Berita

Ibu Zulfarhan Mahu Hukuman Gantung Kekal, “8 Tahun Kami Sekeluarga Menderita…

Share

Ibu arwah Zulfarhan mahu hukuman gantung kekal, 8 tahun kami sekeluarga menderita. “Cukuplah! Kami sudah lama menderita. Biarlah nyawa dibalas nyawa, itu kata ibu arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Dalam temubual sebentar tadi bersama MINGGUAN WANITA, Hawa Osman memaklumkan, doa agar keenam-enam tertuduh ke tali gantung ada dalam setiap sujudnya.

Ibu Zulfarhan Mahu Hukuman Gantung Kekal

“Terlalu sukar untuk kami sekeluarga hadapi perkara ini.Paling saya nak tahu, siapa antara mereka yang seterika di kemaluan anak saya. Kalau disepak orang pun sakit, tekapan di kemaluan bagi saya adalah tindakan paling tak masuk akal,” katanya.

Walau ada memperkatakan bahawa tempoh lapan tahun itu sudah lama, namun kesedihan di hati mereka sekeluarga terhadap kes penderaan ke atas anak sulung itu terlalu menyakitkan.

Jelasnya, nampak mungkin seperti agak kejam bila mana dirinya mahu keenam-enam tertuduh ke tali gantung tapi itulah pengharapannya sebagai seorang ibu.

“Cuba bayangkan 90 tekapan seterika di seluruh badan termasuk kemaluan. Ini perbuatan kejam dan bagaimana harus saya memaafkan mereka. Jadi biarlah nyawa dibalas nyawa! Tambahnya lagi, ada dua dari keluarga tertuduh datang bertemunya dan meminta maaf atas apa yang terjadi.

“Mereka minta saya memaafkan dan melupakan semuanya. Walau ibu bapa mereka datang meminta maaf tapi ia takkan sama kalau anak mereka (tertuduh) mengungkapkan perkataan maaf itu. Saya kata pada mak ayah yang minta maaf ini, saya sentiasa memaafkan muslimin dan muslimah dalam doa solat saya tapi untuk memaafkan perbuatan kejam enam tertuduh ini, amat berat.

“8 Tahun Kami Sekeluarga Menderita…

Dalam pada itu,Hawa tidak menafikan ada keluarga tertuduh yang datang menemuinya mengakui akan berbuat perkara sama malah lebih teruk dari itu jika anak mereka didera sebegitu rupa.

“Biarlah nyawa dibalas nyawa sebagai hukum agama mengajarkannya,” katanya yang dilihat agak sebak.

Mengakui perjuangan mereka tak akan pernah terhenti demi mendapatkan keadilan buat arwah Zulfarhan yang dipanggil Along, termasuk akan hadir ke mahkamah setiap kali kes anaknya didengari, Hawa berkata, suaminya sanggup tidak melakukan pembedahan saluran jantung tersumbat kerana tidak mahu ketinggalan dan mendengar sendiri apa yang disebutkan di Mahkamah.

“Suami sepatutnya perlu dibedah kerana ada saluran ke jantungnya tersumbat. Suami kata, dia tak mahu  buat dulu pembedahan kerana takut terlantar berbulan-bulan, tak dapat bangun  dan tak dapat mengikuti kes perbicaraan arwah kelak.

“Suami kata, biar selesaikan hal Along dulu. Lepas kesemua tuduhan ke atas enam tertuduh dikekalkan yakni gantung sampai mati, barulah dia mahu fikirkan kesihatannya,” katanya yang turut memaklumkan insya Allah mereka sekeluarga akan menunaikan haji tahun hadapan.

“Saya ingat lagi, arwah anak yang bersungguh daftarkan haji buat kami enam beranak. Katanya mahu bersama-sama seisi keluarga ke Tanah Suci. Ikut giliran dengan Tabung Haji pada tahun hadapan, 2026.

“Tapi impiannya  itu tak tertunai kerana perbuatan jahat enam tertuduh ini. Impiannya dimusnah beberapa bulan sebelum usianya mencapai 21 tahun. Ada banyak yang anak mahu lakukan termasuk mahu belikan saya macam-macam bila dah bekerja. Kata arwah, dia akan senangkan saya dengan rezeki gaji diperolehnya.

“Arwah memang anak yang baik dan sentiasa mendahulukan ibu bapa dalam perbuatannya. Tapi semua impiannya itu tak tertunai kerana didera hingga mati. Kematian anak saya turut memberi kesan kepada adik-adiknya termasuk ada yang tak nak sambung belajar lagi kerana mahu bantu kami sekeluarga,”katanya yang berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang berdoa untuk pembelaan anaknya.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Arwah Lambang Kasih Sayang Pertama Saya.” Ibu Zulfarhan Alami Katarak Serius Akibat Kerap Menangis

Zulfarhan Melecur 80 Peratus, Doktor Ini Kongsi Formula Anggaran Luas Permukaan Tubuh Manusia

Kes Buli Dalam Kalangan Pelajar, Ini Antara Kes Yang Pernah Menggegarkan Negara

Sejak semalam kes arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan   di mana dalam hujahan rayuan kesemua peguam yang mewakili keenam-enam tertuduh  iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali memberikan hujahan bahawa anak guam mereka tidak sepatutnya ke tali gantung.

Memetik laporan Malaysia Gazatte, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, seorang individu dikenali sebagai Mejar Zarizal didakwa telah ‘membimbing’ dua saksi utama kes tersebut dengan memberikan keterangan tidak betul terhadap enam tertuduh itu.

Hujahnya, mahkamah perlu menilai balik semua keterangan dua saksi itu, Syafiq Abdullah dan Ahmad Senabil Mohamad bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua perayu kes ini.

“Mahkamah perlu nilai balik semua keterangan kerana ketika sesi soal balas, salah seorang saksi ini mengaku telah dibimbing oleh Mejar Zarizal. Saksi ini juga mengaku bahawa individu itu telah berhubung dengan dia dan juga beberapa saksi lain berhubung kes ini.

“Kes ini sudah dicemari dengan campur tangan pihak lain. Apabila ini berlaku, pastinya tidak akan menguntungkan perayu-perayu ini. Mahkamah perlu ambilkira perkara ini bahawa saksi-saksi telah diberikan tunjuk ajar.

“Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan serius dari aspek undang-undang apabila jatuhkan hukuman mati terhadap perayu-perayu ini, ini adalah satu kegagalan dalam sistem keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan tiga panel bersidang diketuai, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim bersama Datuk Nordin Hasan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Published by
Almaswa Haji Che Ros