

Bagaimana jika anda sudah terlanjur dalam soal ini. Kasih sayang anak sudah diserahkan sepenuhnya kepada ‘bibik’. Cubalah tawan semula hati anak dengan menyediakan juadah atau hidangan yang anak-anak gemari. Biarlah bersusah-susah sedikit, asalkan hasilnya nanti membuatkan anda gembira.

Jangan lupa untuk memasak anak-anak hidangan yang benar-benar mereka suka. Minggu seterusnya, cuba lagi dengan hidangan baru. Biarkan mereka ternanti-nanti apakah hidangan lain yang akan anda sediakan setiap kali tiba waktu cuti bekerja. Pasti ini lebih membahagiakan.

2. Elakkan Sikap ‘Biarkan’

Andai anda terpaksa pulang lewat, suami pula pulang lebih awal. Bermakna masa mereka bersama orang gaji menjadi lebih panjang. Sudah tentu apa-apa saja yang diperlukan di dalam rumah itu, bibiklah yang akan dicari.

Anda perlu ajar anak-anak agar tidak tidur bersama dengan bibik. Latih suami agar tidak mengharapkan bibik untuk melakukan segala-galanya untuk mereka. Sebaik-baiknya, anda cuba kerja keras menyelesaikan setiap permintaan suami.

Pakaian suami, sampailah ke kasut suami biar anda yang sediakan. Kalau bersiar-siar pula, jangan benarkan bibik memegang anak. Biarkan dia membawa barangan keperluan mereka. Perkara paling asas yang perlu anda pegang adalah jangan ambil kesempatan.

3. Orang gaji Sekadar Membantu

Setelah anda memahami hakikat ini, anda akan faham bahawa untuk menawan kembali keharmonian dalam keluarga adalah dengan membetulkan pemikiran anda. Jangan pula anda berfikir, ‘Kenapa mahu ambil pembantu kalau dia tidak membantu’ Jika anda ada pemikiran begini sebenarnya anda seorang yang mementingkan diri sendiri.

Anda juga perlu tahu batasan sebagai majikan. Apabila anda melayan orang gaji dengan baik, anda juga sebenarnya mampu melayan emosi suami dengan baik. Ketegasan dan kerendahan budi anda membuatkan orang gaji senang bekerja dengan anda. Hal ini membuatkan mereka menjadi ikhlas langsung tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebalik bekerja di rumah anda.

4. Belai Emosi Suami

Kadangkala apabila asyik mengarah, suami juga boleh jadi rimas. Harapan suami apabila pulang ke rumah, mereka mahukan ketenangan. Keserabutan di pejabat sememangnya menyesakkan. Andai di rumah juga ributnya bagaikan di pejabat, tidakkah itu akan membingitkan emosinya. Pastilah suami tidak selesa dan lebih senang berada di luar rumah.

Sudahnya, apabila tiba hujung minggu anda juga terlopong sendirian kerana sudah diabaikan emosi oleh suami. Akhirnya, anda yang gagal mengawal diri ini langsung melepaskan kemarahan pada anak-anak dan bibik.

Biarlah anda tidak puas hati dengan orang gaji sekalipun, anda perlu kawal diri. Bersabar, latih mereka agar anda juga menjadi mudah kelak.

5. Bercuti

Jangan kedekut, inilah cara luangkan masa dengan keluarga. Waktu bercuti, jangan pula bawa sekali orang gaji bersama. Berilah mereka juga masa untuk berehat. Pasti orang gaji lebih gembira. Bawalah keluarga ke tempat percutian yang selesa untuk semua. Jadikan masa bercuti ini penuh dengan aktiviti yang menghiburkan. Misalnya anda memasak bersama mahupun bermain di kolam renang yang disediakan di tempat percutian.

Semasa bercuti ini biarkan anak-anak mahupun suami memenuhi keinginan mereka. Andai kata anak-anak mahu ke taman tema, bawalah mereka ke tempat itu. Biarlah mereka puas dan gembira sepanjang percutian. Jauhkan emosi negatif sepanjang menghabiskan masa santai bersama keluarga.

 

Published by
Nadia