“ Ada tujuan saya berkongsi cerita hidup saya ini. Saya mahu keluar dari keadaan susah ini. Saya juga mahu mencari modal untuk buat bisnes. Selain itu saya mahu kisah hidup dapat dijadikan pengajaran oleh wanita lain,” jelas Hayati Dolah membuka bicara.
“ Saya kuat demi anak-anak. Saya buat macam-macam untuk anak-anak. Pernah saya dan anak minta sedekah untuk cari duit. Saya bukannya mahu jadi peminta sedekah tetapi itulah sahaja yang terfikir di kepala saya.
“ Tebal memang tebal muka. Tapi semua itu saya buang demi mahu cari duit untuk beri anak makan. Ada satu ketika kami keluarga saya ini dikategorikan sebagai orang paling miskin di flat tempat kami tinggal ini. Kami tidak mampu untuk beli makanan mahupun pakaian.”
Hayati masih ingat anak-anaknya pernah bertanya kepada dirinya kenapa mereka hidup dalam kesusahan.
“ Mak, kenapa kita harus meminta-minta? Itu soalan yang sering yang sering keluar daripada mulut mereka. Saya tak tahu hendak jawab apa masa itu. Hati saya sedih.
“ Pernah saya rasa seperti hendak give-up dengan kehidupan masa itu. Tetapi saya sedar saya tidak boleh buat begitu. Kalau saya give-up, bagaimana dengan anak-anak,” luah ibu tunggal ini dengan perlahan.
Di awal perpisahannya, Hayati hidup dalam kesedihan. Dia tidak mampu menerima kenyataan tersebut. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dia mampu bangun daripada kesedihan.
Hidupnya masih susah tetapi dirinya tidak lagi meminta sedekah. Kini Hayati bekerja sebagai pembantu awam di asrama salah sebuah universiti tempatan di ibukota Kuala Lumpur. Gajinya tidak banyak. Dengan gaji tersebut itulah dia membesarkan anak-anak dan menanggung perbelanjaan seharian mereka sekeluarga.
Hidup di ibukota sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang banyak. Hayati sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk menambah pendapatan.
.
Dari situ jugalah timbul idea dalam diri ibu empat orang anak ini untuk menjual sambal petai dan mini karipap goreng secara kecil-kecilan. Sambal petai itu dimasaknya sendiri. Mini karipap goreng pula diambilnya daripada adiknya.
“ Idea menjual sambal petai itu saya dapat apabila anak perlukan duit untuk perbelanjaan di universiti. Saya buat sambal dan beri tester untuk dirasa oleh kawan-kawan anak. Apabila kawan-kawannya rasa, mereka berminat untuk membeli.
“ Sampai sekarang saya menjual sambal petai ini. Jika ada yang berminat bolehlah membelinya daripada saya.”
KISAH HAYATI SELANJUTNYA BOLEH DIKETAHUI DI DALAM RUANGAN IBU TUNGGAL BERJAYA DI MAJALAH MINGGUAN WANITA VOLUME 2 DISEMBER 2019
.
Foto: Nor Yanti Saharudin dan koleksi peribadi Hayati Dolah