Ibu Tunggal Cukup Kental, Ashira Mahu Membina Hidup Lebih Baik Bersama Anak

Share

Ibu Tunggal cukup kental itulah semangat yang ada pada penyanyi ini. Wanita ini juga berdepan pelbagai ujian dan kesukaran hidup sepanjang 2020, dia yang kini kembali membuat penampilan semula dalam industri muzik, Ashira Aziz, mengharapkan sinar baharu untuk tahun 2021.

Wanita ini juga turut bersyukur diberikan peluang kedua dalam bidang seni selepas menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Ibu Tunggal Cukup Kental, Ashira Usaha Dapatkan Sebuah Rumah

Sebagai permulaan, kata ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 14, dia kini dalam usaha mendapatkan sebuah rumah selepas beberapa bulan menumpang di rumah kakaknya dan terpisah dengan anak.

“Mungkin ramai dah tahu, sebelum menyertai GV7, saya kena keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran sehingga menyebabkan saya dan anak terpaksa tinggal berasingan buat sementara. Jadi sekarang saya dalam usaha cari rumah untuk kami berdua dan kembali hidup macam dulu.

“Doakan agar usaha itu dipermudahkan dan setelah semuanya selesai barulah senang untuk saya menumpukan perhatian kepada kerjaya seni serta segala perancangan lain selepas itu,” ceritanya.

Bersama anak kesayangan.

Banyak Perancangan Seni 2021

Menghitung hari menunggu detik tahun baharu menebar salam, Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 34, berkata, banyak perancangan seninya diatur pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah bersyukur sangat dengan rezeki Allah bagi menerusi GV7 dan tentunya saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu kembali kepada kehidupan sukar yang pernah dilalui sebelum ini dan berharap agar ada sinar baharu menanti.

“Jujurnya saya tidak sabar menantikan tahun 2021 kerana mahu memulakan kembali kerjaya dan membina hidup lebih baik bersama anak,” katanya.

Sedia Cuba Bidang Lakonan

Ashira yang cukup manis juga menyatakan dia turut bersedia mencuba bidang baharu termasuk lakonan jika diberikan peluang mengembangkan bakatnya.

“Kalau ikutkan saya tidak minat berlakon, tetapi ramai yang menggalakkan saya mencuba bidang lakonan kerana percaya saya ada bakat berlakon.

“InsyaAllah jika ada tawaran, saya sedia mempertimbangkannya dan bagi peluang kepada diri sendiri untuk buat benda baharu,” luahnya.

Baca Disini Juga:

Adilla Idris Jalani Kuarantin Positif Covid 19, “Jangan Panik, Tenangkan Fikiran & Reda KetentuanNya”

Tujuh Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Sabrina Ali Bernikah “Semoga Rumah Tangga Kekal Ke Akhir Hayat”  

Kerjaya Seni Punca Pendapatan Liza Abdullah Meneruskan Kehidupan Sebagai Ibu Tunggal

Sedia Berhadapan Dengan Netizen

Pun begitu, Ashira mengakui, kembali aktif dalam bidang seni secara tidak langsung bererti dia kembali berdepan dengan perhatian umum.

“Setelah sekian lama hidup jauh daripada perhatian orang, sekarang saya kembali berdepan dengan situasi tersebut yang tentunya menuntut saya untuk lebih kental.

“Berbanding dulu, saya kini lebih matang untuk melalui perkara-perkara seumpama ini, cuma apa yang menakutkan, netizen sekarang jauh lebih ‘berani’ berbanding dulu.

“Memang boleh terduduklah, bila mereka dah mula menyerang kerana pendekatan yang digunakan kadang-kadang agak melampau dan tidak masuk akal.

“Perkara kecil pun boleh jadi besar sehingga dikaitkan dengan keluarga dan maruah diri semua.

“Apa pun, setakat ini saya selebih selesa untuk tidak membaca atau mengambil tahu kecaman-kecaman yang dilontarkan dan biarkan ia berlalu begitu sahaja,” ungkapnya.

Kenangan manis sewaktu di Gegar Vaganza 7.

Sumber Foto: Instagram Ashira

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh