Lumrah manusia ada sahaja yang tidak berkenan di mata. Anak ramai salah, anak sikit salah, tiada anak apatah lagi. Anak ramai atau sedikit merupakan rezeki dan amanah daripada tuhan. Bersyukurlah, jaga sebaiknya dan usah pedulikan sangat dengan kata-kata nista oleh orang lain. Yang paling penting, kita sebagai mak ayah tahu menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan anak-anak tidak terabai.
Secebis perkongsian cerita oleh Lutfi Lokman yang memiliki anak ramai ini, mungkin boleh menjadi penenang hati, mak-mak yang selalu terasa hati bila ada anak ramai.
Berikut antara perkongsian beliau;
“Teruk sangat ke kita anak ramai?” soal isteri saya mengadu dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Eh. Kenapa cakap macam tu?” hati kecil saya berasa tidak sedap.
“Takdelah, tadi dekat shopping mall, orang berbunyi ‘Ee.. Ramainya anak dia’, ‘1,2,3,4,5 tu dia ramainya’, ‘Kahwin muda mak ni, anak berderet’, kenapa mereka bunyi macam tu?” soal si perempuan ini lagi.
Hatinya tidak tenteram mungkin dengan teguran-teguran seperti itu. Ditambah dengan pandangan masyarakat melihat beliau membawa sejumlah anak ke hulu ke hilir.
Saya berfikir sejenak untuk memberikan kata terbaik.
“Oh, mereka seronok tu. Seronok tengok kita dengan sejumlah penumpang yang ramai. Seronok melihat kemeriahan anak-anak. Tak apalah. Allah jadikan semua itu terbaik. Anak ramai ke, tak ada anak ke, anak sorang ke, itu semua aturan yang Allah dah tetapkan. Masing-masing ada kelebihan dan kebaikan. Jangan duk susah hatilah pasal anak berderet ke. Anak berlambak ke, Anak terborong ke. Semua itu rezeki. Ataupun lepas ni…” saya tidak meneruskan jawapan, kerana saya tahu jawapan itu tidak memuaskan hati beliau. Lantas, fikiran saya menerawang ke beberapa bulan yang lepas…
Peristiwa Di Klinik
Saya teringat peristiwa ketika menunggu isteri di Klinik Kesihatan Semenyih.
Di hadapan saya ada seorang makcik. Sekejap-sekejap dia berpaling kepada saya di belakang. Saya diamkan sahaja. Akhirnya mungkin tidak tahan untuk bertanya beliau bersuara.
“Anak ke ni? kembar ya? berapa semua?” bertalu makcik tu tanyakan saya.
“Err, tak jual kak,” saya buat lawak sambil tersengih bodoh tapi kacak.
“Panggil acik dahlah. Saya dah tua,” beliau tersenyum.
Lalu kami meneruskan perbualan.
Beliau mempunyai 2 orang anak. Yang sulung perempuan telah berkahwin dan tinggal berasingan di Puchong. Manakala yang bongsu lelaki tingkatan 1 tinggal bersama beliau. Suaminya kerap outstation kerana menguruskan perniagaan. Tinggallah beliau bersama anak lelaki tunggalnya di rumah.
Diulit kebosanan, beliau mengambil upah menjaga anak jiran untuk tinggal bersama sebagai peneman.
“Acik sunyi sangat. Rindu betul pada anak. Rasa menyesal anak sikit. Walaupun rumah tu ada si adik tapi yerlah balik sekolah dia asyik dengan henponnya. Sibuk nak keluar dengan kawan. Tinggallah kita sorang-sorang. Kalau si kakak tu ada datang, cerialah sikit rumah ni. Tapi..” beliau memandang jauh ke hadapan. Dari raut wajahnya seolah-olah tersembunyi pelbagai rahsia hati.
“Dia pun kenalah ikut suami. Ada masa suami kata balik jenguk mak, dia ikutlah. Kalau suami sibuk, dia tak boleh kata apa,”
“Acik kalau call, acik tak tanya anak nak datang bila. Acik akan call menantu. Sembang dengan dia dan tanya kalau ada free nak makan di rumah bagitahulah, acik nak masak. Acik sebenarnya harap sangat diorang balik jenguk acik. Tapi yerlah masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Bukan salah mereka.”
“Emak acik dulu pun dah nasihat acik, nanti kalau anak engkau dah berumahtangga, jangan ganggu mereka. Biarlah mereka susah senang dan buat hal sendiri. Kalau mereka ingat, adalah rezeki engkau. Anak perempuan ni bila dah berkahwin dia milik suaminya. Untung kalau menantu tu baik dengan kau. Macam gitulah emak acik pesan. Acik pegang sampai sekarang. Tapi nak, hati ni tak kuat. Kadang-kadang nak sangat mereka ni semua ada di tepi. Nak tengok depan mata. Tu jer,” panjang lebar makcik tersebut bersyarah dan meluahkan perasaan kepada saya.
Saya dah menangis sambil kesat hingus. Terus teringat pada emak dan emak mertua. Itulah mungkin perasaan mereka dengan anak mereka.
Untung Anak Ramai
“Untung kau nak, muda-muda anak dah ramai. Biarlah. Kau jagalah anak kau ni. Besarkan mereka. Nikmati saat ini. Waktu akan berlalu dengan cepat. Apabila sampai masanya, mereka akan pergi tinggalkan kau. Didik mereka betul-betul ya,” tambah makcik tersebut. Wajahnya kelihatan letih selepas mencurahkan perasaan dan isi hatinya.
Saya mengangguk. Isteri saya tiba dan bersalaman dengan makcik tersebut lalu kami berpisah setelah selesai urusan masing-masing.
Cerita yang akan saya simpan buat rujukan anak-anak dan kita semua.
Saya harap isteri tersayang membaca coretan ini dan bersyukur lalu usah pedulikan sangat kata orang. Paling teruk pun sakit hati jer. Ia tidak menjejaskan anggota badan kita yang lain. Kot-kotlah patah tangan ke, kaki terkoyak ke itu lainlah.
Lalu saya sambung dengan tenang, “… kita tak payah keluar pergi ke shopping mall dah ya. Kita duk rumah diam-diam je tak payah jumpa orang. Ok?”
Pergaduhan bermula.
Ikhlas,
Lutfi Lokman
Menantu lelaki tunggal.
Sumber: Lutfi Lokman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI