Sememangnya kehidupan seorang ibu tunggal agak mencabar. Tambahan pula jika meneruskan kehidupan di ibu kota yang penuh dengan onak dan duri. Apatah lagi bagi seseorang yang suatu ketika dahulu hanyalah suri rumah dan tiada sebarang pendapatan.
Kemelut kehidupan mereka sangat meruncing apabila terpaksa menguruskan anak-anak tanpa wang ringgit. Malah sumber pendapatan yang sedikit membuatkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan mewujudkan pelbagai permasalahan di dalam keluarga.
Asliza Kuatkan Semangat Harungi Dugaan & Cabaran Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal
IBU Tidak Putus Berzikir & Lakukan Solat Sunat, 7 Jam Syanie BERTARUNG NYAWA Jalani Pembedahan
Dek kerana itu juga Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Batu Caves, Selangor (WITUS), Zamanila Tukimin, 48 yang berasal dari Ayer Hitam mahu membantu mereka yang senasib dengannya.
“Mereka yang bergelar ibu tunggal haruslah sentiasa berani mengharungi cabaran dan dugaan, sentiasa bersikap positif dan berdiri di atas kaki sendiri tanpa menoleh ke belakang.
“Pelbagai cabaran, kesusahan dan pahit getir sentiasa di hadapi seorang diri tanpa ada perasaan gerun walaupun saya hanyalah seorang wanita. Pepatah mengatakan tangan yang mengoncang buaian dan tangan ini jugalah yang akan menggoncangkan dunia.
“Malah saya juga berazam untuk membantu golongan ibu tunggal yang tiada arah tujuan dengan menubuhkan NGO Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS). Iaitu visi dan misi Persatuan kami adalah melahirkan wanita yang berdikari,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.
Mengimbau kembali kisahnya, Zamanila menerangkan pada awalnya dia digantung tidak bertali.
“Oleh kerana saya digantung tidak bertali tanpa apa-apa khabar hampir sembilan tahun hidup bersama anak-anak. Saya hanya memerlukan kurang dari tiga tahun untuk meneruskan kehidupan dan bangkit terus tanpa menoleh ke belakang demi anak-anak.
“Saya bermula dari seorang suri rumah sepenuh masa yang terlalu mengharapkan duit suami dan memberi sepenuh kepercayaan dalam rumah tangga. Di sinilah bermula kisah saya sewaktu mengandungkan anak kedua ketika berusia enam bulan di dalam perut. Di tinggalkan suami tanpa nafkah dan hidup saya sangat menderita.
“Bermula dari situ saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki demi menyara anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjual kuih, mengecat kereta, menjadi penarik kereta dan menjual kereta terpakai.
“Saya juga pernah tidak makan nasi selama seminggu kerana tidak mempunyai wang. Di sebabkan itu saya hanya mampu membeli sebungkus mi segera dan di bahagikan untuk seminggu. Demi anak-anak dan keazaman yang kuat dalam diri saya dan untuk mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik saya nekad dengan melakukan pelbagai kerja sehingga di perkenalkan oleh DBKL dalam kursus kemahiran secara percuma bermula dari urutan tradisional melalui Pusat Rahmat. Disitulah bermulanya pekerjaan baru dan rezeki yang melimpah ruah.
“Pada peringkat awal saya terpaksa memberitahu kepada pelanggan agar mereka membayarkan dahulu tambang teksi memandangkan saya langsung tidak mempuyai wang. Dengan kemahiran juruterapi yang ada, saya membesarkan anak dengan hasil urutan dan saya telah melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menjual kenderaan terpakai. Setelah lima tahun saya cambahkan perniagaan dengan perkhidmatan sewaan bas sehingga sekarang,” ungkap ibu yang cukup tabah ini.
Zamanila juga menerangkan walaupun berasa teraniaya namun dia tidak pernah memisahkan hubungan antara seorang ayah dan anak.
“Saya tidak pernah memisahkan anak dan ayahnya. Walaupun saya merasakan yang diri saya sangat teraniaya dengan perkahwinan tetapi ikatan anak dan ayah tidak boleh dipisahkan. Syukur alhamdullilah dua orang anak saya masing-masing sangat memahami saya dan sentiasa ada bersama saya saat susah dan senang,” ujar Zamanila yang berasa cukup bangga apabila anaknya tamat belajar dan diraikan dalam majlis konvokesyen baru-baru ini.
Akui ibu dan anak-anak yang paling banyak membantu dia bangkit dari kehidupan yang penuh pancaroba. Kini wanita ini sudah berjaya dan mengakui mengambil masa lima tahun untuk berada di zon selesa dengan menjalankan perbagai perniagaan termasuklah menguruskan Perniagaan Kereta Terpakai hinggalah Perkhidmatan Sewaan Bas. Malah dia juga beruntung kerana mempunyai seorang sahabat baik yang banyak membantu dirinya dalam perniagaan.
Walaupun hidupnya kini sudah semakin stabil namun dia tidak pernah melupakan pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang membesarkan anak-anak.
“Pengalaman pahit di mana saya sangat menderita dan menghadapi tekanan yang luar biasa kerana sering di pandang serong oleh masyarakat dan kesempitan hidup yang amat ketara.
“Pengalaman manis pula saya tak sangka boleh meneruskan hidup sendirian dan alhamdullilah berjaya. Walaupun dulu saya terlalu bergantung kepada suami dan yang lebih manis dalam hidup saya adalah dapat membantu dan melahirkan wanita yang berdikari yang dahulu senasib dengan saya. Saya juga amat bersyukur dan gembira kerana berjaya mendidik dan membentuk anak-anak saya dengan keperitan lampau sehingga mereka ke menara gading,” akhirinya.
Didik Anak Jadi ‘Manusia’, Penting Suapkan Makan, Hargai Ucap Terima Kasih!