Kita asyik bercerita tentang iddah isteri. isteri tak boleh bersolek dalam tempoh iddah,
tidak boleh keluar rumah, kena jaga cara pemakaian dan sebagainya. Sedangkan langsung tak bercakap tentang iddah untuk suami. Sampaikan orang cakap, tanah kubur isteri merah, suami dah kahwin lain. Atau bila bercerai hidup, terus bekas suami cari pengganti.
Sebenarnya, iddah untuk suami tak ada dalam syarak dan dia berhak untuk berkahwin tetapi suami perlu tahu halangan supaya keadaan ini tidak menganiaya kepada isteri yang diceraikan. Nak tahu lebih lanjut tentang iddah suami, Encik Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak, Firma Khairul Fahmi & Associates dan Timb. Setiausaha PGSM Kedah ada jawapannya.
Iddah Suami – Tiada Dalam Syarak
Sebenarnya iddah untuk suami ini tidak ada di dalam syarak, ini kerana mana-mana lelaki yang bercerai sama ada rajie atau bain, boleh menikahi mana-mana perempuan selagi tiada halangan syarak.
Jika ada halangan, itulah yang dikatakan lelaki juga mempunyai tempoh ‘beriddah’ iaitu
menahan sebentar sebelum berkahwin dengan wanita lain.
Ads
Antara halangannya adalah :
1. Apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang
keempat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut
hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh iddah isterinya yang diceraikan tersebut.
2. Seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.
3. Apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini
perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh iddah isterinya berakhir terlebih dahulu.
Ads
Perlu diketahui, iddah bagi lelaki ini bukan sahaja bertujuan untuk halangan mengikut syarak tersebut, tetapi sebenarnya bertujuan untuk memelihara hak isteri yang baru diceraikan secara talak rajie juga.
Sebab itu, sekiranya seorang suami ingin berkahwin dengan wanita lain sedangkan tempoh iddah isterinya belum berakhir, suami tersebut perlu membuat Permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah. Ini kerana suami tersebut masih boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dan mungkin suami boleh ambil kesempatan untuk berpoligami sekiranya dibenarkannya untuk berkahwin dengan wanita lain semasa iddah isterinya.
Muhasabah Kembali
Sebaiknya, jika suami isteri telah bercerai dengan talak rajie, ini adalah waktu untuk
kedua-duanya bermuhasabah kembali dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi diri dan anak-anak (jika ada).
Jika sekiranya memang sudah tiada jalan untuk berbaik semula, seharusnya suami isteri cuba menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi berada di dalam tempoh iddah.
Ads
Selain suami menunaikan nafkah iddah isteri, isteri pula menjaga batas seperti seorang
isteri. Kedua-dua pihak perlu mengelakkan daripada timbulkan fitnah di mata masyarakat
seperti keluar bergembira bersama kawan-kawan, mencaci maki antara satu sama lain di media sosial atau apa-apa perkara lain yang tidak elok dilihat di sisi syarak seperti seolah-olah bergembira atas perpisahan. Ini sangat tidak digalakkan di dalam Islam.
Panduan Untuk Isteri Dan Suami
Suami dan isteri seharusnya bersama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan khasnya di dalam hukum syarak bagi mendekatkan diri dengan AllahS.W.T dan sentiasa memperbaiki atas kelemahan diri.
Sekiranya berlaku sebarang perselisihan, perlulah dibawa berbincang dengan baik.
Berilah ruang untuk suami isteri mendengar dan bertolak ansur.
Dapatkan khidmat kaunseling di pejabat agama dan bertanyakan kepada orang yang arif tentang hukum syarak dan perundangan Islam bagi memudahkan untuk kita lebih faham tentang hak dan batas mengikut syarak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang ada benarnya, nak lahirkan anak memang mudah, namun tanggungjawab selepas itu, untuk menjaga dan mendidik mereka cukup besar peranannya. Suami isteri sama-sama kena memikul tanggungjawab dalam membesarkan anak-anak. Bukan hanya mengharapkan sebelah pihak sahaja.
Jemput baca perkongsian mak anak empat ini, Puan Mira Baharin sebagai renungan;
Buat anak memang mudah.
Nak menjaga dan mendidik anak sangat tak mudahnya.
Setiap hari, watak ibu berbeza.
Sekejap jadi mak kandung,
Sekejap jadi mak tiri.
Sekejap jadi cikgu akedemik,
Sekejap jadi cikgu agama.
Sekejap jadi cikgu sosial.
Sekejap jadi doktor,
Sekejap jadi chef.
Pendek kata semua watak ibu boleh bawa. Hebat kan ? Sebab itu tinggi nya darjat seorang ibu. Dan kenapa syurga nya di bawah tapak kaki ibu. Allah dah letak dan susun dengan cantik.
Tak semua suami memahami keadaan hak seorang isteri.
Lelaki yang bakal nak kawin dan impian setinggi gunung nak anak ramai berdozen-dozen, fikir baik-baik. Ilmu agama dan ilmu parenting kene kukuh. Tanggungjawab yang nak di bawa tu sangat besar. Bukan sekecik kuman.
Hak isteri bukan keja asyik beranak dan beranak jer, lepas tu penat lelah seorang diri. Banyak betul cantik muka suami.
Dan yang dah berkahwin jangan asyik nak bini tambah anak, ilmu pon kene kukuh jugak yea.
Biar susah bersama dalam bab menjaga anak. Isteri bukan hamba abdi.
Nampak senang, dalam tak nampak hakikatnya dosa dah kene tanggung. Bahu sebelah dah senget. Bini dah merana seorang diri tanpa suami peduli.
Jadi isteri, anda ada hak untuk merancang. Anda dulu yang menanggung. Anda dahulu yang melalui.
Ni kakyaa amik pedoman dari kisah-kisah mak kelar anak, mak meroyan, mak kemurungan. Totally sebab nya seperti di atas.
Jadi kepada suami di luar sana, jangan kita tengok isteri orang lain kuat boleh jerr hadap dan jangan samakan isteri kita pon sama boleh kuat jugak.
Lain buah, lain isi dalamnya yea. Kalau hakni sekeping macam lidi, hak tu montot macam buah pear. Kalau mu samakan memang ngok bebenor.
Kalau isteri komplain suami tak strong agak-agak on tak ? Haruss ugahh boleh meroyan jugak kot. Haha
Nasihat kakyaa, laki bini kene selalu berbincang. Si suami, kene mendengar luahan isteri dan kena cakna tentang emosi dan kelakuan isteri.
Kalau buat sambil lewa, ego setinggi langit. Kau kawin 40x pon tetap sama nasib bini-bini mu.Kesian nasib bini dapat laki gini.
Dalam nak buat pahala, dosa bercucuran berjalan sama. Tu belom kakyaa kupas bab dosa pahala anak bini lagi. Baru bab jaga anak.
Kalau yang cakap, kakyaa ni hebat lah. Kakyaa ni kuatlah. Jujur kakyaa cakap kekadang tu takda kuatnya tapi kene jadi kuat.
Kalau rasa hilang sabar tu datang, kakyaa lari sekejap jauh dari anak-anak dan istigfar.
Lepas tu, kakyaa luahkan perasaan buat karangan dalam whatsapp panjang 100 muka surat dekat suami. Doa dan mintak pertolongan dari Allah takleh tinggal. Setiap kali dalam solat dan lepas solat, kakyaa mintak semahu mahunyaaa dan mengadu semahu mahunyaa.
Hanya itu kunci yang mampu mendidik dan melembutkan hati kakyaa.
Mira Baharin
Mok Jamu Anak 4.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Renung-renungkanlah.
Bila isteri kehilangan suami, perkara yang selalu diungkit sudah tentulah tentang harta peninggalan. Inilah yang menyebabkan berlaku perebutan harta di kemudian hari.
Kita tak akan tahu apa yang akan jadi nanti. Walaupun mungkin nampak ahli keluarga baik-baik tapi kalau bercerita tentang harta yang ditinggalkan, ia boleh menjadi musuh.
Sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, kena rancang harta bersama pasangan siap-siap supaya tidak berlaku perebutan nanti. Fahami apa yang dikongsikan ini untuk panduan buat suami isteri di luar sana.
Perebutan Harta, Itulah Realiti Bila Kehilangan Suami
Di dalam Islam, nafkah kepada wanita yang kematian suami dan anak-anaknya selama tempoh edah 4 bulan 10 hari dipertanggungjawabkan ke atas bapa si arwah. Jika bapa si arwah sudah meninggal dunia, maka adik-beradik lelaki si arwah BERTANGGUNGJAWAB memberi nafkah kepada si balu dan anak-anak yatim itu dalam tempoh edah berkenaan.
Pemberian nafkah bukan bermakna sekali datang melawat bagi RM 50.
Pemberian nafkah bermaksud pastikan makanan mencukupi untuk si balu dan anak-anaknya selama 4 bulan 10 hari. Rumah dibayar bulanannya kepada pihak bank selama 4 bulan 10 hari.
Jika rumah sewa, bapa si arwah dan adik-beradik lelaki si arwah bayar sewa rumah yang diduduki si arwah bersama isterinya itu selama 4 bulan 10 hari. Si balu ada duit minyak kereta untuk hantar anak-anak ke sekolah. Itu maksud nafkah dalam edah bagi balu yang kematian suami.
Pemberian nafkah kepada balu semasa dalam edah selepas kematian suaminya TIDAK
BOLEH membabitkan harta yang ditinggalkan arwah KECUALI si bapa arwah dan adik-beradik lelakinya itu TERLALU MISKIN.
Maka dibolehkan mengambil harta si arwah sekadar mencukupi untuk menanggung nafkah si balu dan anak yatim itu dalam tempoh edah.
Hak Anak Yatim
Bapa si arwah TIDAK BOLEH mengambil untuk diri sendiri apatah lagi untuk dibahagi-bahagikan dengan anak-anak yang lain kerana SANGAT JELAS HAK ANAK YATIM ADA DALAM HARTA BERKENAAN. Sila buka kitab Bab Anak Yatim, terlalu jelas huraiannya, cuma yang pasti SATU SEN PUN HAK
ANAK YATIM KITA TIDAK BOLEH AMBIL. Si balu sebagai penjaga anak-anak yatim itu mempunyai hak ke atas harta peninggalan arwah suaminya.
Tempoh edah 4 bulan 10 hari dikurniakan Allah SWT kepada si balu, anak-anak yatim dan keluarga si arwah supaya “semua orang” dapat bertenang dan tak perlu “gelabah beruk” dalam memikirkan apakah langkah seterusnya untuk masa depan anak yatim itu, bukannya tempoh edah itu untuk saudara-mara mengeluh-ngeluh “kami ni nak merasa juga harta si arwah”. Masa arwah masih hidup kenapa “malu-malu untuk mintak hartanya”. Mengapa perlu tunggu dia mati???
Hadiah Tidak Boleh Difaraidkan
Hukum ini sudah terlalu lama diabaikan oleh orang Melayu Islam di Malaysia.
Bab Hadiah Dari Suami Kepada Isterinya SEMASA SUAMI MASIH HIDUP, tak kiralah dalam bentuk apa seperti wang tunai dalam akaun bank bersama, atau jam tangan, atau rumah, atau apa sahaja hadiah tanda cinta si suami kepada isterinya maka KESEMUA YANG DIHADIAHKAN ITU TIDAK BOLEH DIFARAIDKAN. Ianya sudah menjadi HAK MUTLAK SI BALU.
Satu lagi perangai buruk orang Malaysia adalah sangat suka “acah takut” apabila berhadapan dengan balu yang tidak pernah bekerja sepanjang perkahwinan. Kononnya “acah bimbang” si balu tidak pandai menguruskan harta si arwah yang sedikit itu.
Alangkan masa hidup si arwah beri kesemua gajinya kepada si isteri, takkanlah si isteri masih tidak pandai menguruskan harta suaminya? Kenapa si arwah tidak beri duit gajinya setiap bulan kepada adik-beradik dia jika dia tidak percaya kepada isterinya?
Nasihat Buat Wanita Bergelar Isteri
KEPADA SEMUA WANITA..
Apabila anda berhadapan dengan kemelut begini, TUNTUT HARTA SEPENCARIAN di mahkamah.
Harta Sepencarian adalah harta berupa wang, rumah, tanah, barangan atau APA SAHAJA yang dibeli atau diperolehi sepanjang perkahwinan berlangsung dan isteri mempunyai HAK KE ATAS SEPARUH HARTA berkenaan WALAUPUN si isteri TIDAK PERNAH BEKERJA sepanjang perkahwinan berlangsung.
Ada dalam undang-undang negara kita.
Seorang rakan saya yang mempunyai 5 orang anak pernah berjaya dalam tuntutannya ke atas Harta Sepencarian apabila ianya menjadi rebutan adik-beradik arwah suaminya. Kemelut tuntutan dari adik-beradik arwah suaminya, sehinggakan hakim menetapkan jika ada 12 batang sudu di dalam rumah yang didiami bersama arwah suaminya, maka rakan saya dapat 6 batang sudu dan adik-beradik arwah mendapat baki 6 batang sudu lagi.
Sofa ada 3 biji, pertama 3 seat, kedua 2 seat dan ketiga 1 seat, maka semasa pembahagian itu yang dipantau oleh wakil mahkamah dan wakil peguam kedua belah pihak, rakan saya berjaya mengambil sofa 3 seat kerana dia kata arwah suaminya selalu berbaring di atas ribanya di sofa 3 seat itu selama 15 tahun perkahwinan mereka. Rakan saya mengalirkan airmata semasa meminta sofa 3 seat itu diberikan kepadanya. Rumah yang didiami bersama arwah suaminya dan mempunyai kenangan indah buat anak-anak yatim itu terpaksa dijual dan wang hasil jualan dibahagi dua antara rakan saya dan adik-beradik arwah suaminya. Saya melihat 5 anak yatim itu menangis semasa mengangkat beg baju mereka keluar dari rumah yang dibeli bapa mereka.
Saya perhatikan pembahagian berlaku dengan tenang walaupun adik-beradik arwah suaminya menghenyeh-henyeh rakan saya itu sebagai “janda kaya tak sedar diri” kerana mahu sofa (buka kamus apa makna menghenyeh). Rakan saya itu bukan tidak sedar diri, dia sedang rindu kepada arwah suaminya.
Apabila hitamnya hati, sehinggakan airmata anak-anak yatim itu tidak lagi mampu melembutkan bapa-bapa saudara yang sangat tamak hinggakan berkeras mahu sudu yang pernah menyuap makan anak-anak yatim itu selama 15 tahun juga mahu direbut.
Nasihat Buat Suami
Pertama:
Ingatlah, sebaik mana pun hubungan anda dengan adik-beradik anda, JANGAN SESEKALI ANDA BERKATA “kalau aku takde nanti kau tolong tengok-tengokkan wife dan anak-anak aku, maklumlah wife aku tak pernah kerja”. Bila anda mati yang ditengok cumalah harta. Lapar atau tidak anak-anak anda tidak lagi menjadi perhatian mereka. Ayat anda tentang isteri anda yang “tidak pernah bekerja”, “lurus bendul” itu sahaja yang akan dijaja. Lebih baik semasa anda masih bernyawa, anda ajar isteri anda menguruskan harta bersama-sama, ajar isteri anda memandu, membaiki kereta dan lain-lain. Bukankah di dalam Islam tanggungjawab suami itu mendidik isterinya??
Kedua:
INGATLAH walau baik macamana pun hubungan anda dengan kawan-kawan lelaki anda, JANGAN SESEKALI ANDA CAKAP “bila aku takde nanti kau tolong tengok wife dan anak aku maklumlah wife aku tu lurus bendul”. Yaaa!! Kawan anda akan tengok wife anda, tetapi dalam pandangan yang berbeza. Ini kami biasa jumpa ketika membantu balu yang kesusahan.
Dalam erti kata lain, tunggu masa nak ngap isteri korang sahaja. “Try Try Je, Kalau Dapat,
Alhamdulillah” kata orang lelaki. Tak semua begitu ya, jadi kalau korang bukan perangai begitu, tak payahlah nak terasa hati dengan penulisan saya ini.
Pengajaran Untuk Kita
Pengajaran kepada kita, jika seorang suami masih hidup, bertegaslah dengan adik-beradik
sendiri tentang kewajipan semasa isteri dalam edah, RANCANG HARTA SIAP-SIAP.
Dapat harta terus rancang nak HIBAH ke, nak buat WASIAT 1/3 ke, terus buat. Bukan tunggu Izrael Datang Memanggil baharu nak terhegeh-hegeh nak buat.
Utamakan hak isteri dan anak-anak kerana jika isteri dan anak-anak yatim tidak redha kehilangan hak mereka selepas anda mati, maka ianya akan berpanjangan hingga ke akhirat.
Anda mahu tersangkut ke Syurga kerana diadili dalam masa yang panjang di hadapan Allah SWT dan hampir terjerumus ke Neraka hanya kerana adik-beradik anda terambil 6 batang sudu hak anak anda yang merupakan anak yatim?? Fikir-fikirkanlah.
Kredit kepada penulis asal:
Kayra | Putrajaya
#sharingiscaring
#hibah #wasiat #pusaka #faraid
MW: Moga ia memberi manfaat dan pengajaran buat suami isteri di luar sana. Sedikit atau banyak harta sekali pun, kena rancang betul-betul. Sebab kita tak tahu, pasti ada yang ‘hati hitam’.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Tujuh Pilihan Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Nak maju jangan tunggu. Peluang pun datang bukan selalu apatah lagi sekarang ini kita sedang lalui kehidupan sukar berbanding dahulu. Daripada asyik termenung dan meratap pilu, elok mengorak langkah mulakan bisnes baru. Sampai bila nak tengok orang lain maju dan kita masih lagi kaku?
Tiada idea, tak ada kemahiran dan arah nak tuju? Mingguan Wanita (MW) sebagai teman setia wanita sedia membantu dan tahu apa yang anda perlu.
Terkini, selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.
Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.
Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Setiap pasangan yang berkahwin tentu mahukan kebahagiaan yang berpanjangan. Jodoh yang berkekalan, rezeki yang murah, anak-anak yang soleh serta solehah dan sebagainya. Semua itu adalah impian sesiapa sahaja. Namun, bagaimana dengan jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan pasangan kaki judi.
Tiada siapa sangka pasangan yang diimpikan itu sebenarnya bukanlah orang yang baik. Mungkin baik dari segi lain tetapi sikap ‘kaki judi’ terlah terbawa-bawa hingga boleh menghancurkan rumah tangga yang dibina. Apakah yang harus dilakukan oleh isteri dan jalan penyelesaian terbaik. Ikuti kupasan lebih lanjut oleh Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak, Firma Khairul Fahmi & Associates dan Timb. Setiausaha PGSM Kedah tentang topik ini.
Bergolok Gadai
Salah satu gejala akhir zaman yang berlaku sekarang adalah bertambahnya pusat-pusat
perjudian dan kebanyakan pula adalah golongan lelaki Melayu yang terlibat dengan masalah ini.
Bukan sahaja di kedai, tetapi masalah perjudian ini boleh diakses melalui internet. Tidak
mustahil, ada yang mengajak sama ‘betting’ di telefon masing-masing. Kesudahannya, ramai yang akan terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga sanggup bergolok gadai harta, barang kemas dan tanah disebabkan ketagihan judi.
Tuntuk Fasakh
Berjudi atau pertaruhan adalah 100 peratus perkara yang diharamkan oleh Islam. Jadi,
disebsbkan perbuatan ini dikategorikan sebagai salah satu perbuatan terkutuk, maka isteri
boleh menuntut fasakh di bawah seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 yang menyebut:
“Seorang perempuan berhak untuk mendapatkan perintah fasakh jika suami berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak”.
Jadi, ada peruntukan undang-undang berkaitan fasakh untuk isteri memohon fasakh di Mahkamah Syariah jika sekiranya ada dakwaan berkaitan dengan suami terlibat dengan perjudian.
Tip Untuk Isteri
Sebagai isteri yang solehah ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk menasihati suami daripada terlibat atau ketagihan berjudi.
a)Kawal Penggunaan Telefon
* Jangan terlepas pandang untuk menyemak telefon bimbit atau komputer suami. Cuba selidik senyap-senyap, apa yang suami main di telefon bimbit. Jika bermain games online tidak menjadi masalah. Tetapi, jika suami bermain games ‘tangkap ikan’ perlu ada sedikit
prasangka.
b)Mengadu Pada Ibu Bapa
* Bagi anda yang masih mempunyai ibu mentua, jangan segan silu untuk mengadu kepada mereka tentang perbuatan anaknya supaya mentua dapat menasihati anaknya. Jika ibu mentua tidak ada, mengadulah kepada saudara paling rapat dengan suami. Elakkan daripada menghebohkan kepada orang lain. Jaga aib suami.
c)Simpan & Kawal Duit Suami
* Bila bercakap simpan duit kita sendiri dan kawal duit suami, mereka beranggapan isteri
queen control. Percayalah, segelintir lelaki susah untuk menguruskan duit sendiri berbanding wanita. Inilah hakikatnya. Walaupun, mungkin anda tidak dapat mengawal duit suami, tetapi sekurangnya tahu setiap akaun suami dan transaksi duitnya.
d)Aduan Kaunselor @ Pejabat Agama
* Tidak tahu kepada siapa yang boleh menasihati suami. Cuba adu kepada kaunselor rumah tangga di Pejabat Agama. Mereka adalah orang terlatih untuk mendengar masalah dan menasihati suami dalam kes sebegini.
e)Lapor Pada Penguatkuasa @ Polis
*Jika perbuatan ini menjadi satu ketagihan, jangan teragak-agak untuk melaporkan kepada polis atau penguatkuasa agama sebagai satu pengajaran. Mungkin ada hukuman setimpal sebagai satu bentuk pendidikan kepada pesalah.
Wahai Suami, Ingatlah!
* Berjudi adalah satu perbuatan keji di dalam Islam. Tidak ada langsung perkara yang baik
tentang ini melainkan kerugian dan kecelakaan dalam hidup.
* Banyak penceraian yang berlaku kerana suami kaki judi. Daripada ini jugalah, ia boleh
mereka kepada pukul memukul anak dan isteri dan tentu sekali ia akan melibatkan kepada
keadaan yang mendesak sehingga meminjam kepada ‘ah long’.
* Ingat, perjudian sekarang bukan hanya ke casino atau bermain daun terup dan nombor ekor. Tetapi, sekarang telah merentasi ke dalam dunia online. Semuanya akan menjadi lebih teruk jika ada keinginan untuk mencuba. Jangan sesekali terdetik di hati untuk mencuba.
* Elakkan daripada terlibat sebelum terlambat.
Gambar Hiasan: Wawa Zainal & Suami
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!