Apabila memperkatakan mengenai penyakit jantung, pastinya kaum lelaki menjadi tumpuan.Namun, wanita juga tidak terkecuali menjadi penyumbang kepada kadar kematian akibat penyakit jantung.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 13.4 peratus kematian membabitkan wanita yang menghidap penyakit jantung iskemik dilaporkan sehingga tahun 2020.
Atas kesedaran mengenai peningkatan tersebut, Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan teknologi senaman pneumatik terkini bagi pusat rehabilitasinya dengan gabungan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager yang pertama di Asia untuk merawat dan memulihkan pesakit jantung.
Teknologi tersebut merupakan inovasi dari Jerman, Finland dan Belanda serta dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada alat senaman bagi memantau kesihatan pesakit sewaktu menjalani rawatan di situ.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan, pesakit jantung yang mengambil ubat atau selepas menjalani pembedahan juga perlu mengikuti sesi di pusat rehabilitasi.
“Ia terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan semata-mata senaman, bahkan pesakit turut dipantau dari segi pemakanan dan gaya hidup.
“Justeru, teknologi baharu dapat membantu pesakit jantung untuk menjalani senaman yang selamat kepada mereka memandangkan terdapat alat boleh memantau nadi, paras oksigen dalam darah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, dengan penggunaan alat senaman dilengkapi teknologi baharu terkini itu, senaman yang dijalani oleh pesakit juga lebih selamat dan tidak membahayakan diri.
IJN turut menawarkan pelbagai pakej harga bagi menjalani rawatan di pusat rehabilitasinya dengan harga tertentu kepada pesakit.
Sementara itu, antara alat senaman yang mengguna gabungan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager digunakan IJN seperti alat senaman basikal dan ‘treadmill’.
Sementara itu, senaman pneumatik menggunakan tekanan udara untuk mencipta rintangan untuk memberikan pengalaman senaman yang lebih lancar dan terkawal.
“Rintangan udara menjadikan senaman lebih mudah memandangkan teknologi ini mampu mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan. Kemudahan tersebut menggabungkan inovasi dari Jerman, Finland dan Belanda, menawarkan sokongan dalam perjalanan pemulihan pesakit.
“Matlamat kami adalah untuk menyokong pesakit melalui setiap langkah perjalanan pemulihan, memperkasakan mereka untuk mencapai potensi penuh dari segi kesihatan jantung dan keseluruhan.
“Peningkatan ini menandakan komitmen berterusan kami untuk menyediakan penjagaan yang penuh komprehensif dan menjadikan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan pesakit kami,” katanya.
Menurutnya, teknologi HUR SmartTouch itu membolehkan tahap pemulihan pesakit direkod dan disimpan.
“Bukan sahaja untuk mereka yang dirawat, program ini juga sesuai untuk mencegah dari terkena penyakit jantung kerana mesin ini dilengkapi program pengawasan degupan jantung, tekanan dan oksigen dalam darah ketika proses senaman dilakukan,” katanya mengakhiri perbualan.