Apabila menggalas ‘jawatan’ sebagai ibu tunggal, pasti tidak dapat lari daripada perasaan ragu-ragu pada kemampuan diri sendiri. Apatah lagi seorang wanita ibu tunggal itu disebabkan perceraian, ia akan menjadi satu rutin hidup yang baru.
Hanya wanita yang mengalaminya akan dapat memahami situasi sukar ini. Berbicara mengenai kehidupan sebagai ibu tunggal, pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 45 atau DJ Lin yang sudah 14 tahun hidup sendirian selepas berpisah dengan bekas suami.
Difahamkan selepas berpisah wanita yang berasal dari Johor ini akui agak sukar mencari pasangan hidup. Ini dek kerana dia lebih komited pada kerjaya dan anak-anak.
Ibu kepada dua cahaya mata, Nureen Aresya, 19, dan Nazren Asyran, 17 ini juga tidak terlalu memikirkan soal jodoh kerana buah hatinya (anak-anak) menjadi keutamaannya.
“Saya sudah bergelar ibu tunggal selama 14 tahun, jadi saya lebih selesa untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding memikirkan soal mengenali seseorang lelaki sebagai pasangan hidup.
“Boleh dikatakan, kehidupan saya bersama anak-anak diikuti komitmen kerja telah mengambil 80 peratus daripada ruang masa kehidupan saya.
“Namun sebagai wanita, kadang-kadang muncul perasaan ingin berteman atau berkasih sayang, itu satu perkara normal, namun bagi saya, perkara itu bukanlah keutamaan saya ketika ini,” luahnya seperti mana dipetik menerusi Astro Gempak.
Penyandang Penyampai Radio Popular ABP31 ini juga turut berkongsi pendapat mengenai wanita yang senasib dangan dirinya yang mahu kembali mencari calon pilihan hidup.
“Kadang-kadang, ada perempuan yang tak dapat terima dan susah menyesuaikan diri selepas berrcerai, mereka sudah biasa mempunyai teman hidup sebelum itu.
“Apa yang penting, kepada ibu tunggal di luar sana, jangan terdesak dalam memlih pengganti pasangan hidup dan jangan rasa gelaran ibu tunggal itu satu perkara negatif dalam masyarakat,” sambungnya.
Baca Juga Disini:
“Saya Tiada Masalah Dengan Status Ibu Tunggal” Buat Terbaik Untuk Anak – Oktovia
DJ Lin juga menasihati ibu tunggal di luar sana sebelum memilih teman hidup, kenalilah latar belakang kehidupannya terlebih dahulu.
“Kenali sebetulnya lelaki itu, ketahui latar belakangnya, kena tahu dia kerja apa, bagaimana pula keluarganya, itu semua penting, jangan terlalu ikutkan hati yang sunyi.
“Carilah suami yang bukan sekadar menerima diri kita, mereka juga harus menerima anak-anak kita, jangan sampai disebabkan lelaki, kasih sayang antara ibu dan anak terganggu.
“Jika seseorang ibu tunggal itu mahu mengenali lelaki baru atau mahu keluar ‘dating’, eloklah sebelum itu jika dia memberitahu anaknya dahulu.
“Jangan pernah membelakangkan anak-anak dalam hal ini, kalau kita terangkan betul-betul, mereka pasti akan faham.
“Aturkan beberapa pertemuan yang melibatkan anak kita dan lelaki itu, dari situ kita boleh lihat bagaimana cara dia melayan anak kita, kadang-kadang, dari raut wajah pun kita sudah tahu apa yang dirasakan seseorang,” nasihat DJ Lin buat wanita-wanita ibu tunggal di luar sana.
Sumber: Astro Gempak
Sumber Foto: Instagram DJ Lin
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita