Ikut Saranan WHO, Tidak Mahu Kes Meningkat Jika PKP Ditamatkan Awal

Share

Setelah mengambil kira pandangan semua pihak dan seperti diduga, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April akan datang. Dalam ucapannya Perdana Menteri sempat meluahkan rasa bimbangnya kepada cucunya yang bersekolah.

Beliau merasakan tentu orang lain juga berperasaan sedemikian dan ingin PKP diteruskan demi keselamatan anak-anak. Sekurang-kurangnya bila tempoh PKP yang telah memasuki fasa ketiga dilanjutkan, anak-anak berada di depan mata dan di bawah pengawasan ibu bapa.

Langkah melanjutkan PKP adalah mengikut saranan WHO dan pihak berwajib tidak mahu kes meningkat semula jika PKP ditamatkan lebih awal seperti yang berlaku di negara-negara lain.

PKP Dilanjutkan Ikut Saranan WHO

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi bermula 15 April hingga 28 April bagi mengawal penularan dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, hari ini.

Katanya, lanjutan itu perlu berikutan situasi semasa negara yang masih memerlukan petugas kesihatan memerangi penularan wabak.

Selain itu, ia bagi mengelakkan penularan semula wabak ini (Covid-19) dalam masyarakat.

“Tindakan ini juga adalah selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan negara-negara supaya tidak menamatkan PKP terlalu awal.

“Seperti mana yang berlaku di beberapa negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila PKP ditamatkan,” katanya.

PKP Fasa Ketiga

Malaysia menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu dan memasuki fasa ketiga selepas berakhirnya fasa kedua pada 14 April.

Muhyiddin berkata, meskipun unjuran dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang PKP hampir sebulan lalu menyaksikan pengurangan kebolehjangkitan Covid-19, situasi itu tidak boleh diambil mudah.

Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

“Malah usaha mencegah wabak mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti punca penularan wabak,”

katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Jika PKP berakhir sekali pun pasti mak, ayah masih mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang dengan keselamatan anak-anak. Oleh itu, ayuhlah kita bersama-sama menjaga kebersihan diri dan patuh dengan arahan PKP untuk tempoh empat belas hari akan datang. 

 

Published by
Syazwani Mehat